Selepas 4 tahun, baru aku menjejakkan kaki ke puduraya yang sekarang ini dikenali Pudu Sentral. Terpegun aku melihat kemodenan dan keselesaan di puduraya. Jika diingat kembali 4 tahun lepas,aku adalah pengguna tegar bas berulang dari Ipoh-KL setiap hari bertugas di Putrajaya. Ketika itu, isteri masih bertugas di Ipoh , Perak dan aku tiada pilihan terpaksa berulang setiap hari dari Ipoh-KL. Bangkit pada jam 4.15 pagi, bersiap-siap untuk ke Stesen Bas Medan Gopeng dan kadangkala menunggu di bus stop berhadapan dengan taman perumahan aku di Simpang Pulai, bas bertolak setiap hari pada jam 5.00 pagi.
Singgah solat Subuh di R n R Ulu Bernam atau Tanjung Malim sudah menjadi kemestian sebelum tiba di KL. Jam 7.15 pagi sampai di Puduraya terus amik motor untuk bergerak ke Putrajaya mengambil masa dalam 35 minit. Sampai di MOA jam 7.50 pagi dan memulakan rutin kerja seperti biasa. Aku telah tetapkan sebelum jam 4.30 petang semua kerja-kerja opis perlu disiapkan sebelum aku punch out jam 5.00 petang.
Menaiki bas jam 6.30 petang, aku kena bergerak dari opis selewat-lewatnya jam 5.45 petang. Bas yang aku naik pada jam 6.30 petang akan singgah solat Maghrib di Hentian Ladang Bikam dan akan tiba di Ipoh jam 8.45 mlm. Itulah rutin kehidupan aku selama hampir 2 tahun berulang dari Ipoh-KL. Ramai pegawai-pegawai kerajaan yang mempunyai rutin sama seperti aku ketika itu, adanya pegawai kanan JKR, pegawai kanan KSWP, pegawai bank SME, pegawai kanan SSM dan ramai lagi.
Puduraya pada ketika itu memang dekat dihati kerana hampir separuh rutin hidup aku menjadikan puduraya persinggahan sebelum balik ke rumah. Percaya atau tidak, rakan-rakan boleh cuba menaiki bas Ipoh-KL jam 5.00 pagi dan akan berjumpa dengan kumpulan yang sentiasa berulang alik setiap hari. Hentian Puduraya menggamit seribu memori dan nostalgianya akan sentiasa dekat dihatiku.
Cantiknya Pudu Sentral
Mesin ATM yang teratur dan selesa
Plak berbentuk bas Hentian Puduraya
Kaunters pembelian tiket
Puduraya sekitar tahun 1970-an
Puduraya sekarang digelar Pudu Sentral
Padangan dari tingkat atas Pudu Sentral