Showing posts with label Liverpool FC. Show all posts
Showing posts with label Liverpool FC. Show all posts

Friday, 27 January 2017

Liverpool, That Night in Istanbul...

25 Mei 2005 adalah tarikh keramat kepada Liverpool FC kepada bersaing dalam perlawanan akhir UEFA Final Liga Champions menentang AC Milan. Stadium Ataturk di Kota Istanbul, Turki menjadi saksi kebangkitan Liverpool ketika ketinggalan 3-0 kepada AC Milan. 

Separuh masa kedua menjadi milik Liverpool apabila berjaya menyamakan kedudukan 3-3 sama di mana gol-gol dijaringkan oleh Steven Gerrard (Kapten Pasukan), Smicer dan Xabi Alonso membawa pelawanan ke masa tambahan. Akhir perlawanan berakhir dengan sepakan penalti di mana Liverpool menewaskan AC Milan dengan 3-2.

Kesebelasan Utama Liverpool ketika Final Liga Champions di Istanbul, Turki.
Inshaa Allah, dalam masa 2 hari aku akan menjejak kaki ke bumi Istanbul di mana sejarah Liverpool tidak pernah dilupai oleh semua peminat Liverpool kenangan manis memenangi UEFA Champions League buat kali ke-5 dalam sejarah bolasepak UEFA. Stadium Ataturk akan aku jejaki bagi mengembalikan nostalgia pada tahun 2005.

Istanbul, Tunggu Aku Datang!!!





Thursday, 19 January 2017

Barisan Muda Liverpool Semakin Meningkat

Image may contain: 1 person


Tahniah barisan muda Liverpool, semakin menampakkan peningkatan dan perlu diberikan lebih pendedahan. YNWA...

Monday, 9 January 2017

FA CUP Match - Good Luck for Next Match



Menurunkan barisan muda bagi memberi pendedahan tidak salah tetapi perlu berhati-hati dalam segala percaturan. Apa-apa pun Jurgen Klopp mempunyai taktik dan perancangan sendiri bagi team Liverpool. YNWA...

Monday, 10 February 2014

REDS AMAT "BERNAFSU" - RODGERS

Raheem Sterling (kanan) diraikan oleh rakan-rakan sepasukan selepas menjaringkan gol ketiga Liverpool dalam perlawanan menentang Arsenal di Anfield, kelmarin. - AFP

LIVERPOOL - Brendan Rodgers memuji aksi cemerlang yang dipamerkan pemainnya ketika melakar kemenangan menakjubkan dengan membelasah Arsenal 5-1 di Anfield, kelmarin.
The Reds melakukan amukan ke atas Gunners menerusi dua ledakan gol Martin Skrtel serta Reheem Sterling, selain satu gol yang dihasilkan Daniel Sturridge.
Kemenangan itu membantu Liverpool mengukuhkan cengkaman di kedudukan empat teratas, selain merapatkan jurang kepada lima mata dengan Arsenal dalam carta liga.
"Pemain beraksi cemerlang secara taktikal dan menunjukkan nafsu serta keinginan mereka pada perlawanan tersebut. Itu amat penting buat kami.
"Kami telah beraksi dengan cukup baik sekali hari ini (kelmarin), satu persembahan yang mengagumkan pada perlawanan berprestij antara dua pasukan gergasi.
"Kami telah bekerja keras bagi menghadirkan ancaman. Saya sering berpendapat jika kami berjaya menekan lawan dengan baik, ini bermakna kami mampu melakukan gerakan yang bagus.
"Untuk bermain seperti itu, ia bukan hanya melibatkan keputusan, tetapi tahap persembahan sudah pasti berkelas dunia. Saya amat gembira dan ini adalah satu petanda buat kami yang kami semakin meningkat naik dari semasa ke semasa," kata pengurus Liverpool itu kepada laman web rasmi kelab.
Rodgers percaya, kemenangan besar yang dilakar pasukannya mampu memberi manfaat berguna kepada masa depan pemain-pemain mudanya.
"Kami telah melakar beberapa kemenangan menakjubkan dan persembahan yang cemerlang.
"Kemenangan di padang lawan di Tottenham, kejayaan membenam Everton di laman sendiri dalam perlawanan yang sengit, malah kami berjaya mengalahkan Manchester United dan beraksi dengan baik sekali.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Rodgers tidak menyembunyikan minat bagi mendapatkan pertahanan antarabangsa England, Ashley Cole pada musim panas ini.
Cole yang semakin disisihkan daripada kesebelasan utama Chelsea menyatakan hasrat untuk tetap beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris sekurang-kurangnya semusim lagi biarpun menerima beberapa tawaran bermain di luar negara.
Pemain berusia 33 tahun itu bakal tamat kontrak pada Jun ini dan pemain tersebut tidak berminat untuk menandatangani perjanjian baharu bagi mengekalkan dirinya bersama pasukan dari barat London itu ekoran kekurangan peluang beraksi dalam skuad utama. - AGENSI



Sumber dari:-

© Utusan Melayu (M) Bhd 

LIVERPOOL AIBKAN ARSENAL

PEMAIN Liverpool, Martin Skrtel (tengah) dan rakan-rakan sepasukan meraikan golnya ketika menentang Arsenal dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Anfield, Liverpool semalam. Liverpool menang 5-1. - REUTERS

LIVERPOOL - Liverpool membelasah pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal 5-1 dengan mempamerkan permainan menyerang yang menakjubkan di Anfield seterusnya mengukuhkan peluang mereka untuk merebut tempat ke Liga Juara-juara, sedangkan peluang The Gunners untuk meraih trofi liga musim ini menjadi tanda tanya.

Empat gol tuan rumah hadir dalam tempoh 20 minit, apabila mereka menghukum kealpaan Arsenal sedikit demi sedikit, seterusnya meletakkan mereka sebagai pasukan yang mampu untuk mencabar kejuaraan liga apabila sebelum ini hanya tertumpu kepada tiga pasukan sahaja, termasuk Manchester City dan Chelsea selain Arsenal.

Kemenangan Liverpool itu menamatkan rekod tanpa kalah Arsenal dalam empat perlawanan dan berjaya merapatkan jurang kepada lima mata untuk mengukuhkan kedudukan di tempat keempat.

Pasukan tuan rumah tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila pemain pertahanan, Martin Skrtel berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol seawal minit pertama melalui sepakan dari dalam petak penalti, berpunca daripada sepakan bebas yang dilakukan ketua pasukan, Steven Gerrard.

Skrtel sekali lagi menghukum kealpaan pertahanan Arsenal apabila menanduk masuk sepakan sudut yang diambil Gerrard pada minit kesepuluh untuk jaringan kedua peribadinya dan pasukan tuan rumah.

The Reds seolah-olah seperti singa lapar apabila mendahului 3-0 pada minit ke-17, kali ini giliran penyerang muda, Raheem Sterling pula menumpaskan penjaga gol lawan, Wojciech Szczesny apabila menerima umpanan leret daripada Luis Suarez dari bahagian kanan.

Liverpool terus berpesta gol apabila menambah jaringan pada minit ke-20 menerusi penyerang antarabangsa England, Daniel Sturridge, selepas menerima hantaran ke depan yang cantik daripada Philippe Coutinho.

Kebangkitan yang diharapkan anak buah Arsene Wenger pada separuh masa kedua tidak berlaku apabila mereka dihukum lagi menerusi gol kelima dan juga jaringan kedua Sterling selepas merembat masuk dari dalam petak penalti.

Arsenal akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-69 apabila Mikel Arteta menyempurnakan sepakan penalti, selepas pengadil perlawanan, Michael Oliver menghukum kesalahan Gerrard yang mengasari Alex Oxlade-Chamberlain dalam petak penalti.

Arsenal berpeluang membalas dendam kekalahan mereka di Anfield apabila kedua-dua pasukan bertemu semula pada 16 Februari di Stadium Emirates untuk perlawanan pusingan kelima Piala FA. - REUTERS



Sumber dari:-

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, 30 January 2014

LIVERPOOL CATAT KEMENANGAN BESAR


LIVERPOOL - Jurulatih Liverpool, Brendan Rodgers berharap kemenangan 4-0 pasukannya ke atas Everton semalam akan memberi mereka kelebihan psikologi dalam pemburuan slot ke Liga Juara-juara Eropah.

The Reds meraih kemenangan yang cukup bermakna ke atas Everton di Anfield semalam, yang terbesar sepanjang sejarah permusuhan mereka sejak November 1982, menerusi dua gol yang disumbangkan oleh Daniel Sturridge dan masing-masing satu gol dari Luis Suarez dan Steven Gerrard.

Kemenangan itu membantu Liverpool mengukuhkan kedudukan di tempat keempat dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL), empat mata meninggalkan musuh setempatnya itu dan Rodgers yakin mereka mampu menjadi antara empat kelab terbaik musim ini.

"Semua kemenangan sangat penting, terutama sekali menentang musuh setempat. Secara psikologi kemenangan besar akan menaikkan keyakinan dan kepercayaan terhadap pasukan.

"Saya rasa sepanjang musim ini kami telah menunjukkan bahawa kami pencabar yang serius. Kami juga telah menunjukkan semangat sepasukan yang tinggi, walaupun kami kehilangan pemain tetapi kami telah mengatur agar tidak bergantung kepada hanya seseorang pemain sahaja.

"Ini adalah kemenangan pertama saya dalam pertemuan dengan musuh setempat tetapi saya lebih gembira melihat pemain dan penyokong. Saya sangat gembira jika kami kekal di antara empat terbaik hingga Mei ini," kata Rodgers.

Rodgers juga memuji persembahan penyerang England, Sturridge selepas dia menjaringkan 16 gol dalam semua pertandingan musim ini.
Sturridge terlepas peluang untuk mencipta jaringan hatrik apabila sepakan penalti yang diambilnya tersasar dan dilihat marah selepas dikeluarkan tatkala perlawanan berbaki 18 minit.

Jurulatih Everton, Roberto Martinez pula menganggap prestasi pasukannya mengecewakan tetapi dia tidak bersetuju dengan Rodgers yang menganggap keputusan tersebut memberi gambaran terhadap pengakhiran musim ini.
"Memang mengecewakan tetapi saya tidak fikir keputusan itu akan menjadi ukuran tentang apa yang akan berlaku Mei ini.

"Saya rasa apa yang penting kami belajar tentang prestasi pada separuh masa pertama. Prestasi kami tidak mencapai standard kami. Terdapat beberapa perkara yang menyebabkan kami menunjukkan prestasi seperti itu.

"Kami hilang konsentrasi dan terlalu fokus untuk mencari gol sehingga membiarkan ruang terlalu terbuka," kata Martinez. - AFP

Everton juga ditimpa malang apabila penyerang yang dipinjam dari Chelsea, Romelu Lukaku cedera dan terpaksa diusung keluar padang pada minit ke-25. - AFP



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday, 24 January 2014

BENTENG REDS DIRUNDUNG MASALAH



LIVERPOOL - Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers perlu memberi perhatian serius kepada taktik yang digunakan pasukannya ketika ini kerana benteng pertahanan mereka terlalu banyak melepaskan gol dan Reds tidak boleh bergantung kepada jentera serangan yang berkaliber semata-mata.

Beberapa perlawanan terakhir Liverpool menyerlahkan betapa rapuhnya benteng pasukan itu, terutama apabila lawan mengatur serangan balas.

Aksi menentang Stoke City pada 12 Januari lalu mendedahkan kelemahan ketara Reds, apabila melepaskan tiga gol biarpun pada akhirnya menang 5-3 di Stadium Britannia.

Pertemuan dengan Aston Villa, yang berkesudahan seri 2-2 di Anfield, Sabtu lalu juga memperlihatkan betapa Liverpool memerlukan pemain tengah yang mampu membantu bahagian pertahanan.

Ketika ini, Lucas adalah pemain tengah yang mampu membantu benteng pertahanan, malangnya tonggak Brazil itu mengalami kecederaan lutut dan terpaksa diketepikan sekurang-kurangnya dua bulan.

Rodgers dikatakan sedang mempertimbangkan untuk membawa masuk pemain tengah bertahan dari Belanda, Nigel de Jong bagi mengisi kekosongan Lucas.
De Jong, 29, kini beraksi bersama AC Milan, gergasi bola sepak Itali yang sedang bergelut dalam kancah Serie A. - AGENSI



Sumber dari :
 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, 20 January 2014

LIVERPOOL BANGKIT SELEPAS KETINGGALAN DUA GOL

PENYERANG Liverpool, Daniel Sturridge menjaringkan gol pertama pasukannya ketika menentang Aston Villa dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Anfield, Liverpool semalam, yang berkesudahan seri 2-2. - REUTERS

LIVERPOOL - Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers berkata, kejayaan pasukannya memperoleh keputusan seri 2-2 dengan Aston Villa selepas ketinggalan dua gol harus dilihat sebagai tanda kemajuan prestasi yang telah mereka lakukan musim ini.

Villa mendahului 2-0 di Anfield menerusi jaringan Andreas Weiman dan Christian Benteke tetapi jaringan Daniel Strurridge sebelum tamat separuh masa pertama dan jaringan penalti Steven Gerrard memastikan satu mata menjadi milik mereka.

Rodgers menyifatkan keputusan itu sebagai sesuatu yang sangat berharga buat Liverpool yang kini menghuni anak tangga keempat liga untuk merebut slot ke Liga Juara-juara.

"Ini merupakan penanda aras kepada persembahan kami. Kami menentang Stoke dan Aston Villa pada waktu yang sama musim lalu tetapi gagal mendapatkan mata, kami tewas dalam kedua-dua perlawanan itu.

"Kali ini empat dari enam mata. Ini merupakan mata berharga untuk kami. Kami tidak beraksi dengan baik tetapi mentaliti pasukan membuktikan kami boleh melakukan sesuatu. Ini merupakan keputusan yang baik selepas kami ketinggalan 2-0," katanya. - AFP

"Kami tidak beraksi dengan bagus tetapi paling penting kami dapat sesuatu daripada perlawanan ini. Sekali lagi kami menunjukkan kebolehan untuk bangkit semula," katanya.

Rodgers turut mengulas keputusan kontroversi pengadil Jon Moss yang menghadiahkan sepakan penalti selepas Luis Suarez dijatuhkan penjaga gol Villa, Brad Guzan.

Ulang tayang televisyen bagaimanapun gagal membuktikan sama ada berlaku sentuhan di antara Guzan dan penyerang Uruguay itu.

"Sangat jelas penalti, apabila anda melihatnya secara dekat, lengan kiri penjaga gol terkena kaki Luis Suarez.

"Saya juga merasakan kami kurang bernasib baik apabila tidak diberikan satu lagi sepakan penalti apabila bola terkena tangan Leandro Bacuna," katanya. - AFP


Sumber dari:

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday, 18 January 2014

LIVERPOOL BERADA PADA TAHAP TERBAIK - SUAREZ

Luis Suarez mendahului senarai penjaring musim ini dengan 22 gol. - REUTERS

KUALA LUMPUR - Prestasi yang dipamerkan Liverpool sepanjang 21 perlawanan musim ini membuktikan mereka layak untuk beraksi dalam Liga Juara-juara, kata ayam tambatan The Reds, Luis Suarez yang kini mendahului senarai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris.

Dua gol yang diledakkan bintang Uruguay itu pada hujung minggu lalu membolehkan Liverpool membenam Stoke City 5-3 di Stadium Britannia. Dia telah menjaringkan 22 gol setakat ini walaupun hanya beraksi dalam 16 perlawanan Liga Perdana musim ini.

Pemain yang menyarung jersi No. 7 itu mempamerkan prestasi mengagumkan sejak musim 2013/14 bermula dan aksi cemerlang yang dipamerkan Suarez menjanjikan satu sisi baru penyerang tersebut dengan permainan yang cukup kreatif serta menarik.

Persembahan prolifik yang dipamerkan Suarez telah membantu skuad bimbingan Brendan Rodgers mengekalkan kedudukan empat teratas liga setakat ini dan turut menghidupkan peluang untuk memburu gelaran.

"Prestasi yang ditunjukkan sekarang amat penting kerana sejak dua tahun lalu kami gagal membuktikan Liverpool mampu beraksi dalam Liga Juara-juara. Sekarang kami bermain cemerlang, tahap yang melayakkan kami beraksi dalam Liga Juara-juara.

"Kami memiliki pemain yang bagus dan jika mengekalkan kecemerlangan ini, kami mampu berbuat begitu (layak ke Liga Juara-juara)," kata Suarez, dipetik dari laman web rasmi pasukan, Liverpoolfc.com.

Walaupun, Suarez tidak dicalonkan sebagai penerima anugerah FIFA Ballon d'Or semalam, pemerhati sukan mengesyorkan bahawa penyerang Liverpool itu berhak untuk berada dalam kelompok pemain terbaik dunia.

Berdasarkan kajian statistik, bintang Liverpool itu kini berada di depan dua pemain handalan, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo dari Barcelona serta Real Madrid, dalam carta penjaring terbanyak bagi kempen kali ini.

Ketika ditanya kepada Suarez, anda akan menerima jawapan merendah diri daripada penyerang itu apabila dia hanya berminat untuk memberi tumpuan kepada sumbangannya terhadap pasukan dan bertindak selaku wakil penyokong kelab.

"Ketika kanak-kanak anda banyak berangan. Tidak ramai orang atau pemain bercakap mengenainya dan bagi saya memang sukar untuk dipercayai. Begitu juga dengan Liverpool, sejak dua atau tiga tahun lalu kami tidak bermain di tahap sebenar. Sekarang kami kembali mendapatkan sentuhan itu.

"Anda bekerja keras untuk penyokong. Ini amat penting kerana beberapa bulan lalu saya berada dalam situasi sukar. Sekarang saya telah berubah," tambah pemain berusia 26 tahun itu.

Suarez menjaringkan 23 gol dalam 33 perlawanan Liga Perdana musim lepas, satu rekod yang hampir pasti diatasi sendiri pemain itu musim ini.

sumber dari:-


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140115/sl_03/Liverpool-berada-pada-tahap-terbaik---Suarez#ixzz2qRqZFrqe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, 16 January 2014

SAS LIVERPOOL KEMBALI MENGGANAS

Luis Suarez (kanan) meraikan jaringan keduanya ketika menentang Stoke City bersama Daniel Sturridge dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Britannia, Stoke semalam. - REUTERS

LONDON - Kombinasi SAS - Suarez dan Sturridge - membuktikan mereka gandingan penyerang terbaik dalam Liga Perdana Inggeris apabila memecah belahkan pertahanan Stoke City ketika Liverpool menang 5-3 dalam pertarungan sengit dan menghiburkan di Stadium Brittania semalam.

Walaupun perlawanan itu turut mengundang kontroversi, namun kemunculan semula Daniel Sturridge pada babak kedua untuk membantu Liverpool melonjak semula ke anak tangga keempat liga, jelas menjadikan jentera serangan The Reds adalah yang paling berbahaya musim ini.

Penyerang England yang baru pulih daripada kecederaan itu, dan masuk sebagai pemain gantian, menjaringkan gol terakhir perlawanan setelah sebelumnya membuat umpanan tepat untuk Luis Suarez menyudahkan gerakan serangan balas Liverpool dengan sepakan lengkung dari hujung kotak penalti untuk gol keempat.

Sebelum itu, perlawanan menjadi begitu menarik apabila kedudukan terikat 2-2 sebelum rehat. Liverpool mendahului dengan dua gol menerusi jaringan sendiri Ryan Shawcross pada minit kelima setelah sepakan kencang pemain pertahanan kiri The Reds, Aly Cissokho mengenai pahanya.

Suarez kemudian mengambil kesempatan daripada salah faham pertahanan tuan rumah untuk menjaringkan gol kedua.

Stoke menyamakan kedudukan menerusi dua bekas pemain Liverpool, Peter Crouch dan Charlie Adam. Crouch mengurangkan defisit jaringan apabila menanduk umpanan lintang Marko Arnautovic dan Adam kemudian melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan Simon Mignolet dari luar kawasan penalti.

Bagaimanapun, Liverpool kembali menguasai perlawanan apabila kapten, Steven Gerrard tampil menyempurnakan penalti pada minit ke-51, setelah Marc Wilson mengkasari Raheem Sterling.

Sturridge, yang sebelum ini berehat selama tujuh minggu kerana cedera, kemudian dimasukkan menggantikan Philippe Coutinho dan dia mengelirukan pemain pertahanan Stoke untuk mengumpan bola kepada Suarez bagi gol keduanya, dan yang ke-22 musim ini, ketika permainan berbaki 19 minit.

Jonathan Walters memberi Stoke nafas untuk kembali bersaing apabila melepaskan rembatan melepasi Mignolet pada minit ke-85, tetapi dua minit kemudian Sturridge menewaskan penjaga gol tuan rumah, Jack Butland setelah menerima umpanan Suarez.

"Saya fikir kami sungguh hebat hari ini (semalam).

"Kami membuat kesilapan di bahagian pertahanan, sesuatu yang tidak bagus dan kami akan menelitinya.

"Tetapi datang ke sini dan mendapat lima gol adalah sesuatu yang cemerlang," kata pengurus Liverpool, Brendan Rodgers kepada Sky Sports. - AGENSI



Sumber dari:-
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140114/sl_01/SAS-Liverpool-kembali-mengganas#ixzz2qRpLW378
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, 15 January 2014

GERRARD PENCEN SEBAGAI PERTAHANAN

Steven Gerrard (kiri) meraikan jaringannya selepas menyempurnakan penalti ketika membantu Liverpool menewaskan Stoke City 5-3 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Britannia, Stoke semalam. - REUTERS

STOKE - Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers percaya, Steven Gerrard yang selama ini menjadi pemain berpengaruh di bahagian tengah sejak sedekad lalu mampu menamatkan kariernya di Anfield di bahagian pertahanan.

Rodgers berkata demikian selepas melihat pasukan bimbingannya melonjak ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris, lima mata di belakang pendahulu, Manchester City selepas menundukkan Stoke City 5-3 dalam perlawanan dramatik di Stadium Britannia semalam.

Gerrard, 33, baru kembali ke pangkuan Liverpool selepas berehat panjang akibat kecederaan pelipat lutut, dan dia tidak diturunkan di posisi kebiasaannya iaitu tengah, sebaliknya beraksi sebagai pertahanan tengah.
Rodgers percaya, posisi tersebut akan menyerlahkan kehebatan kapten Reds itu ketika persaingan liga memasuki separuh musim kedua.

Gerrard kembali beraksi sejak pulih daripada kecederaan ketika Liverpool menewaskan Oldham 2-0 dalam persaingan Piala FA pada 5 Januari lalu dan sudah mengadakan perbincangan bersama Rodgers sejak beberapa minggu lalu mengenai posisi baharunya.

"Saya rasa dia adalah pemain terbaik untuk berada di posisi itu.

"Posisi tersebut sesuai dengannya kerana dia ada personaliti untuk bermain di situ. Apabila anda memainkan peranan mengawal, anda perlu mendapatkan bola dan memberikan hantaran-hantaran menarik.

"Pada peringkat kerjayanya sekarang, saya banyak berbincang dengannya mengenai hal ini. Ia bergantung kepada masa yang sesuai untuk dia beraksi dan dia boleh bermain dengan baik," katanya.

Dalam perlawanan semalam, Liverpool mendahului permainan dengan dua gol melalui jaringan sendiri Ryan Shawcross dan Luis Suarez sebelum Stoke menyamakan kedudukan melalui Peter Crouch dan Chralie Adam.

Gerrard kemudian menjaringkan satu gol menerusi sepakan penalti sebelum Suarez menjaringkan gol keempat. Jonathan Walters merapatkan jurang 3-4, sebelum Daniel Sturridge menjaringkan gol kelima Liverpool. - AFP



Sumber dari:-


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140114/sl_05/Gerrard-pencen-sebagai-pertahanan#ixzz2qRoU4OLi
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday, 12 January 2014

STURRIDGE SUNTIK SEMANGAT REDS


LONDON - Daniel Sturridge memberikan suntikan semangat kepada Liverpool dalam usaha memburu gelaran Liga Perdana Inggeris setelah dilaporkan akan kembali ke pangkuan pasukan itu tepat pada masanya.

Penyerang itu terpaksa diketepikan sejak hujung November lalu kerana mengalami kecederaan ligamen pada buku lali ketika menyertai sesi latihan dan dijangka hanya kembali ke pangkuan Reds pada akhir bulan ini.

Namun, pemain yang dibeli dengan harga 12 juta pound (RM64 juta) itu kembali menyertai sesi latihan, kelmarin dan diberi peluang untuk bersaing merebut tempat kesebelasan utama menjelang kunjungan ke Stoke pada hujung minggu ini.

Berita itu merupakan satu bonus buat boss Anfield, Brendan Rodgers yang berdepan krisis kecederaan yang cukup memeningkan kepalanya setelah kehilangan beberapa pemain tonggak sewaktu perayaan Hari Natal dan sambutan Tahun Baharu.

Pengurus Liverpool itu kini sedang mencari formula terbaik pada pasaran perpindahan Januari ini dalam usaha memantapkan skuad bimbingannya dan dia dikhabarkan bakal terlepas dua pemain yang menjadi sasaran bagi mengukuhkan jentera serangan Reds.

Rodgers amat berharap dapat membawa masuk penyerang muda Barcelona, Cristian Tello secara pinjaman hingga hujung musim ini, tetapi juara Liga Sepanyol itu telah menutup pintu mereka untuk berunding.

Tello dikhabarkan tidak gembira kerana kurang peluang beraksi dalam skuad utama musim ini setelah hanya dua kali diserapkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan La Liga. Bagaimanapun Barca menegaskan, mereka tidak bersedia melepaskan pemain antarabangsa Sepanyol berusia 22 tahun itu ekoran masalah kecederaan yang melanda skuad ketika ini.

Khidmat Tello diperlukan sebagai pemain sokongan, tetapi Barcelona mungkin bersedia untuk menjual pemain itu pada musim panas ini.

Rodgers turut berminat mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Mesir, Mohamed Salah yang bernilai 9 juta pound (RM48 juta), tetapi nampaknya Reds terpaksa menunggu hingga musim ini berakhir.

Perundingan masih lagi berjalan, tetapi kos perpindahan penyerang tengah kelab Switzerland, Basel itu yang masih memiliki kontrak tidak sampai dua tahun dikatakan menjadi halangan kepada Liverpool.

Malah, Rodgers masih tidak pasti sama ada pembelian pemain itu benar-benar berbaloi untuk dia mengeluarkan peruntukan yang besar, memandangkan Salah, 21, juga memerlukan masa bagi menyesuaikan diri dengan kancah Liga Perdana. - AGENSI



Sumber dari:-

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, 26 December 2013

BUKU BERTEMU RUAS

                                                          Luis Suarez

LONDON - Perlawanan tradisi sempena Boxing Day yang berlangsung hari ini bakal merombak kedudukan lima pasukan teratas dalam merebut takhta pendahulu Liga Perdana Inggeris.

Buat pertama kali sejak tahun 1992 dalam era Liga Perdana, hanya mata kecil memisahkan lima kelab teratas sepanjang perayaan Hari Krismas.

Arsenal yang terikat 0-0 di laman sendiri ke atas Chelsea, Isnin lalu akhirnya terpaksa memberi laluan kepada Liverpool untuk merampas pendahulu liga.

Bagaimanapun, pasukan Reds akan menghadapi ujian getir dalam perlawanan esok apabila mereka berkunjung ke rumah Manchester City yang telah memenangi semua lapan perlawanan di laman sendiri musim ini dan menjaringkan 35 gol.

City yang menundukkan Fulham 4-2 pada aksi terakhir akan memintas Liverpool sekiranya mereka menang di Stadium Etihad sementara pengurus skuad pelawat, Brendan Rodgers menegaskan, Reds tidak akan terbawa-bawa rentak permainannya seperti awal musim lalu.

“Anda tidak akan mendapat ganjaran pada Krismas ini. Ia merupakan masa yang nostalgia dan orang sentiasa ingin tahu di mana kedudukan pasukan sekitar Hari Krismas itu nanti.

“Kita mahu bertandang ke sana, tapi kita juga berhasrat untuk pergi ke sana pada penghujung musim ini kerana, ia akan membuatkan kita lebih bekerja keras.

Pasukan Rodgers akan turun tanpa kelibat Steven Gerrard, Daniel Sturridge dan Jose Enrique ekoran kecederaan yang mereka alami, namun kehadiran penjaring terbanyak Luis Suarez dengan 19 gol yang boleh digelar sebagai pemain cemerlang setakat ini bakal menjadi ancaman kepada benteng pertahanan City.

Sementara itu, ketiadaan tonggak utama City, Sergio Aguero yang diketepikan akibat kecederaan betis ditambah pula pencapaian Liverpool selaku pasukan pelawat yang membelasah teruk Tottenham Hotspur 5-0 pada perlawanan baru-baru ini, pengurusnya, Manuel Pellegrini mengakui, perlawanan tersebut paling sukar diramal.
Pasukan Liverpool sangat bagus dan Suarez menyerlah pada masa yang baik.
"Tetapi saya rasa Liga Perdana ini, kita hanya menamatkan separuh pertama, dalam dua lagi perlawanan.

“Liga Perdana ini bukan hanya untuk Liverpool dan Manchester City semata-mata. Lima atau enam pasukan lain akan turut berjuang sehingga tamat liga musim ini," ujar pengurus warga Chile itu. - AFP



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, 23 December 2013

LIVERPOOL RAMPAS TANGGA TERATAS LIGA

Luis Suarez meraikan jaringan gol menentang Cardiff City dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Anfield, semalam. Liverpool menang 3-1. - AGENSI
LONDON - Luis Suarez meraikan kontrak baharunya bersama Liverpool dengan menjaringkan dua gol ketika membantu pasukannya menang 3-1 ke atas Cardiff City dalam aksi Liga Perdana Inggeris, semalam.


Kemenangan tersebut membolehkan Liverpool berada di tangga teratas liga dengan 36 mata memintas kedudukan pendahulu sebelum ini, Arsenal.
Suarez telah menandatangani kontrak lanjutan bersama Liverpool, Jumaat lalu untuk tempoh yang lebih lama, malah pemain tersebut kini telah meledak 19 gol dalam liga.

Sementara itu, Cardiff berhadapan risiko berada di zon penyingkiran sekiranya gagal mendapatkan sebarang mata sebelum berakhir musim ini.

Kekalahan kelab milik ahli perniagaan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan itu menyebabkan Cardiff kini berada di tangga ke-15 liga dengan 17 mata.

Pada perlawanan semalam, Suarez mula mempamerkan aksinya tersendiri dengan menjaringkan gol seawal minit ke-25 sebelum rakan sepasukannya Raheem Sterling menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-42.

Kelebihan beraksi di laman sendiri membuatkan pemain Liverpool lebih selesa hingga membolehkan Suarez menambah satu lagi jaringan pada penghujung separuh masa pertama.

Dalam pada itu, satu gol tunggal Cardiff hadir pada minit ke-58 hasil jaringan Jordon Mutch. - AFP



Sumber dari:-

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday, 22 December 2013

SUAREZ DITAWAR KONTRAK LUMAYAN


LIVERPOOL - Transformasi yang ditunjukkan Luis Suarez, daripada pemain yang sering diselubungi kontroversi kepada individu berimej bersih yang telah membawa pasukannya berada di kedudukan cemerlang dalam Liga Perdana Inggeris, bakal membolehkan bintang penyerang itu ditawarkan kontrak baharu yang lumayan di Liverpool.

Pengarah Urusan Reds, Ian Ayre telah terbang ke Barcelona untuk berunding dengan ejen penyerang Uruguay itu, Pere Guardiola yang juga merupakan abang kepada pengurus Bayern Munich, Pep.

Langkah tersebut diambil selepas kemenangan 5-0 di Spurs sewaktu Suarez diberi tanggungjawab sebagai kapten ekoran ketiadaan Steven Gerrard yang mengalami kecederaan.

Suarez telah meledak dua gol pada perlawanan tersebut dan bintang Liverpool itu kini menjadi penjaring terbanyak liga dengan 17 gol.

Statusnya sebagai wira Liverpool yang gembira begitu jauh berbeza jika dibandingkan situasinya sewaktu musim panas lalu apabila dia mendesak untuk berpindah.

Suarez terlepas lima perlawanan pertama musim ini, setelah digantung kerana menggigit pemain Chelsea, Branislav Ivanovic.

Insiden itu berlaku selepas Suarez mencetuskan kontroversi dan didapati bersalah melemparkan kata-kata berbau perkauman terhadap bintang Manchester United, Patrice Evra, dua tahun lalu.

Suarez, 26, berkata, dia mahu berpindah ke kelab yang mampu memenangi trofi dan Arsenal telah mengemukakan bidaan mereka bagi mendapatkan pemain itu, dengan Barcelona dan Real Madrid turut menunjukkan minat mereka.

Namun, dengan kedudukan Liverpool yang kini di tangga kedua dan menjadi pencabar utama Liga Perdana Inggeris serta mengisi slot Liga Juara-Juara, Suarez kelihatan berpuas hati untuk kekal di Anfield.

Pemain itu dikatakan ditawarkan gaji yang lebih lumayan berbanding apa yang diterima sekarang, menerima gaji 120,000 pound (RM636,828) seminggu.

Akhbar Britain melaporkan, Liverpool bersedia menaikkan bintang penyerang mereka itu kepada 200,00 pound (RM1.06 juta) seminggu untuk meyakinkan Suarez agar kekal di Anfield. - AGENSI



© Utusan Melayu (M) Bhd