Showing posts with label Keibubapaan. Show all posts
Showing posts with label Keibubapaan. Show all posts

Saturday, 11 January 2014

TANGANI ANAK-ANAK BERGADUH

bergaduh

Isu bergaduh di kalangan adik-beradik memang tak pernah selesai. Ia masalah biasa di kalangan ibu bapa yang mempunyai lebih daripada seorang anak. Buatlah macam mana sekalipun, mereka akan tetap bergaduh. Sekejap sahaja mereka berbaik, lepas itu mereka kembali bergaduh.
Tetapi kata orang tua-tua, air dicincang tak akan putus. Hubungan adik-beradik tidak akan terputus biarpun mereka kerap bergaduh. Ia sebahagian daripada proses tumbesaran anak-anak. Pergaduhan sesama mereka sebenarnya dapat mendidik banyak perkara seperti sikap bertolak ansur, bersabar, komunikasi dan kemaafan.
Pernah tak kita terfikir mengapa anak-anak kerap bergaduh? Mungkin bagi anak kecil bergaduh sesama adik-beradik mesti disebabkan berebut alat permainan, berebut rancangan televisyen atau salah seorang suka mengusik.
Tetapi mungkin kita terlupa adakalanya beberapa faktor lain turut mempengaruhi anak-anak memulakan pergaduhan. Ada anak berasa dia kurang mendapat perhatian seperti mana adik-beradik lain. Walhal ibu dan ayah tidak pernah beranggapan begitu. Biasanya perasaan itu terbit dari dalam diri anak sulung. Kadang kala ibu ayah berasakan anak sulung sudah besar dan perlu memikul banyak tanggungjawab dan perlu mengalah dalam banyak hal.
Hal tersebut menimbulkan perasaan kurang senang mereka lalu mula mencari hal dengan adik-beradik lain. Fasa pembesaran mempengaruhi sikap mereka terhadap orang lain, jadi sebagai ibu ayah, kita perlu cuba memahami emosi setiap anak-anak.
Walaupun bergelar anak sulung, mereka tetap seorang anak yang memerlukan belaian kasih sayang dan perhatian yang sama seperti adik-beradik lain. Adakalanya perasaan bosan, keletihan dan lapar turut menyebabkan anak-anak bergaduh sesama mereka. Oleh itu pastikan jika di rumah terutama pada hari cuti, anda menyediakan jadual aktiviti yang bermanfaat bagi mengelakkan anak-anak kecil cepat bosan, merengek, mengusik satu sama lain yang menyebabkan timbul pergaduhan.

Wednesday, 8 January 2014

SI KECIL TAK LAPAR


Tentu mama biasa berhadapan dengan situasi di mana anak-anak asyik sekali bermain tanpa menghiraukan makan minum. Apabila ditanya sama ada mahu makan atau tidak, hanya gelengan kepala sahaja yang mereka tunjukkan.
Mama pun jadi hairan sama ada anak lapar atau tidak. Tiada petanda yang menunjukkan mereka lapar kerana terlalu asyik bermain. Benarkah mereka tidak merasa lapar sedangkan hanya menjamah susu sahaja sebelum ini?

Sebenarnya kanak-kanak semulajadi sukar memberitahu mereka lapar sekiranya mereka sedang bermain. Bahkan ada beberapa sebab lain yang menyebabkan mengapa kanak-kanak tidak memberitahu yang mereka merasa lapar.
*Masalah emosi yang dihadapi anak ketika itu membuatkan dia memerlukan perhatian daripada ibu bapa atau sebelum ini sering dimarah menjelang waktu makan menyebabkan emosinya terganggu.
*Meniru perilaku anggota keluarga yang sedang mengamalkan diet. Ini membuatkan mereka turut ingin mencuba amalan tersebut.
*Anak terlalu banyak makan snek sebelum waktu makan menyebabkan perutnya masih kenyang apabila disuruh makan.
Untuk mengatasi masalah tersebut anda perlu melakukan sesuatu kerana dibimbangi, anak-anak akan terbiasa enggan makan dan akhirnya mereka mengalami kekurangan zat penting untuk tumbesaran.
*Buat jadual makan teratur supaya dapat memberi kesempatan perut anak kosong sehingga dia lapar.
*Jangan biasakan makan lebih daripada 30 minit. Ajar anak menghabiskan makanan tanpa perlu bermain atau membuat aktviti lain ketika makan.
*Elakkan memberi anak makan makanan manis agar perutnya tidak kenyang menjelang waktu makan.
* Wujudkan suasana makan yang selesa dan tenang.
*Teman anak makan untuk memenuhi keperluannya terhadap perhatian.
* Sajikan menu harian yang pelbagai, membangkitkan selera dan yang pasti menu kesukaannya.
* Pastikan keperluan kalori dan zat hariannya dipenuhi.

Saturday, 28 December 2013

TARIK MINAT ANAK BELAJAR

belajar
Hari persekolahan akan bermula seminggu sahaja lagi. Anak-anak yang akan memulakan alam prasekolah tentu tidak sabar lagi. Namun biasanya ibu bapa bimbang anak usia prasekolah lebih asyik bermain berbanding belajar.

Kerisauan ibu bapa makin bertambah apabila mereka tidak boleh duduk diam tatkala kita mengajar di rumah. “Kalau begini, macam mana hendak dengar arahan cikgu di kelas nanti.” Mungkin itu yang bermain di fikiran ibu ayah.

Anak-anak usia prasekolah mudah faham apa yang diajar tetapi mudah juga hilang fokus dan lebih gemar bermain. Di usia berapakah mereka akan lebih bersedia dalam soal pelajaran?

Kanak-kanak yang aktif dan cergas mudah memahami atau mempelajari sesuatu perkara. Tetapi mereka masih tidak faham mengapa perlu belajar. Oleh sebab itu mereka mudah hilang fokus atau dengan kata lain mereka bosan.

Adalah lebih baik sekiranya proses pembelajaran itu dilakukan dalam bentuk permainan atau nyanyian. Dalam erti kata lain, pelbagaikan teknik pengajaran kepada yang lebih menyeronokkan agar mereka tidak hilang fokus.

Ini kerana, naluri kanak-kanak memang untuk bermain sahaja. Tambahan lagi, faktor lain termasuklah personaliti. Memang ada kanak-kanak yang boleh fokus kepada satu-satu perkara seperti orang dewasa. Ada yang lebih kepada visual atau alat pandang dengar berbanding hanya bacaan melalui buku sahaja.

Justeru, pelbagaikanlah teknik belajar agar ia lebih dekat dan menarik minat mereka. Apabila sudah masuk sekolah formal nanti (darjah satu), sekurang-kurangnya mereka sudah tahu asas nombor dan huruf (membaca dan mengira).

Thursday, 19 December 2013

MENCONTENG RANGSANG KREATIVITI

conteng
Mesti anda biasa menjerit apabila si kecil sudah pandai menconteng. Siapa yang tak naik angin bila lihat dinding rumah yang cantik berseri penuh dengan hasil seni lukis anak tersayang.
Oh! Bersabarlah bila berhadapan dengan situasi ini kerana sebenarnya anak anda sedang  mengasah bakat dan kreativitinya. Kanak-kanak usia dua hingga tiga tahun memang gemar menconteng. Bila terjumpa pensil warna, dia akan terus menconteng tak kira di mana.
Jadi, untuk memastikan si manja dapat terus berkarya dan dalam masa yang sama, anda tidak naik angin melihat ‘kecantikan’ dinding rumah, berikan dia ruang untuk mengasah kreativitinya.
  1. Sediakan kertas lukisan besar
Kadang kala anak lebih suka melukis di dinding rumah yang luas. Jadi, apa kata anda lekatkan kertas lukisan bersaiz besar di dinding. Biarkan anak mengekspresi dirinya kerana aktiviti menulis dan melukis mampu merangsang kreativitinya.
  1. Kotak warna putih
Rasanya, anak-anak kecil berminat menconteng ruang berwarna putih bersih. Apa kata anda sediakan sebuah kotak putih yang boleh dihiasi mengikut kreativitinya.
  1. Pakaian lama
Kadang-kala anak gemar menconteng baju. Oleh itu sediakan baju lama yang sudah tidak digunakan sebagai tempat dia melukis dan menconteng. Sebaiknya baju yang tidak bercorak atau lebih baik berwarna putih.

Wednesday, 18 December 2013

FAHAM TINGKAH LAKU ANAK


Dalam perkembangan mental kanak-kanak, selain daripada perkembangan kognitif iaitu pemikiran dan fungsi otak, aspek perasaan dan tingkah laku emosi tidak kurang penting. Ia boleh diklasifikasikan dalam dua perkara iaitu:
Faktor luaran - kanak-kanak sering menunjukkan emosi melalui riak muka seperti ketawa, senyum, menangis, bermasam muka, tidak berkata-kata dan sebagainya.
Faktor dalaman - perasaan emosi yang dilahirkan melalui tingkah laku emosi yang berubah-ubah mengikut tindak balas emosi untuk menarik perhatian penjaga atau rakan sebaya.
Emosi adalah penggerak pada tingkah laku kanak-kanak dan merupakan cara termudah untuk mereka melahirkan apa yang difikirkan dan dirasakan. Segala situasi yang berlaku di sekeliling dan perubahan yang dilalui akan mempengaruhi tingkah laku emosi seperti meradang, marah, naik angin, takut, benci dan sebagainya.
Situasi yang melibatkan tingkah laku emosi kadang kala sukar dinilai terutama di kalangan kanak-kanak berusia satu hingga lima tahun kerana perubahan yang berlaku dalam diri kanak-kanak tidak seimbang.
Setiap perubahan yang berlaku adalah disebabkan perubahan luaran dan dalaman yang berkait rapat dengan perubahan biologi yang kurang konsisten. Seorang kanak-kanak dalam masa yang sama harus mengimbangi perubahan diri dan juga penyesuaian faktor luarannya.
Ia mempengaruhi sikap ibu bapa terhadap reaksi kanak-kanak. Sekiranya ibu bapa kurang sensitif dengan perubahan emosi dan biologi kanak-kanak itu, kanak-kanak yang bijak akan mula memanipulasi ibu bapa untuk memenuhi kehendak mereka.

Saturday, 14 December 2013

HADKAN MASA MENONTON TELEVISYEN

Anak-anak dan televisyen memang sukar dipisahkan. Tetapi jangan sampai mereka menjadikan televisyen sebagai tempat bergantung sehingga semua perilaku dipengaruhi oleh televisyen.
Penting bagi ibu bapa untuk mendidik anak agar tidak meniru perilaku dalam rancangan televisyen yang ditonton.
Kebanyakan rancangan yang tersiar dalam televisyen mengandungi banyak keganasan yang langsung tidak sesuai untuk peringkat usia kanak-kanak. American Academy of Pediatrics menyarankan ibu bapa menyediakan jadual atau menapis terlebih dahulu rancangan mana yang sesuai ditonton oleh anak-anak.

 Apa Ditonton Anak!
  • Buat jadual menonton televisyen yang dipersetujui bersama. Misalnya dilarang membuka televisyen semasa waktu makan malam keluarga.
  • Hadkan waktu menonton televisyen, iaitu satu jam pada hari biasa dan dua hingga tiga jam di hujung minggu.
  • Jangan gunakan menonton televisyen sebagai ganjaran atau hukuman kerana  ia dapat membuatkan televisyen semakin tinggi nilainya di mata anak.
  • Seboleh mungkin temankan anak ketika mereka menonton kerana anda dapat menerangkan kekeliruan yang dilihat daripada rancangan televisyen.  
Rancangan Yang Sesuai Dipilih 

  • Mengandung nilai-nilai positif, misalnya berkongsi, rajin, berakhlak dan kasih sayang dalam keluarga dan kawan-kawan.
  •  Sesuai dengan minat anak.
  •  Merangsang rasa ingin tahu anak.
  • Membantu anak belajar bahasa dan tatabahasa baru.
  • Membuatkan anak gembira.
  • Mengembangkan minat anak pada aktiviti lain seperti membaca, dan melakukan kegiatan luar rumah.

Bagaimana Jika Si Kecil “TV Mania” 

  • Alihkan perhatian dengan memperbanyakkan aktiviti yang melibatkan interaksi antara anda dan anak seperti membacakan buku cerita. Apabila kanak-kanak terlalu kerap menonton televisyen, mereka kurang tertarik pada buku.
  • Mengurangkan masa menonton secara perlahan namun konsisten.
  • Galak anak melakukan aktiviti yang aktif seperti menunggang basikal, bermain bola yang banyak mengeluarkan peluh berbanding aktiviti pasif seperti menonton televisyen.
  •  Disiplin menonton televisyen tidak akan berhasil jika ibu bapa sendiri tidak mengamalkan disiplin menonton televisyen di hadapan anak-anak.

Sumber dari:-

Sunday, 8 December 2013

APA ITU IMPETIGO?

Impetigo (Penyakit Kulit Berjangkit) 

Apa itu impetigo?
Impetigo adalah jangkitan pada kulit yang disebabkan oleh bakteria tertentu (Streptococcus atau Staphylococcus). Bakteria tersebut memasuki bahagian kulit yang rosak disebabkan menggaru, luka atau lain-lain masalah kulit. Ia biasa berlaku pada bayi dan kanak-kanak. Ia juga mudah tersebar kepada orang lain.

Bagaimana ia berlaku? 
Ia bermula dengan gelembung-gelembung kecil dan akhirnya pecah dan mengeluarkan cecair. Cecair tersebut akan kering dah menghasilkan kulit keras yang berwarna coklat kekuningan. Penyakit ini sangat gatal.

Bahagian badan manakah ia berlaku? 
Ia selalu dilihat pada bahagian muka di sekeliling mulut dan hidung. Bagaimanapun ia juga boleh terjadi pada bahagian lain badan terutamanya bahagian yang terdedah.

Contoh impetigo :
 





Bagaimana ia berjangkit?
Penyakit ini mudah berjangkit melalui beberapa cara :

  • Bersentuhan badan dengan orang yang dijangkiti penyakit ini
  • Berkongsi pakaian, tuala atau tempat tidur dengan orang yang dijangkiti. Ia juga boleh merebak daripada satu bahagian badan kepada bahagian lain.
Komplikasi
  1. Kadang-kadang, jangkitan bakteria Streptococcus ini boleh membawa kepada penyakit buah pinggang yang serius dipanggil Glomerulonephritis.
  2. Pada bayi, penyakit ini lebih tersebar luas dan lebih teruk.
Apakah yang patut anda lakukan apabila anak anda mengalami impetigo?
  1. Bawa anak anda berjumpa doktor
  2. Rawatan dengan ubat sapu mungkin diperlukan
  3. Antibiotik melalui mulut mungkin diperlukan jika penyakit ini tersebar luas dan lebih teruk
Tindakan lain :
  • Basuh dengan cermat bahagian kulit yang keras dengan sabun / larutan antiseptik dan air 3 – 4 kali sehari
  • Menahan diri daripada menggaru bahagian tersebut untuk mengelakkan ia merebak ke bahagian lain
Bagaimana jangkitan ini dapat dielakkan?
  • Jauhkan kanak-kanak daripada sekolah atau pusat jagaan sehingga ia kering
  • Elakkan berkongsi tuala, pakaian dan cadar
  • Basuh tangan dengan bersih menggunakan sabun dan air selepas bersentuhan dengan kulit yang berjangkit
  • Pastikan kuku sentiasa pendek dan bersih
  • Pastikan ubat diambil mengikut preskripsi doktor

Sumber artikel: laman web Bahagian Pendidikan Kesihatan, KKM.

Tuesday, 3 December 2013

KUASA PELUKAN IBU BAPA

Anak-anak umpama permata hati bagi ibu dan ayah. Kita terlalu sayang akan mereka. Namun kadang kala kita tidak boleh menerima kesalahan yang mereka lakukan.
Kita terlalu mahukan yang terbaik untuk mereka sedangkan sebagai kanak-kanak mereka perlu belajar dari kesilapan. Justeru berilah sokongan dan dorongan kepada mereka apabila melakukan kesilapan.


Pelukan merupakan salah satu bentuk kasih sayang dan sokongan yang ditunjukkan. Berikan anak anda pelukan setiap hari. Ada kajian yang menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yg lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk.

Bila kita peluk dia setiap hari terutamanya seorang ibu, anak tahu yang kita sayangkan dia. Dia akan tahu kita sentiasa menjadi penyokong paling kuat. Anak akan sedar bahawa kita sentiasa ada jika dia kurang berjaya. Emosinya akan terbela. 

Monday, 2 December 2013

APA ITU AUTISMA?

Dewasa ini, semakin ramai ibubapa di Malaysia yang mempunyai anak-anak yang telah disahkan mempunyai masalah autisma. Malah, hampir setiap hari pasti ada ibubapa yang membawa anak mereka yang mempunyai masalah autisma tersebut ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah bagi tujuan mendapatkan rawatan Perubatan Al-Quran. Menurut Persatuan Kebangsaan Autisma Malaysia (NASOM), setiap seorang daripada 150 orang kanak-kanak yang dilahirkan pada masa kini di seluruh dunia memiliki autisma dan dianggarkan kira-kira 47,000 orang kanak-kanak di Malaysia menghidap penyakit autisma.Ada di antara mereka yang memiliki tanda-tanda masalah autisma yang kronik dan ada juga yang baru sahaja di peringkat awal masalah autisma. Umur anak-anak tersebut turut berbeza-beza; dari mereka yang berumur dari enam bulan sehinggalah kepada mereka yang sudah berumur lewat dua puluhan. Kadang-kala, bukan sahaja pesakit autisma yang mendapat rawatan daripada kami tetapi ibubapa & ahli keluarga mereka turut mendapat rawatan oleh sebab tekanan yang kuat daripada penjagaan pesakit autisma tersebut.

Maka, sifat sabar daripada ibubapa dan ahli keluarga amat dituntut dalam memberi penjagaan yang terbaik buat pesakit autisma. Ingatlah bahawasanya Allah swt sentiasa bersama mereka yang bersabar. Seperti di dalam firman Allah swt :

“Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar.” - Surah Al-Baqarah ayat 153

Pengenalan & Ciri-ciri Umum


Autisma merupakan satu bentuk kecacatan atau masalah kurang upaya sistem perkembangan saraf otak & minda yang boleh berlaku sejak di usia seawal enam bulan lagi dan merupakan satu sindrom ketidakupayaan yang boleh kekal sepanjang hayat jika tidak mendapat sebarang rawatan. Penyakit autisma mengakibatkan fungsi memproses maklumat di dalam otak seseorang itu terjejas & menyebabkan pesakit autisma menunjukkan tiga jenis ketidakupayaan umum, iaitu:

  1. Masalah tidak mampu bersosial. Ini merupakan simptom utama penyakit autisma. Pesakit-pesakit autisma tidak memiliki keupayaan untuk bersosial dengan orang sekeliling mereka secara normal dan mereka selalunya tidak mempunyai mempunyai sifat empati terhadap orang lain. Mereka akan tidak mengendahkan orang lain dan kelihatan seperti termenung jauh seorang diri. Malah, ada pesakit autisma yang menunjukkan sikap-sikap yang tidak sepatutnya ditunjukkan di depan orang ramai seperti menjerit-jerit sekuat hati atau membaling-baling barang ke arah orang sekeliling. Malah, pesakit autisma lebih gemar untuk menyendiri dan bermain seorang diri walaupun dikelilingi oleh rakan-rakan sebaya yang tengah seronok bermain bersama-sama.
  2. Kesukaran untuk berkomunikasi secara berkesan dengan insan lain. Mereka selalunya lambat untuk bercakap dan apabila mereka cuba juga untuk berkomunikasi dengan orang lain, selalunya orang lain sukar untuk memahami apa yang mereka cuba sampaikan. Mereka turut kadang-kala bercakap dalam nada yang pelik seperti menyanyi sebagai contoh. Malah, ada di antara pesakit autisma lebih gemar untuk menggunakan bahasa isyarat tangan untuk menyampaikan hasrat di hati kepada ibubapa. 
  3. Masalah dalam tingkah laku dan pemikiran. Ada di antara mereka yang gemar untuk melakukan satu-satu perkara berulang-ulang kali (compulsive behaviour). Ada juga yang mempunyai minat yang pelik dan berlaku agresif sekiranya ada sesiapa yang cuba menghalang minat tersebut. Sebagai contoh, ada pesakit yang hobinya adalah untuk membawa ranting pokok ke mana-mana sahaja yang dia pergi sehinggakan akan memarahi sesiapa sahaja yang cuba untuk mengambil ranting tersebut dari tangan pesakit tersebut.

Tanda-tanda penyakit ini selalunya muncul secara beransur-ansur dan terus bertambah kronik (jikalau tidak mendapatkan sebarang rawatan) sehingga ke umur dewasa.


Punca-punca


Masalah autisma ini berlaku tanpa mengira kira faktor bangsa, latar belakang pendidikan, kedudukan status sosial ekonomi dan gaya hidup. Sehingga ke hari ini, dunia perubatan moden masih lagi belum dapat mengesan secara pasti akan punca sebenar penyakit autisma. Namun, mengikut perubatan moden, pengaruh genetik boleh meningkatkan risiko seseorang itu untuk mendapat anak-anak autisma. Selain dari itu, sangat penting buat semua ibubapa yang mempunyai anak autisma untuk memahami bahawa penyakit tersebut tidak berpunca dari asuhan atau penjagaan yang tidak baik semasa anak-anak masih bayi.

pengalaman Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah merawat anak-anak autisma, terdapat kes-kes yang melibatkan elemen gangguan makhluk halus terutamanya gangguan saka yang menyebabkan masalah autisma. Gangguan saka ini selalunya diwarisi melalui keturunan daripada keluarga yang terdahulu di mana makhluk-makhluk halus ini merosakkan saraf dan minda pesakit yang menyebabkan berlakunya autisma. Adalah sukar untuk perubatan moden untuk membuktikan wujudnya pengaruh makhluk halus ini dalam anak-anak autisma ini tetapi sudah ramai pesakit-pesakit autisma yang menunjukkan perubahan yang positif selepas makhluk halus ini dikeluarkan daripada tubuh badan mereka.


Tanda-tanda Awal Autisma


Antara tanda-tanda awal masalah autisma yang boleh berlaku adalah seperti;

  1. Anak-anak yang tidak mengeluarkan sebarang perkataan yang boleh difahami sehingga umur 16 bulan
  2. Tidak menunjukkan minat untuk bermain atau berinteraksi dengan kanak-kanak lain
  3. Tidak menggunakan jari telunjuk untuk menunjuk sebarang objek
  4. Gagal untuk memberi respon apabila nama dipanggil
  5. Suka menyendiri
  6. Suka menyusun objek mengikut susunan yang tersendiri

Tanda-tanda di atas hanyalah sebahagian daripada tanda-tanda awal masalah autisma & sebarang diagnosis akhir untuk autisma haruslah dirujuk kepada pakar perubatan kanak-kanak.


Rawatan Moden


Rawatan untuk penyakit autisma pada masa kini melibatkan banyak aspek terutamanya dari segi pendidikan khas dari usia awal. Objektif utama rawatan adalah untuk mengurangkan tekanan dalam keluarga, meningkatkan kualiti hidup pesakit dan melatih pesakit untuk mampu berdikari dalam hampir semua aspek kehidupan. Buat masa ini, tiada rawatan tunggal yang mampu merawat autisma. Rawatan selalunya memerlukan beberapa jenis rawatan yang diolah mengikut keperluan setiap kanak-kanak autisma. Contoh rawatan-rawatan yang selalu digunapakai adalah seperti senaman fisioterapi, terapi kognitif dan sikap (cognitive-behavioural therapy), terapi pertuturan dan kaunseling keluarga.

Ahli keluarga terutamanya ibubapa selalunya diberi kaunseling dan latihan dalam menghadapi kerenah anak-anak autisma mereka. Selain itu, guru-guru yang terlatih dalam bidang Pendidikan Khas turut memainkan peranan penting dalam memastikan kanak-kanak autism amendapat pendidikan mengikut cara yang sesuai dengan keperluan masalah autisma kanak-kanak tersebut.


Rawatan Penyakit Autisma Dengan Menggunakan Ayat-ayat Al-Quran


Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, keluarga pesakit autisma akan diberi ayat-ayat berikut untuk mereka amalkan dan seterusnya disertai dengan doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan.  Ayat-ayat tersebut adalah:

  1. Surah Az-Zumar ayat 24 hingga 37
  2. Surah Al-Hijr ayat 66 hingga 99
  3. Surah Yaasin ayat 43 hingga 58
  4. Surah Al-Hajj ayat 40 hingga 55
  5. Surah Al-Hajj ayat 73 hingga 78

Cara amalan ayat-ayat Al-Quran tersebut ialah, keluarga pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Az-Zumar  tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah Al-Hijr tiga kali pada waktu siang. Pembacaan ini hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, keluarga pesakit perlu memohon doa kepada Allah swt untuk penyembuhan. Selepas membaca dua surah pertama tadi, keluarga pesakit hendaklah mengulang amalan-amalan tersebut dengan surah-surah yang berikutnya.
Adalah lebih baik sekiranya pesakit dan keluarga datang untuk berjumpa dengan perawat-perawat Al-Hidayah terlebih dahulu supaya dapat memeriksa jikalau ada sebarang gangguan makhluk halus seperti gangguan saka dan bolehlah dirawat dan diberi ayat-ayat Al-Quran yang lain yang boleh merawat gangguan tersebut.


Penutup


Kepada semua ibubapa di luar sana yang mempunyai anak-anak autisma, janganlah berputus asa dalam mencari cara dan berikhtiar untuk merawat anak masing-masing. Janganlah menganggap anak autisma itu tidak dapat lagi ditolong dan hanya berserah kepada takdir. Yakinlah bahawa pertolongan pasti akan datang bagi mereka yang mencarinya.

Dalam pengalaman mereka merawat anak-anak yang berpenyakit autism, ada di antara mereka yang menunjukkan banyak perubahan yang positif dari segi sikap, kecekapan, pertuturan dan keupayaan untuk berdikari sendiri. Ada daripada pesakit kami yang mula mendapat rawatan daripada umur seawal enam bulan sehinggalah umur mereka 6 hingga 7 tahun. Baru-baru ini, ada daripada anak-anak autisma yang menyertai pakej rombongan umrah Al-Hidayah. Anak-anak ini walaupun berumur 6 hingga 7 tahun, mereka boleh menyesuaikan diri apabila menaiki kapal terbang, suasana asing di Tanah Suci dan boleh dibawa untuk melakukan ibadah tawaf dan sa’i bersama-sama ibubapa mereka. Ini membuktikan anak-anak ini walaupun mempunyai kecacatan minda, dengan keizinan Allah, mereka boleh dididik seperti anak-anak biasa.

Yang penting, kita haruslah yakin bahawa segala sesuatu yang berlaku itu hanya boleh berlaku dengan izin Allah swt. Kita haruslah redha akan ketentuan Illahi. Maka, jikalau ada masanya kita merasakan masalah autisma anak-anak kita itu sudah tidak dapat lagi kita tahan dan perasaan putus asa mula menguasai perasaan kita, cepat-cepatlah kita ingat bahawa apa-apa yang berlaku merupakan suatu ujian daripada Allah swt. Dan ujian atau dugaan daripada Allah merupakan tanda kasih sayang-Nya untuk menguji keimanan kita. Malah, jika kita bersabar dengan dugaan tersebut, ganjaran pasti akan menunggu. Anas bin Malik r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

“Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya bala yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka akan mereka itu diberi dugaan. Oleh sebab itu barangsiapa yang redha dengan ujian yang menimpa, dia akan memperoleh keredhaan Allah dan barangsiapa yang tidak maka padanya kemurkaan Allah.”(Riwayat al-Tirmidzi)

InshaAllah, dengan izin & kuasa Allah Yang Maha Penyayang,  Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah boleh membantu anak-anak yang mempunyai masalah autisma ini.



Saturday, 30 November 2013

PENYAKIT KANAK-KANAK DAN VAKSINNYA

Kementerian Kesihatan Malaysia mengesyorkan vaksin kanak-kanak untuk 11 penyakit berjangkit. Semua bayi yang dilahirkan di Malaysia ditawarkan BCG (yang melindungi daripada tuberkulosis) semasa lahir dan juga vaksin hepatitis B. Yang lain ditawarkan secara rutin kepada setiap orang bayi sebagai sebahagian daripada program vaksin prasekolah. Bacalah dengan lebih lanjut tentang vaksin-vaksin ini dan penyakit-penyakit yang dilindungi. 


Difteria


Difteria lebih mengakibatkan kerongkong. Ianya disebarkan melalui titik-titik dari hidung atau mulut dan, jika komplikasi berlaku, boleh menyebabkan masalah pernafasan, kecederaan kepada jantung dan sistem saraf, dan kemungkinan maut. Tempoh inkubasi ialah antara dua hingga enam hari. 

Bayi-bayi ditawarkan vaksin ini pada usia :



Ia diberi melalui suntikan yang juga mengandungi vaksin-vaksin tetanus, batuk kokol, polio dan Hib. 

Ianya diberikan semula:


Influenza haemophilus jenis b (Hib)


Organisma Hib menyebabkan simptom-simptom yang menyerupai influenza seperti sakit tekak, infeksi dada dan infeksi telinga. Tetapi komplikasi-komplikasi, seperti meningitis atau tekak tersumbat (epiglotitis) boleh diperolehi, dan vaksin tersebut diperkenalkan atas sebab ini. 

Bayi-bayi ditawarkan vaksin ini pada usia:



Ianya diberikan melalui suntikan. Suntikan-suntikan ini juga mengandungi vaksin-vaksin difteria, tetanus, polio dan batuk kokol. Ianya diberikan semula pada usia 18 bulan. 


Campak


Campak dahulunya adalah penyakit kanak-kanak yang paling meluas. Ia amat senang dijangkiti, mempunyai tempoh inkubasi selama 10 hari dan infeksi berlaku melalui titik-titik dari mulut atau hidung. Ia mungkin bermula sebagai selesema yang teruk dengan katar yang banyak dan demam. Ruam akan timbul selepas dua hari. 

Komplikasi adalah perkara biasa dan melibatkan bronkitis, bronkiolitisinfeksi telinga dan krup. Dalam kes-kes yang jarang berlaku, komplikasi serius mengakibatkan sistem saraf, seperti ensefalitis. 

Kanak-kanak ditawarkan vaksin campak di sekitar usia 12 bulan. Ia diberi melalui suntikan dikenali sebagai MMR, yang juga mengandungi vaksin-vaksin beguk dan rubela. Suntikan penggalak prasekolah juga diberikan antara usia enam dan tujuh tahun. 


Beguk


Beguk ialah satu penyakit virus, yang boleh menyebabkan bengkak besar di sekitar pipi dan leher. Tempoh inkubasi ialah antara 14 hingga 21 hari. Komplikasi termasuk meningitis, pekak, ensefalitis dan radang testes (buah pelir) bagi kanak-kanak lelaki, yang boleh menjejaskan kesuburan secara kekal. 

Kanak-kanak ditawarkan vaksin beguk sekitar 12 bulan. Ianya diberikan melalui suntikan yang bergelar MMR, yang juga mengandungi vaksin-vaksin campak dan rubela. Suntikan penggalak prasekolah juga diberikan. 


Polio


Virus polio menyerang tisu saraf dalam otak dan spina korda, dan kadangkala menyebabkan lumpuh. Ianya sering ditemui di negara-negara membangun, tetapi jarang sekali di Malaysia. Ianya dipindahkan melalui sentuhan dengan najis, mukus atau air liur orang yang menghidapnya. Tempoh inkubasi berbeza iaitu antara tiga hingga 21 hari. 

Vaksin polio dimasukkan juga dalam suntikan DTaP/IPV/Hib, yang juga mengandungi vaksin-vaksin difteria, tetanus, Hib dan batuk kokol. Ianya diberi kepada bayi pada usia:



Ianya diberikan sekali lagi:

    • pada 18 bulan
    • dalam suntikan penggalak prasekolah
    • 12 tahun


Rubela


Rubela adalah pada umumnya penyakit yang ringan dalam kanak-kanak menyebabkan demam, ruam dan bengkak kelenjar. Ia mempunyai tempoh inkubasi antara 14 hingga 21 hari dan komplikasi bagi kanak-kanak itu jarang berlaku. Walau bagaimanapun, jika seorang wanita dijangkiti rubela semasa hamil antara lapan hingga 10 minggu, kesan ke atas bayinya yang belum lahir itu boleh menjadi betul-betul serius: bayi boleh dilahirkan cacat pendengaran, cacat penglihatan, masalah jantung dan/atau kerosakan otak. 

Kanak-kanak ditawarkan vaksin rubela di usia 12 bulan. Ia diberi sebagai sebahagian vaksin MMR, yang juga mengandungi vaksin beguk dan campak. Suntikan penggalak prasekolah juga diberikan. 


Tetanus


Simptom-simptom tetanus (kadangkala dikenali sebagai kancing dagu) adalah spasma- spasma kontraksi otot yang sangat sakit. Penyakit ini boleh membawa maut. Tetanus mempunyai tempoh inkubasi antara empat hingga 21 hari. Organisma yang menyebabkannya boleh didapati dalam tanah dari mana luka-luka yang kotor boleh mendapat infeksi. Ia juga boleh dijangkiti melalui gigitan haiwan. Pekerja ladang dan tukang kebun mudah dijangkiti. 

Anak anda akan ditawarkan imunisasi ini sebanyak enam kali. Ianya diberikan pada usia:



Ia juga diberikan dalam suntikan yang juga mengandungi vaksin-vaksin difteria, batuk kokol, polio dan Hib. Ia kemudian diberikan sekali lagi:

    • pada usia 18 bulan
    • antara empat dan enam tahun
    • semasa usia 12 tahun


Batuk kokol (pertusis)


Penyakit yang senang menjangkit ini dipindahkan melalui titik-titik air dari hidung atau mulut. Tempoh inkubasi ialah antara tujuh hingga 10 hari. Ianya bermula dengan cara yang sama seperti selesema, tetapi apabila ianya maju, spasma batuk menjadi semakin teruk. Bunyi "mencungap-cungap" batuk itu berlaku apabila pesakit menarik nafas antara episod batuk. Simptom-simptom yang tidak menyenangkan ini boleh berlanjutan untuk beberapa minggu. 

Kes-kes yang teruk boleh menjadi lebih rumit dengan adanya pneumoniamuntah-muntah dan turun berat badan, dan, lebih jarang lagi, cedera otak dan kematian. Bayi muda paling berisiko. 

Bayi ditawarkan vaksin pada usia:



Ia diberi dengan suntikan, yang juga mengandungi imunisasi bagi difteria, tetanus, polio dan imunisasi Hib. Ia juga diberi di usia:

    • 18 bulan
    • dalam suntikan penggalak prasekolah
    • pada 12 tahun


Papilomavirus manusia (HPV)


Virus papilomavirus dikenali sebagai penyebab pertama kanser serviks. Vaksin baginya melindungi daripada dua jenis HPV, iaitu virus yang menyebabkan 70 peratus daripada semua kanser serviks. 

Vaksin ini ditawarkan kepada semua pelajar perempuan di Tingkatan Satu dan hanya diberikan kepada pelajar jika ibu-bapanya memberi izin. Budak perempuan yang tidak di sekolah ditawarkan vaksin ini pada umur 13 tahun. 


Tuesday, 26 November 2013

MAKANAN BERKHASIAT, ANAK SIHAT


pix
Masuk sahaja usia 6 bulan, kebanyakan bayi sudah mula diperkenalkan kepada makanan pejal. Sedikit demi sedikit mereka belajar mengenali makanan yang pelbagai jenis dan rasa. Supaya anak terus mendapat makanan yang berkhasiat dan berguna untuk tumbesarannya, ada beberapa tip yang boleh dikongsi bersama. 
Setelah semakin membesar, tabiat pemakanan anak anda akan mula berubah. Begitu juga dengan keperluan pemakanannya. Tahun-tahun awal ini adalah waktu pesat untuk perkembangan fizikal dan mentalnya. Ini jugalah masanya tubuh memerlukan lebih nutrien untuk memastikan tumbesaran berjalan lancar. Ketika ini peranan ibu bapa sangat penting. Mereka perlu memastikan setiap makanan yang masuk ke dalam perut anak benar-benar berkhasiat.
Untuk membantu anak mendapatkan nutrien yang cukup bagi tumbesaran yang optimum, ada beberapa tip boleh dijadikan amalan.
Tip 1: Beri protein yang mencukupi
Jumlah protein yang mencukupi dalam diet harian anak penting untuk kesihatannya. Protein bukan sahaja menyumbang ke arah tumbesaran tubuh untuk kanak-kanak yang sedang membesar tetapi juga untuk membantu membina dan memperbaiki tisu badannya yang rosak. Berdasarkan Saranan Pengambilan Nutrien (Recommended Nutrient Intake -RNI) untuk rakyat Malaysia, kanak-kanak yang berusia di antara satu hingga tiga tahun memerlukan sebanyak 14gm protein setiap hari manakala kanak-kanak yang berusia di antara empat hingga enam tahun memerlukan sebanyak 23gm protein setiap hari. Oleh yang demikian, pastikan anak anda mendapat protein yang secukupnya.
Tip 2: Pastikan anak cukup zat besi
Bagi kanak-kanak yang sedang membesar, zat besi penting untuk penghasilan hemoglobin iaitu komponen dalam sel darah merah yang membawa oksigen ke seluruh tubuh. Untuk pengetahuan, jumlah darah meningkat sejajar dengan peningkatan pertumbuhan anak. Oleh sebab itulah kanak-kanak perlukan zat besi yang secukupnya.  Zat besi boleh diperoleh daripada daging merah, hasil tenusu, makanan laut, legum dan sayur-sayuran hijau seperti brokoli. Ketahuilah bahawa vitamin C yang ada dalam buah-buahan sitrus boleh untuk membantu menyerap zat besi dari sumber bukan daging.
Tip 3: Hadkan pengambilan gula
Gula merupakan karbohidrat ringkas dan boleh didapati dalam buah-buahan, makanan pencuci mulut dan minuman berperisa. Seperti yang diketahui ramai, gula membekalkan tenaga tetapi kurang kandungan nutriennya. Jadi, pastikan anak anda tidak terlebih mengambil gula. Selain itu, elakkan daripada memberi anak minum minuman berkarbonat dan galakkan anak minum banyak air kosong.
Anda juga perlu mengehadkan pengambilan snek yang manis oleh anak. Sebaliknya, galakkan mereka makan makanan yang kaya nutrien dan tenaga. Antara makanan yang disarankan ialah seperti buah-buahan kerana buah-buahan bukan hanya mengandungi gula tetapi juga kaya dengan pelbagai jenis vitamin. Selain buah-buahan, karbohidrat kompleks pun bagus untuk anak anda kerana berkanji dan berserat. Beri anak anda banyak karbohidrat kompleks seperti nasi, mi, oat atau bijirin. 
Tip 4: Jangan gunakan garam
Banyak makanan yang siap yang ada di pasaran bukan dibuat untuk kanak-kanak dan selalunya mengandungi terlalu banyak garam. Jadi, elakkan membeli makanan siap untuk anak. Sebaiknya sediakan sendiri makanan untuk anak. Akan tetapi ketika menyediakan makanan untuk anak, kurangkan penggunaan garam dan kalau boleh jangan masukkan garam ke dalam makanan mereka terutamanya bagi makanan bayi.
Tip 5: Pengambilan lemak baik
Bukan semua lemak tidak baik untuk kesihatan. Tidak kira sama ada orang dewasa ataupun kanak-kanak, masing-masing perlukan lemak untuk kegunaan tubuh. Lemak mengandungi asid lemak yang penting dan sesetengah jenis mikro nutrien yang sangat diperlukan untuk pembentukan otak dan menjalankan fungsinya dengan sebaiknya. Akan tetapi, walaupun lemak baik, anda masih perlu mengawal pengambilan lemak oleh anak. Terlalu banyak makanan berlemak boleh memudaratkan. Oleh itu, pastikan makanan yang diambil anak perlulah seimbang.
Ketika menyediakan makanan untuk anak, pilihlah bahan mentah yang rendah lemak tepunya, rendah asid lemak dan rendah kolesterol. Walau bagaimanapun, elakkan memberi anak makan makanan rendah lemak yang diformulasikan untuk orang dewasa. Sebaliknya, pilihlah makanan yang mengandungi lemak daripada sayur-sayuran dan ikan kerana bahan-bahan tersebut kaya dengan Omega 3 dan Omega 6. Omega 3 boleh didapati daripada telur, ikan laut dalam seperti salmon, ikan bilis dan tuna.
Tip 6: Tetapkan waktu makan
Ajarkanlah tabiat pemakanan sihat kepada anak sejak mereka kecil lagi. Ini termasuklah bila waktunya mereka perlu makan dan bukan hanya apa yang boleh dan apa yang tidak boleh mereka makan. Kanak-kanak disarankan mengambil 3 hidangan utama dan  2 hingga 3 hidangan snek sehari. Hal ini membantu mengelakkan pengambilan makanan ringan yang tidak terkawal dan dalam masa yang sama mengurangkan risiko obesiti.
Ibu bapa disyorkan agar sentiasa membekalkan anak dengan snek yang berkhasiat seperti buah-buahan, makanan tinggi serat dan bijirin agar mereka dapat makan ketika lapar. Karbohidrat lengkap yang ada dalam bijirin, makanan kaya serat dan buah-buahan mampu membuatkan perut anak anda kenyang sementara menunggu waktu makan utamanya. Serat yang ada dalam buah-buahan dan bijirin baik untuk sistem penghadaman kanak-kanak dan membuatkan dia rasa kenyang untuk satu jangka masa yang panjang.
Tip 7: Makan bersama keluarga
Makan bersama keluarga adalah amalan yang baik dan perlu diamalkan oleh setiap keluarga yang ada di dunia ini. Inilah masanya untuk mengeratkan hubungan seisi keluarga. Jadi, sediakanlah hidangan yang istimewa dan pastinya makanan tersebut kaya dengan khasiat. Inilah juga masanya untuk ibu bapa mengajar anak etika di meja makan dan tabiat pemakanan yang baik.
Info tambahan:
Omega 6 ada dalam :
  • Minyak kacang soya
  • Minyak canola
  • Biji labu
  • Sayur-sayuran hijau
  • Walnut