LIVERPOOL - Liverpool mencapai persetujuan untuk menandatangani pemain sayap Maghribi, Oussama Assaidi dari kelab Belanda, SC Heerenveen.
Menerusi laman web kelab itu semalam, Liverpool berkata Assaidi, 24, hanya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan di Melwood bagi melengkapkan perjanjian tersebut.
Memiliki 22 cap bersama Maghribi sejak melakukan kemunculan pertama tahun lalu, Assaidi meledakkan 20 gol dalam 68 penampilan bersama Heerenveen.
Pemain itu bakal menjadi pemain ketiga yang ditandatangani jurulatih baru, Brendan Rodgers pada pra-musim selepas pemain tengah Swansea, Joe Allen minggu lalu dan penyerang Itali, Fabio Borini yang menyertai Reds bulan lepas dari AS Roma.
Sementara itu, Rodgers juga mendedahkan bahawa dia berharap dapat menandatangani dua lagi pemain dalam tempoh 48 jam.
Warga Ireland Utara itu dikaitkan untuk meminjam pemain sayap Barcelona, Cristian Tello, 21, serta pemain tengah Real Madrid, Nuri Sahin, 23 dan Rodgers mengesahkan dia sedang menunggu berita berhubung rundingan tersebut dalam masa terdekat ini.
Saya berharap kami dapat membawa masuk seorang atau dua lagi pemain bagi mengukuhkan pasukan. Harap dalam tempoh 48 jam ini, kami dapat perkhabaran mengenainya," kata Rodgers. - AGENSI