Tuesday, 17 September 2013

REDS SASAR AKSI EROPAH

Pemain Liverpool, Daniel Sturridge didakap Brendan Rodgers (kanan) selepas menjaringkan gol tunggal kemenangan Reds menentang Manchester United di Anfield, kelmarin. - AGENSI

LONDON - Brendan Rodgers yakin Liverpool kini bersedia memberikan cabaran serius memburu kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris, musim ini.

Malah, kemenangan 1-0 ke atas penyandang juara, Manchester United kelmarin menyakinkan pengendali Reds itu bahawa pasukannya juga berada di landasan terbaik untuk kembali bersaing dalam kancah bola sepak elit Eropah, Liga Juara-Juara.

Jaringan tunggal Daniel Sturridge kelmarin membantu Liverpool mencatat kemenangan ketiga berturut-turut, sekali gus mengutip sembilan mata maksimum dalam tiga perlawanan awal musim setakat ini.

Ia adalah permulaan terbaik buat Reds dalam tempoh hampir 20 tahun.
"Perlawanan ini (menentang United) antara perlawanan besar yang kami mahu menang kerana kami seri dengan mereka musim lalu.

"Tiada apa yang lebih menggembirakan saya daripada mengharungi tiga perlawanan pertama dengan kemenangan.

"Ia satu langkah ke hadapan buat kami. Mentaliti kemenangan kini semakin kuat, dan tahun ini adalah tahun yang sangat penting.

"Kami melangkah ke arah yang betul, tetapi kami tidak akan terbawa-bawa dengan kemenangan awal musim kerana kita semua tahu, perjalanan liga sangat panjang, jadi pemain harus memandang lebih jauh ke hadapan dengan sasaran utama adalah menempatkan diri dalam kalangan empat pasukan terbaik," ujar Rodgers.

Bagaimanapun, Rodgers mengakui, kemenangan ke atas musuh tradisi, United jelas menyuntik semangat buat anak-anak buahnya.

"Saya rasa ia keputusan yang bagus dan pertahanan kami menunjukkan prestasi yang cemerlang. Manchester United juga bermain baik, tetapi kami tidak hilang fokus sebelum mencatat kemenangan yang hebat," katanya.

Victor Moses, Mamadou Sakho serta Tiago Ilori semuanya menonton kemenangan Liverpool daripada tempat duduk lembaga pengarah di Anfield kerana mereka akan melengkapkan perpindahan ke Liverpool hari ini.

United, yang hanya memenangi satu daripada tiga perlawanan pembukaan mereka setakat ini, menunjukkan pertahanan yang rapuh di awal saingan, malah pengendali pasukan, David Moyes menyalahkan ketiadaan penyerang England, Wayne Rooney akibat kecederaan antara punca kegagalan pasukan pulang bersama mata di Anfield.

"Kalau ada Wayne, keadaan pasti berbeza. Kami seperti kekurangan sesuatu. Saya fikir kami bermain dengan sangat baik tetapi melepaskan gol pada awal saingan sesuatu yang teruk.

"Apa pun keseluruhannya, saya rasa kami bermain baik dan nampak mantap dalam semua tiga perlawanan setakat ini. Kami akan terus beraksi dengan pemain-pemain yang ada, malah saya sebenarnya kagum melihat cara mereka bermain. Sekarang saya faham, mengapa mereka ini menjadi juara musim lalu," kata Moyes.

Moyes, yang tidak pernah menang di Anfield dalam 12 perlawanan, termasuk 11 perlawanan bersama pasukan lamanya, Everton masih berharap untuk melengkapkan perpindahan dengan dua bekas pemainnya di Everton, Marouane Fellaini dan Leighton Baines hari ini. - AGENSI



© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment