Wednesday, 28 January 2015

SELAMAT DATANG TAHUN 2015, SELAMAT TINGGAL TAHUN 2014

Assalamualaikum sahabat-sahabat semua,

Pelbagai tragedi berlaku dalam tahun 2014 yang mengundang kesedihan kepada rakyat Malaysia. Tragedi yang melanda Malaysia seakan-akan satu peringatan kepada semua rakyat agar kita bersepadu hati melupakan fahaman politik untuk duduk bersama-sama aman dalam negara bernama Malaysia.

Muhasabah diri kita, pasti banyak kesilapan dan kesalahan yang kita lakukan tanpa kita sedari. Apabila kita muhasabah diri, kita akan dapat mengenalpasti kesalahan dan kesilapan kita dan boleh diperbaiki untuk tahun 2015.

Dalam kehidupan kita seharian jangan sentiasa menuding kesalahan kepada orang lain. Belajar untuk meminta maaf dan mengaku kesalahan diri agar kita tahu bahawa kita bukannya insan yang sempurna. Belajar juga untuk memaafkan orang kerana setiap manusia itu melakukan kesilapan dan kesalahan, walaupun terpaksa melupakan prinsip hidup sendiri.

Kita kembali kepada musibah yang melanda negara kita, Allah SWT dalam Al-Quran ada menjelaskan mengenai musibah yang berlaku.

Firman Allah bermaksud;

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” – [Al-Baqarah 2:155]

Musibah datang dalam pelbagai cara. Musibah dan ujian merupakan tarbiyah daripada Allah bagi mereka yang celik hati dan akalnya.
Bila diuji, bagaimana penerimaan kita terhadap musibah tersebut? Apakah kita menerima ujian dari-Nya dengan hati yang terbuka, berlapang dada dan kembali muhasabah diri, memperbaiki kelemahan diri dan meningkatkan lagi amalan seharian..?
Jarang sekali kita bersyukur dengan ujian yang diberikan. Sedangkan mungkin juga, ujian itu merupakan salah satu peringatan kepada kita, supaya kembali dekat kepada-Nya, agar perbanyakkan amalan kepada-Nya, menadah tangan bermohon doa kepada Dia. Semoga kita dijauhi dari api neraka dan dimasukkan ke syurga. Kerana Dia kasihkan kita, sekali-sekala Dia ‘mengejutkan’ kita dari lena yang panjang dan menyedarkan kita dari kealpaan dan kelalaian.
Peringatan buat diri saya sendiri adanya. Muhasabah diri sendiri. Mungkin ada sesuatu yang tidak kena, sesuatu yang bukan pada tempatnya yang telah kita lakukan dan Allah mahu ‘menegur’ kita dengan cara tersebut.
Diriwayatkan dari Anas bahwa Rasulullah bersabda;
“Apabila Allah menghendaki kebaikan pada seorang hamba-Nya maka Dia menyegerakan hukuman baginya di dunia; sedang apabila Allah menghendaki keburukan pada seorang hambaNya maka Dia menangguhkan dosanya sampai Dia penuhi balasannya nanti di hari Kiamat.” – [Hadits riwayat At-Tirmidzi dan Al-Hakim]

Saat menadah tangan pohonlah keampunan kepada Allah, berdoalah dengan penuh pengharapan agar kita diampunkan dari segala dosa-dosa yang lalu. Biarlah air mata sepi menjadi saksi tanda kita takut kepadaNya. Beristighfarlah, kerana banyak hikmah terkandung disebalik makna-makna yang diucapkan.
Yakin dan percaya dengan kewujudan dosa dan pahala, syurga dan neraka. Jangan lalai mahupun leka kerana kematian sentiasa menghampiri.
Beriman kepada Allah SWT adalah satu landasan yang merupakan penjuru disetiap kehidupan. Walaupun iman tidak boleh diwarisi tapi boleh menjadi benteng dalam menghadapi pelbagai keresahan hidup.
Berdoalah kerana dengan doa, Allah akan mendengar segala keluhan kita kerana tuhan tahu apabila kita melakukan dosa kita akan kembali mengadapNya. Perbaikilah diri dengan kesalahan serta kesilapan yang kita lakukan. Perelokkan nawaitu kita untuk kembali bertaubat dan bersujud padaNya.
Sucikan hati dan rawatlah jiwa dengan ayat-ayat Allah iaitu al-Quran yang merupakan surat cinta yang diutuskan kepada hamba-hambanya.
Cinta Allah akan kekal dihati, kewujudanNya dapat dirasai, hadirNya bagaikan merentap sanubari.

“Ya Allah, aku bersedia menerima segala ujian dan dugaan-MU”.



No comments:

Post a Comment