SEDIKIT CORETAN MAJLIS PENGKEBUMIAN TOK NAN
____________________________
Izinkan saya berkongsi sedikit kisah yang saya lalui sepanjang hari ini ketika berada di Masjid Jamek Negeri Sarawak bagi menghadiri upacara solat jenazah Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Adenan Satem.
Jam 10:45 pagi, cahaya matahari sudah mula memancar cerah. Panas terik mula terasa. Saya dan 2 orang sahabat memarkirkan kereta di halaman Pejabat Hikmah dan berjalan kaki ke masjid. Serentak dengan itu jenazah juga sampai di masjid dan diletak di ruang tengah.
Usai wudhu, kami masuk ke masjid. Gelombang manusia berbaju hitam memenuhi ruang masjid dari luar hingga ke dalam. Terdetik rasa kagum di dalam hati dengan sosok yang mendapat jolokan Apai Besai negeri Sarawak ini. Disebabkan ramai orang, kami terpaksa berasak-asak dan menjungkitkan kaki untuk melihat jenazah yang diletak di ruang bawah kubah di tengah masjid.
Apa yang menakjubkan, pelbagai bangsa dan agama datang memberi penghormatan terakhir kepada Tok Nan. Melayu, Cina, Iban, Bidayuh, Singh, India, Orang Ulu dan lain-lain lagi memenuhi ruang masjid. Lebih menakjubkan mereka turut mengalirkan air mata kerana kesedihan dengan pemergian Tok Nan. Di dalam masjid ini, semua hamba Allah berkumpul. Dan indahnya orang Sarawak, non Muslim amat menjaga adab dan menghormati rumah ibadat orang Islam. Mereka berpakaian sopan, lelaki memakai seluar panjang, manakala perempuan pula bertudung menutup rambut di kepala.
Saya turut memuji jawatankuasa Masjid Jamek yang melayan tetamu-tetamu non Muslim dengan baik dan sopan santun. Toleransi dan saling hormat menghormati amat terasa semasa berada di dalam masjid. Inilah rakyat Sarawak yang sebenarnya.
Bacaan Fatihah mula dilantunkan oleh para ustaz dan disambut oleh para jemaah yang ada. Tanpa disuruh semua hadirin mula duduk dan mengikut bacaan Yasin yang dipimpin oleh ustaz. Bacaan ayat-ayat suci bergema di dalam masjid menyebabkan saya merasa sebak dan pilu. Malah, tidak jauh dari tempat saya duduk ada 2 orang perempuan yang membaca Yasin sambil menangis.
Bacaan ayat Quran berlanjutan selama 2 jam. Masuk waktu Zohor, azan pun dikumandangkan. Saya rasa inilah kali pertama solat Zohor seperti solat Jumaat di masjid Jamek. Jemaah penuh hingga ke bahagian luar.
Ketika solat jenazah, saya berasa sebak, hampir-hampir menitiskan air mata ketika membaca doa pada takbir ketiga. Saya menahan air mata itu agar tidak tumpah. Sedih di hati biar Allah saja yang tahu. Dan, saya yakin, jemaah di kiri, kanan, depan dan belakang saya juga berusaha sedaya upaya menahan air mata mereka. Sedih yang amat sangat kerana kehilangan pemimpin yang dikasihi.
Keranda dijulang, laluan dibuka. Jenazah diusung ke tempat persemadian terakhir. Terasa air mata ini seperti ingin tumpah lagi.
Selamat tinggal Tok Nan. Saya meminta kepada Allah, agar Dia menganugerahkan tuan naungan di hari yang tiada naungan kecuali Naungan Allah, iaitu Yaumul Mahsyar. Tuan layak menerima naungan itu kerana telah melaksanakan tugas memimpin dengan adil dan saksama. Membela rakyat, amanah dan bertanggungjawab. Pemimpin yang adil termasuk dalam golongan orang yang dinaungi Allah di Hari Penghisaban kelak.
Berehatlah Tok Nan. Kami akan merinduimu.
Nukilan dari Sahabatku Haji Asri bin Sapiee
Kuching, Sarawak
No comments:
Post a Comment