KUALA LUMPUR - Prestasi yang dipamerkan Liverpool sepanjang 21 perlawanan musim ini membuktikan mereka layak untuk beraksi dalam Liga Juara-juara, kata ayam tambatan The Reds, Luis Suarez yang kini mendahului senarai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris.
Dua gol yang diledakkan bintang Uruguay itu pada hujung minggu lalu membolehkan Liverpool membenam Stoke City 5-3 di Stadium Britannia. Dia telah menjaringkan 22 gol setakat ini walaupun hanya beraksi dalam 16 perlawanan Liga Perdana musim ini.
Pemain yang menyarung jersi No. 7 itu mempamerkan prestasi mengagumkan sejak musim 2013/14 bermula dan aksi cemerlang yang dipamerkan Suarez menjanjikan satu sisi baru penyerang tersebut dengan permainan yang cukup kreatif serta menarik.
Persembahan prolifik yang dipamerkan Suarez telah membantu skuad bimbingan Brendan Rodgers mengekalkan kedudukan empat teratas liga setakat ini dan turut menghidupkan peluang untuk memburu gelaran.
"Prestasi yang ditunjukkan sekarang amat penting kerana sejak dua tahun lalu kami gagal membuktikan Liverpool mampu beraksi dalam Liga Juara-juara. Sekarang kami bermain cemerlang, tahap yang melayakkan kami beraksi dalam Liga Juara-juara.
"Kami memiliki pemain yang bagus dan jika mengekalkan kecemerlangan ini, kami mampu berbuat begitu (layak ke Liga Juara-juara)," kata Suarez, dipetik dari laman web rasmi pasukan, Liverpoolfc.com.
Walaupun, Suarez tidak dicalonkan sebagai penerima anugerah FIFA Ballon d'Or semalam, pemerhati sukan mengesyorkan bahawa penyerang Liverpool itu berhak untuk berada dalam kelompok pemain terbaik dunia.
Berdasarkan kajian statistik, bintang Liverpool itu kini berada di depan dua pemain handalan, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo dari Barcelona serta Real Madrid, dalam carta penjaring terbanyak bagi kempen kali ini.
Ketika ditanya kepada Suarez, anda akan menerima jawapan merendah diri daripada penyerang itu apabila dia hanya berminat untuk memberi tumpuan kepada sumbangannya terhadap pasukan dan bertindak selaku wakil penyokong kelab.
"Ketika kanak-kanak anda banyak berangan. Tidak ramai orang atau pemain bercakap mengenainya dan bagi saya memang sukar untuk dipercayai. Begitu juga dengan Liverpool, sejak dua atau tiga tahun lalu kami tidak bermain di tahap sebenar. Sekarang kami kembali mendapatkan sentuhan itu.
"Anda bekerja keras untuk penyokong. Ini amat penting kerana beberapa bulan lalu saya berada dalam situasi sukar. Sekarang saya telah berubah," tambah pemain berusia 26 tahun itu.
Suarez menjaringkan 23 gol dalam 33 perlawanan Liga Perdana musim lepas, satu rekod yang hampir pasti diatasi sendiri pemain itu musim ini.
sumber dari:-
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140115/sl_03/Liverpool-berada-pada-tahap-terbaik---Suarez#ixzz2qRqZFrqe
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment