LIVERPOOL - Jurulatih Liverpool, Brendan Rodgers berharap kemenangan 4-0 pasukannya ke atas Everton semalam akan memberi mereka kelebihan psikologi dalam pemburuan slot ke Liga Juara-juara Eropah.
The Reds meraih kemenangan yang cukup bermakna ke atas Everton di Anfield semalam, yang terbesar sepanjang sejarah permusuhan mereka sejak November 1982, menerusi dua gol yang disumbangkan oleh Daniel Sturridge dan masing-masing satu gol dari Luis Suarez dan Steven Gerrard.
Kemenangan itu membantu Liverpool mengukuhkan kedudukan di tempat keempat dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL), empat mata meninggalkan musuh setempatnya itu dan Rodgers yakin mereka mampu menjadi antara empat kelab terbaik musim ini.
"Semua kemenangan sangat penting, terutama sekali menentang musuh setempat. Secara psikologi kemenangan besar akan menaikkan keyakinan dan kepercayaan terhadap pasukan.
"Saya rasa sepanjang musim ini kami telah menunjukkan bahawa kami pencabar yang serius. Kami juga telah menunjukkan semangat sepasukan yang tinggi, walaupun kami kehilangan pemain tetapi kami telah mengatur agar tidak bergantung kepada hanya seseorang pemain sahaja.
"Ini adalah kemenangan pertama saya dalam pertemuan dengan musuh setempat tetapi saya lebih gembira melihat pemain dan penyokong. Saya sangat gembira jika kami kekal di antara empat terbaik hingga Mei ini," kata Rodgers.
Rodgers juga memuji persembahan penyerang England, Sturridge selepas dia menjaringkan 16 gol dalam semua pertandingan musim ini.
Sturridge terlepas peluang untuk mencipta jaringan hatrik apabila sepakan penalti yang diambilnya tersasar dan dilihat marah selepas dikeluarkan tatkala perlawanan berbaki 18 minit.
Jurulatih Everton, Roberto Martinez pula menganggap prestasi pasukannya mengecewakan tetapi dia tidak bersetuju dengan Rodgers yang menganggap keputusan tersebut memberi gambaran terhadap pengakhiran musim ini.
"Memang mengecewakan tetapi saya tidak fikir keputusan itu akan menjadi ukuran tentang apa yang akan berlaku Mei ini.
"Saya rasa apa yang penting kami belajar tentang prestasi pada separuh masa pertama. Prestasi kami tidak mencapai standard kami. Terdapat beberapa perkara yang menyebabkan kami menunjukkan prestasi seperti itu.
"Kami hilang konsentrasi dan terlalu fokus untuk mencari gol sehingga membiarkan ruang terlalu terbuka," kata Martinez. - AFP
Everton juga ditimpa malang apabila penyerang yang dipinjam dari Chelsea, Romelu Lukaku cedera dan terpaksa diusung keluar padang pada minit ke-25. - AFP
ArtikelPenuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140130/sl_01/Liverpool-catat-kemenangan-besar#ixzz2rrjSFfAM
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment