Dewasa ini, semakin ramai ibubapa di Malaysia yang mempunyai anak-anak yang telah disahkan mempunyai masalah autisma. Malah, hampir setiap hari pasti ada ibubapa yang membawa anak mereka yang mempunyai masalah autisma tersebut ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah bagi tujuan mendapatkan rawatan Perubatan Al-Quran. Menurut Persatuan Kebangsaan Autisma Malaysia (NASOM), setiap seorang daripada 150 orang kanak-kanak yang dilahirkan pada masa kini di seluruh dunia memiliki autisma dan dianggarkan kira-kira 47,000 orang kanak-kanak di Malaysia menghidap penyakit autisma.Ada di antara mereka yang memiliki tanda-tanda masalah autisma yang kronik dan ada juga yang baru sahaja di peringkat awal masalah autisma. Umur anak-anak tersebut turut berbeza-beza; dari mereka yang berumur dari enam bulan sehinggalah kepada mereka yang sudah berumur lewat dua puluhan. Kadang-kala, bukan sahaja pesakit autisma yang mendapat rawatan daripada kami tetapi ibubapa & ahli keluarga mereka turut mendapat rawatan oleh sebab tekanan yang kuat daripada penjagaan pesakit autisma tersebut.
Maka, sifat sabar daripada ibubapa dan ahli keluarga amat dituntut dalam memberi penjagaan yang terbaik buat pesakit autisma. Ingatlah bahawasanya Allah swt sentiasa bersama mereka yang bersabar. Seperti di dalam firman Allah swt :
“Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar.” - Surah Al-Baqarah ayat 153
Pengenalan & Ciri-ciri Umum
Autisma merupakan satu bentuk kecacatan atau masalah kurang upaya sistem perkembangan saraf otak & minda yang boleh berlaku sejak di usia seawal enam bulan lagi dan merupakan satu sindrom ketidakupayaan yang boleh kekal sepanjang hayat jika tidak mendapat sebarang rawatan. Penyakit autisma mengakibatkan fungsi memproses maklumat di dalam otak seseorang itu terjejas & menyebabkan pesakit autisma menunjukkan tiga jenis ketidakupayaan umum, iaitu:
- Masalah tidak mampu bersosial. Ini merupakan simptom utama penyakit autisma. Pesakit-pesakit autisma tidak memiliki keupayaan untuk bersosial dengan orang sekeliling mereka secara normal dan mereka selalunya tidak mempunyai mempunyai sifat empati terhadap orang lain. Mereka akan tidak mengendahkan orang lain dan kelihatan seperti termenung jauh seorang diri. Malah, ada pesakit autisma yang menunjukkan sikap-sikap yang tidak sepatutnya ditunjukkan di depan orang ramai seperti menjerit-jerit sekuat hati atau membaling-baling barang ke arah orang sekeliling. Malah, pesakit autisma lebih gemar untuk menyendiri dan bermain seorang diri walaupun dikelilingi oleh rakan-rakan sebaya yang tengah seronok bermain bersama-sama.
- Kesukaran untuk berkomunikasi secara berkesan dengan insan lain. Mereka selalunya lambat untuk bercakap dan apabila mereka cuba juga untuk berkomunikasi dengan orang lain, selalunya orang lain sukar untuk memahami apa yang mereka cuba sampaikan. Mereka turut kadang-kala bercakap dalam nada yang pelik seperti menyanyi sebagai contoh. Malah, ada di antara pesakit autisma lebih gemar untuk menggunakan bahasa isyarat tangan untuk menyampaikan hasrat di hati kepada ibubapa.
- Masalah dalam tingkah laku dan pemikiran. Ada di antara mereka yang gemar untuk melakukan satu-satu perkara berulang-ulang kali (compulsive behaviour). Ada juga yang mempunyai minat yang pelik dan berlaku agresif sekiranya ada sesiapa yang cuba menghalang minat tersebut. Sebagai contoh, ada pesakit yang hobinya adalah untuk membawa ranting pokok ke mana-mana sahaja yang dia pergi sehinggakan akan memarahi sesiapa sahaja yang cuba untuk mengambil ranting tersebut dari tangan pesakit tersebut.
Tanda-tanda penyakit ini selalunya muncul secara beransur-ansur dan terus bertambah kronik (jikalau tidak mendapatkan sebarang rawatan) sehingga ke umur dewasa.
Punca-punca
Masalah autisma ini berlaku tanpa mengira kira faktor bangsa, latar belakang pendidikan, kedudukan status sosial ekonomi dan gaya hidup. Sehingga ke hari ini, dunia perubatan moden masih lagi belum dapat mengesan secara pasti akan punca sebenar penyakit autisma. Namun, mengikut perubatan moden, pengaruh genetik boleh meningkatkan risiko seseorang itu untuk mendapat anak-anak autisma. Selain dari itu, sangat penting buat semua ibubapa yang mempunyai anak autisma untuk memahami bahawa penyakit tersebut tidak berpunca dari asuhan atau penjagaan yang tidak baik semasa anak-anak masih bayi.
pengalaman Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah merawat anak-anak autisma, terdapat kes-kes yang melibatkan elemen gangguan makhluk halus terutamanya gangguan saka yang menyebabkan masalah autisma. Gangguan saka ini selalunya diwarisi melalui keturunan daripada keluarga yang terdahulu di mana makhluk-makhluk halus ini merosakkan saraf dan minda pesakit yang menyebabkan berlakunya autisma. Adalah sukar untuk perubatan moden untuk membuktikan wujudnya pengaruh makhluk halus ini dalam anak-anak autisma ini tetapi sudah ramai pesakit-pesakit autisma yang menunjukkan perubahan yang positif selepas makhluk halus ini dikeluarkan daripada tubuh badan mereka.
Tanda-tanda Awal Autisma
Antara tanda-tanda awal masalah autisma yang boleh berlaku adalah seperti;
- Anak-anak yang tidak mengeluarkan sebarang perkataan yang boleh difahami sehingga umur 16 bulan
- Tidak menunjukkan minat untuk bermain atau berinteraksi dengan kanak-kanak lain
- Tidak menggunakan jari telunjuk untuk menunjuk sebarang objek
- Gagal untuk memberi respon apabila nama dipanggil
- Suka menyendiri
- Suka menyusun objek mengikut susunan yang tersendiri
Tanda-tanda di atas hanyalah sebahagian daripada tanda-tanda awal masalah autisma & sebarang diagnosis akhir untuk autisma haruslah dirujuk kepada pakar perubatan kanak-kanak.
Rawatan Moden
Rawatan untuk penyakit autisma pada masa kini melibatkan banyak aspek terutamanya dari segi pendidikan khas dari usia awal. Objektif utama rawatan adalah untuk mengurangkan tekanan dalam keluarga, meningkatkan kualiti hidup pesakit dan melatih pesakit untuk mampu berdikari dalam hampir semua aspek kehidupan. Buat masa ini, tiada rawatan tunggal yang mampu merawat autisma. Rawatan selalunya memerlukan beberapa jenis rawatan yang diolah mengikut keperluan setiap kanak-kanak autisma. Contoh rawatan-rawatan yang selalu digunapakai adalah seperti senaman fisioterapi, terapi kognitif dan sikap (cognitive-behavioural therapy), terapi pertuturan dan kaunseling keluarga.
Ahli keluarga terutamanya ibubapa selalunya diberi kaunseling dan latihan dalam menghadapi kerenah anak-anak autisma mereka. Selain itu, guru-guru yang terlatih dalam bidang Pendidikan Khas turut memainkan peranan penting dalam memastikan kanak-kanak autism amendapat pendidikan mengikut cara yang sesuai dengan keperluan masalah autisma kanak-kanak tersebut.
Rawatan Penyakit Autisma Dengan Menggunakan Ayat-ayat Al-Quran
Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, keluarga pesakit autisma akan diberi ayat-ayat berikut untuk mereka amalkan dan seterusnya disertai dengan doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan. Ayat-ayat tersebut adalah:
- Surah Az-Zumar ayat 24 hingga 37
- Surah Al-Hijr ayat 66 hingga 99
- Surah Yaasin ayat 43 hingga 58
- Surah Al-Hajj ayat 40 hingga 55
- Surah Al-Hajj ayat 73 hingga 78
Cara amalan ayat-ayat Al-Quran tersebut ialah, keluarga pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Az-Zumar tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah Al-Hijr tiga kali pada waktu siang. Pembacaan ini hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, keluarga pesakit perlu memohon doa kepada Allah swt untuk penyembuhan. Selepas membaca dua surah pertama tadi, keluarga pesakit hendaklah mengulang amalan-amalan tersebut dengan surah-surah yang berikutnya.
Adalah lebih baik sekiranya pesakit dan keluarga datang untuk berjumpa dengan perawat-perawat Al-Hidayah terlebih dahulu supaya dapat memeriksa jikalau ada sebarang gangguan makhluk halus seperti gangguan saka dan bolehlah dirawat dan diberi ayat-ayat Al-Quran yang lain yang boleh merawat gangguan tersebut.
Penutup
Kepada semua ibubapa di luar sana yang mempunyai anak-anak autisma, janganlah berputus asa dalam mencari cara dan berikhtiar untuk merawat anak masing-masing. Janganlah menganggap anak autisma itu tidak dapat lagi ditolong dan hanya berserah kepada takdir. Yakinlah bahawa pertolongan pasti akan datang bagi mereka yang mencarinya.
Dalam pengalaman mereka merawat anak-anak yang berpenyakit autism, ada di antara mereka yang menunjukkan banyak perubahan yang positif dari segi sikap, kecekapan, pertuturan dan keupayaan untuk berdikari sendiri. Ada daripada pesakit kami yang mula mendapat rawatan daripada umur seawal enam bulan sehinggalah umur mereka 6 hingga 7 tahun. Baru-baru ini, ada daripada anak-anak autisma yang menyertai pakej rombongan umrah Al-Hidayah. Anak-anak ini walaupun berumur 6 hingga 7 tahun, mereka boleh menyesuaikan diri apabila menaiki kapal terbang, suasana asing di Tanah Suci dan boleh dibawa untuk melakukan ibadah tawaf dan sa’i bersama-sama ibubapa mereka. Ini membuktikan anak-anak ini walaupun mempunyai kecacatan minda, dengan keizinan Allah, mereka boleh dididik seperti anak-anak biasa.
Yang penting, kita haruslah yakin bahawa segala sesuatu yang berlaku itu hanya boleh berlaku dengan izin Allah swt. Kita haruslah redha akan ketentuan Illahi. Maka, jikalau ada masanya kita merasakan masalah autisma anak-anak kita itu sudah tidak dapat lagi kita tahan dan perasaan putus asa mula menguasai perasaan kita, cepat-cepatlah kita ingat bahawa apa-apa yang berlaku merupakan suatu ujian daripada Allah swt. Dan ujian atau dugaan daripada Allah merupakan tanda kasih sayang-Nya untuk menguji keimanan kita. Malah, jika kita bersabar dengan dugaan tersebut, ganjaran pasti akan menunggu. Anas bin Malik r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda:
“Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya bala yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka akan mereka itu diberi dugaan. Oleh sebab itu barangsiapa yang redha dengan ujian yang menimpa, dia akan memperoleh keredhaan Allah dan barangsiapa yang tidak maka padanya kemurkaan Allah.”(Riwayat al-Tirmidzi)
InshaAllah, dengan izin & kuasa Allah Yang Maha Penyayang, Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah boleh membantu anak-anak yang mempunyai masalah autisma ini.
No comments:
Post a Comment