Asma merupakan penyakit alahan yang mengganggu saluran udara (bronkus). Semasa berlaku tindak balas alahan, bronkus menjadi sempit dan dipenuhi lendir. Ini menyebabkan kesesakan nafas. Serangan asma boleh menakutkan anak kerana perasaan lemas akan menyebabkan anak berasa panik dan ini membuat pernafasannya semakin sukar. Punca awal yang menyebabkan alahan, iaitu alergen seperti debunga atau habuk rumah, yang biasanya dibawa oleh angin. Bagi anak yang menghidap asma, tekanan emosi dan senaman boleh menyebabkan serangan.
Asma biasanya menyerang kanak-kanak yang berumur dua tahun ke atas. Keadaan ini biasanya masalah keturunan dan di susuli penyakit alahan lain seperti ekzema. Namun, kebanyakan kanak-kanak akan pulih semakin umur mereka meningkat.
Kebanyakan bayi yang berumur kurang satu tahun mempunyai bunyi nafas yang berdehit jika mereka menghidap bronkitis. Ini berlaku apabila saluran udaranya yang kecil menjadi radang. Bayi-bayi ini tidak semestinya menghidap asma. Apabila umur bayi meningkat dan saluran udara mereka semakin besar, bunyi ini akan berhenti. Keadaan ini biasanya disebabkan jangkitan dan bukan alahan.
Adakah keadaan ini serius?
Serangan asma mungkin menakutkan tetapi jika diberi ubat dan nasihat doktor diikuti, anak anda tidak akan menghadapi sebarang kerumitan.
Tanda-tanda
- Sesak nafas. Menghembus nafas menjadi semakin sukar dan abdomen mungkin dikempiskan semasa anak bernafas.
- Rasa lemas.
- Bunyi nafas yang berdehit.
- Batuk yang berterusan.
- Bibir kelihatan biru (sianosis) disebabkan kekurangan oksigen.
- Apakah tindakan pertama?
Bawa anak berjumpa doktor dengan segera jika anda mengalami serangan asma. Jika serangan ini berlaku semasa anak tidur, dudukkan anak dan sokong belakangnya dengan bantal. Anda juga boleh mendudukkan anak anda di atas kerusi dan lengannya diletakkan pada belakang kerusi supaya beban pada dadanya diringankan. Ini membolehkan otot dada mengeluarkan udara dengan lebih cekap.
Bertenang. Keresahan hanya akan membuat anak anda lebih takut. Semasa menunggu doktor, cuba alihkan perhatian anak kepada benda lain. Misalnya, menyanyikan lagu untuk membantu anak melupakan keadaan nafasnya yang berdehit.
Perlukah saya berjumpa doktor?
Bawa anak berjumpa doktor sebaik sahaja anak mengalami serangan asma.
Apakah tindakan doktor?
Doktor mungkin mengesyorkan penggunaan bronkodilator untuk membuka bronkus dengan mengendurkan otot. Dadah ini disedut terus kedalam bronkus. Serangan yang teruk mungkin akan memerlukan rawatan hospital dan dos yang lebih tinggi diberikan secara sedutan atau titisan intravena.
Jika terdapat tanda-tanda jangkitan dada, antibiotik mungkin disyorkan. Doktor akan menerangkan cara menghalang serangan akan datang. Doktor mungkin menentukan alergennya, sama ada melalui ujian bagi alergen tertentu seperti debunga dan habuk rumah. Doktor akan memberi bekalan kecil dadah bronkodilator, sama ada dalam bentuk cecair atau kapsul untuk dimasukkan ke dalam penyedut. Ini harus diambil sebaik sahaja serangan bermula. Doktor akan menasihatkan anda supaya memberitahunya jika anak anda mengalami serangan yang teruk atau sekiranya serangan tidak reda walaupun anak anda diberi dua dos bronkodilator.
Doktor mungkin akan mengesyorkan dadah steroid jika langkah lain tidak dapat menghalang serangan berikutnya. Dos steroid yang rendah mungkin perlu disedut tiga atau empat kali sehari atau jika tindakan ini tidak berkesan, dos yang lebih tinggi diberi dalam bentuk pil.
Bagaimanakah saya boleh membantu?
Jika doktor gagal menentukan alergen, cuba tentukannya sendiri. Catatkan bila serangan ini berlaku dan waktunya. Pastikan rumah anda bebas dari alergen yang biasa seperti kekabu. Gunakan pembersih vakum untuk memvakum habuk di rumah.
Kebanyakan pesakit asma alah terhadap haiwan. Jika anda membela haiwan kesayangan, minta bantuan rakan untuk menjaganya selama beberapa minggu untuk menentukan sama ada kekerapan serangan asma anak anda berkurangan. Pastikan anak membawa ubat pada setiap masa. Maklumkan kepada pihak berkuasa sekolah tentang kemungkinan serangan ini akan berlaku.
Rujuk kepada pakar fisioterapi supaya anak anda boleh mempelajari cara bernafas untuk membantunya menenangkan diri semasa berlaku serangan. Galakkan anak duduk atau berdiri tegak supaya paru-parunya mempunyai lebih ruang. Jangan biarkan anak menjadi terlalu gemuk kerana ini akan membebankan paru-parunya.
Senaman ringan dapat membantu pernafasan anak tetapi latihan yang berat boleh membawa kepada serangan asma. Berenang merupakan latihan jasmani yang sangat baik.
Anak disyorkan memakai lencana “Medic Alert”.
sumber : http://www.sabah.org.my
No comments:
Post a Comment