Wednesday, 13 November 2013

LIVERPOOL KEMBALI TUNJUK TARING


Luis Suarez (kanan) mudah memperdayakan penjaga gol Fulham, Marrten Stekelenburg dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Anfield, kelmarin. Liverpool menang 4-0. - REUTERS

LIVERPOOL, England - Luis Suarez menjaringkan dua gol dan turut membantu Liverpool mencipta peluang bagi mendapatkan jaringan ketika menewaskan Fulham 4-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, kelmarin.

Kemenangan tersebut turut menjadi bukti Liverpool berupaya bangkit selepas kecundang kepada Arsenal awal bulan ini.

Kelmarin, Liverpool memimpin perlawanan menerusi jaringan gol sendiri pemain Fulham, Fernando Amorebieta pada minit ke-23 sebelum Martin Skrtel menyumbat gol kedua Reds tiga minit selepas itu.

Suarez yang mempamerkan permainan cemerlang terus memanfaatkan peluang terhidang dengan menambah dua lagi gol pada minit ke-36 dan ke-54.

Penyerang Uruguay itu kini menjaringkan lapan gol dalam enam perlawanan sejak kembali daripada penggantungan.

Keputusan yang diraih Liverpool itu juga membolehkan kelab tersebut kembali menghuni tempat kedua kedudukan liga.

Dalam pada itu, aksi yang dipamerkan oleh Suarez pada perlawanan tersebut turut mendapat pujian pengurus Liverpool, Brendan Rodgers.
Luis telah menjaringkan gol yang amat baik, malah dia dan Daniel Sturridge sepatutnya mendapatkan lebih banyak gol lagi.
Saya dapat lihat mereka begitu dahagakan jaringan dan kita telah memperoleh lebih 30 percubaan untuk mendapatkan jaringan bagi menguasai keseluruhan perlawanan.
Kemenangan ini telah membuktikan bahawa kami masih mampu untuk mendapatkan lebih banyak mata lagi dalam saingan liga.
Kini kami mahu fokus terhadap mental pemain selepas pasukan mempamerkan persembahan positif," kata Rodgers.

Sementara itu, kekalahan yang menimpa Fulham memberi kesan buruk buat kelab itu berikutan gagal memperbaiki kutipan mata.

Ketika ini Fulham sekadar memperoleh 10 mata daripada 11 perlawanan.

Pada perlawanan menentang Liverpool, Fulham mempamerkan aksi menarik apabila dapat menguasai perlawanan pada 20 minit pertama sebelum Steven Gerrard meraih sepakan percuma yang hampir menyebabkan Reds meraih gol. - AGENSI



© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment