Tuesday, 19 November 2013

ENGLAND BERAKSI TANPA GERRARD

LONDON - Masalah kecederaan tonggak utama terus menghambat England menjelang aksi persahabatan menentang Chile di Wembley hari ini apabila ketua pasukan, Steven Gerrard menjadi pemain terbaharu yang terpaksa digugurkan.

Bintang tengah Liverpool itu gagal sembuh sepenuhnya daripada kecederaan pinggul ketika membantu Liverpool membelasah Fulham 4-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, minggu lalu.


Gerrard, 33, menerima suntikan untuk mengurangkan kesakitan dan tidak langsung menyertai 23 pemain pada sesi latihan skuad kebangsaan semalam, namun dia dijangka mampu pulih untuk membawa cabaran skuad Three Lions dalam perlawanan persahabatan kedua menentang Jerman, Selasa depan.

“Dia sama sekali tidak boleh beraksi dalam pertemuan menentang Chile. Dia menerima suntikan hari ini, tetapi kami berharap dia dapat kembali dan boleh beraksi menentang Jerman minggu depan," kata pengurus England, Roy Hodgson.

Selain Gerrard, England turut menerima khabar kurang menggembirakan daripada Kyle Walker apabila tonggak pertahanan Tottenham itu juga terpaksa diketepikan akibat kecederaan kaki.

Bintang penyerang Liverpool, Daniel Sturridge juga menyertai dua pemain ini dalam bilik rawatan pasukan semalam, namun dia dijangka bersedia untuk diturunkan pada perlawanan hari ini bersama pemain tengah Chelsea, Frank Lampard yang sudah mula menjalani latihan bersama skuad.

England sebelum ini sudahpun menggugurkan dua pemain Manchester United, Michael Carrick dan Danny Welbeck akibat kecederaan, manakala bintang muda Arsenal, Jack Wilshere hanya akan diturunkan dalam satu daripada dua aksi persahabatan pasukan kerana faktor kecergasan.

Ketiadaan Gerrard dan Carrick, selain Wilshere akan membuka peluang kepada pemain Southampton, Adam Lallana untuk membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan.
Gerrard dikeluarkan pada minit ke-66 ketika Liverpool menumpaskan Fulham, Sabtu lalu. Dia menyifatkan kecederaan yang dialami ‘sedikit menganggu’ sambil berharap dapat kembali menguatkan pasukan pada pertemuan dengan Jerman. - AGENSI




No comments:

Post a Comment