Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana masih boleh berbakti kepada kedua ibu bapa yang masih sihat sehingga ke hari ini. 2 tahun yang lalu, pengalaman menjaga ayahanda tercinta di ICU selama 2 minggu memberi kesan yang mendalam sehingga ke hari ini. Betapa berharganya kasih sayang ibu bapa sehingga kita tidak sanggup kehilangan mereka kerana masih belum puas berbakti kepada mereka. Pengorbanan kedua ibu bapa membesarkan kita tidak dapat dibalas dengan wang ringgit, hanya berbakti kepada orang tua sahaja sebagai balasan di atas pengorbanan mereka, itu pun belum mencukupi.
Dua hari lepas, ibu mertua saya pulak jatuh di bilik mandi dan di katil, perasaan saya tersentuh sekali lagi bagaimana orang yang kita sayang ditimpa kemalangan dan musibah. Keadaan berkerusi roda dengan tenaga tidak seberapa, terjatuh pulak di tandas dan katil, bayangkan kesakitan yang ditanggung oleh ibu mertua saya. Yang paling menyentuh perasaan saya apabila tidak mampu untuk ke tandas dan berak di atas katil, Ya Allah, Engkau sembuhkan penyakit ibu mertuaku semoga dia boleh menjalani kehidupan seperti biasa. Sesungguhnya syurga itu dibawah telapak kaki ibu. Kita renung-renungkan bersama...
Saya kongsikan artikel berkenaan berbakti kepada ibu bapa untuk pedoman kita bersama.
Pengorbanan ibu bapa sebenarnya telah ditegaskan oleh Allah Taala dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapa mu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” [Surah Luqman ayat: 14]
Maka, soal kebaktian seorang anak terhadap ibu bapanya perlu diutamakan dan diletakkan sebagai tugas yang penting untuk dilaksanakan. Menjelang hari tua, ibu dan bapa kita akan lebih mendalam kerinduan terhadap anak yang pernah dibesarkannya.
Tahap sensitifnya akan cepat terasa sekiranya anak yang dijaga bersikap kurang menyenangkan, atau melakukan perbuatan yang mengguriskan hati. Kita sebagai anak harus sedar akan kewajipan mentaati dan membahagiakan hati kedua ibu bapa. Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah” dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” [Surah al-Isra' ayat: 23]
Maksud “berbuat baik kepada kedua ibu bapa” sebagai mana yang disebutkan dalam ayat suci al-Quran selain dari menjaga tingkah laku, perkataan dan perbuatan dari sebarang kekasaran yang boleh melukai hati keduanya, kita dituntut untuk menjaga ibu bapa setelah mereka berada di usia yang tua.
Menjelang saat-saat hari tua adalah penantian kehidupan yang menggusarkan fikiran. Pasti semua ibu bapa akan kerisauan mengingatkan tentang kehidupan hari tua kelak. Dalam Islam, anak lelaki yang paling berkewajipan menjaga ibu bapanya berbanding dengan anak perempuan. Seorang ibu boleh membesarkan anaknya yang ramai, sebaliknya anak-anak yang ramai belum pasti dapat memelihara kedua ibu bapanya.
Maka, antara jalan untuk tergolong sebagai orang-orang yang beriman ialah keutamaan melihat ibu bapa sebagai tanggungjawab yang besar yang perlu dilaksanakan. Kegagalan berbakti kepada ibu bapa boleh mengakibatkan kita sukar untuk sampai ke pintu syurga sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
“Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Seseorang yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya telah tua namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka).” [Riwayat Muslim]
Pengorbanan Ibu Bapa
Menyentuh tentang jasa ibu bapa terhadap anaknya terlalu banyak. Sudah pasti, para ibu dan bapa akan menitiskan air mata jikalau ditanya tentang pengorbanan untuk membesarkan anak apatah lagi bagi golongan yang hidup dalam kemiskinan dan serba kekurangan dengan seratus peratus menggunakan kudrat sendiri untuk membela dan membesarkan anak-anaknya.
Ada sedikit perbezaan berbanding para ibu hari ini yang banyak bergantung kepada pembantu rumah serta penggunaan alat teknologi yang membantu meringankan beban atau tugas seorang ibu.
Imam Bukhari telah meriwayatkan sebuah kisah daripada Said bin Abi Burdah tentang seorang lelaki Yaman yang bertawaf sambil mendukung ibunya dengan penuh cermat. Sebaik selesai tawaf, beliau bertanya kepada Ibnu Umar :
“Apakah dengan khidmat dan pengorbananku ini telah dapat membalas jasa bakti ibuku?”
Jawab Ibnu Umar : “Tidak, apa yang telah kamu lakukan tadi tidak akan dapat menebus jasa ibumu sekalipun sekadar hembusan nafas ketika kesakitan melahirkan kamu.”
Justeru, berbuat baik serta melayan kedua ibu bapa dengan nilai budi bahasa yang sopan adalah amalan yang terpenting untuk disemat di hati.
Sebagai seorang anak kewajipan mendoakan ibu bapanya perlu diamalkan setiap hari. Apatah lagi sekiranya kedua-duanya telah meninggal dunia. Doa anak yang soleh akan terus-menerus sampai kepada ibu bapanya yang berada di alam kubur. Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata) : ‘Wahai Tuhan kami! Cucuri rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil.” [Surah al-Isra' ayat : 24]
Pengorbanan ibu dan bapa yang tidak terkira nilainya dan amat tidak wajar dipandang remeh atau ringan oleh anak-anak. Apabila keduanya menghampiri daerah usia yang lanjut, bermusyarawarahlah sesama adik-beradik untuk saling berbakti selagi usia ibu bapa kita belum terhenti.
Peranan Isteri
Para isteri perlu menyedari hakikat kewajipan suami terhadap orang tuanya dengan merelakan suami menunaikan tugasnya terhadap kedua ibu bapanya dengan sempurna sekalipun memerlukan masa, wang dan pengorbanan lain. Menghalang suami dari berbakti kepada kedua ibu bapanya di hari tua adalah satu pilihan yang kejam.
Mengambil hak seorang ibunya yang benar-benar mengharapkan adanya anak yang akan mengingati jasa dan pengorbanan silam dengan menjaganya saat-saat tidak berkeupayaan adalah satu sifat yang tidak berperikemanusiaan. Alangkah baiknya sekiranya masih ada isteri akan mengingatkan suami akan kewajipan menjaga orang tuanya.
Kita perlu mengambil iktibar dari apa yang berlaku pada Alqamah, seorang pemuda yang hidup pada zaman Rasulullah SAW. Dia tidak dapat mengucap kalimah syahadah lantaran sikapnya yang mengutamakan isteri daripada ibunya. Sedangkan Alqamah merupakan seorang yang taat kepada perintah Allah, rajin menunaikan solat, suka bersedekah dan sering berpuasa.
Lantas, Rasululllah SAW memanggil ibunya bagi mendapatkan keampunan, sebaliknya ibunya menolak kerana masih berkecil hati dengan sikap Alqamah yang mengutamakan isterinya. Akhirnya Rasulullah SAW bertindak untuk membakar Alqamah hidup-hidup di hadapan ibunya jika ibunya tidak memaafkannya.
Akhirnya tindakan Rasulullah SAW itu menyebabkan ibunya segera memaafkannya dan seterusnya Alqamah dengan mudah mengucapkan dua kalimah syahadah.
Sebaik sahaja Alqamah dikebumikan, Rasulullah SAW berdiri di kuburnya lalu bersabda bermaksud:
“Wahai kaum Muhajirin dan Ansar! Sesiapa yang lebih mengutamakan isterinya daripada ibunya, nescaya akan ditimpa kepadanya laknat Allah dan juga tidak akan diterima daripadanya taubat dan tebusannya.” [Hadis riwayat Abu al-Laith]
Para isteri perlu lebih memahami hak-hak ibu ke atas anaknya yang diberi keutamaan dalam Islam. Lantaran, anak-anak kita juga akan bertindak dengan apa yang pernah kita perlakukan terhadap ibu bapa kerana kesaksamaan Allah yang maha adil. Justeru, isteri harus bersikap reda dengan ruang-ruang yang perlu dipenuhi oleh suami terhadap ibu bapanya.
Kehadiran anak adalah sesuatu yang berharga di hari tua. Nabi Ibrahim meluahkan kesyukuran kepada Allah kerana diberi anak yang bakal menemani di hari tua sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud:
“Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua (ku) Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa.” [Surah Ibrahim, ayat 39]
No comments:
Post a Comment