Hujung tahun ini pasti ramai yang sudah merancang percutian sekeluarga. Seronoknya hendak bercuti bersama si kecil. Tak sabar rasanya hendak bersantai sambil mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Namun sebelum itu, pastikan anda membuat persiapan serapinya. Membawa anak kecil bercuti bersama bukan tugas yang mudah. Senaraikan apa barangan yang mesti dibawa dan jika boleh buat itenari percutian anda.
- Jangan lupa bawa kereta sorong sepanjang percutian. Ia banyak memudahkan pergerakan anda terutama si kecil yang mudah penat. Sebaiknya, bawa kereta sorong yang boleh dilipat bagi memudahkan anda sekeluarga sama ada pergi bercuti menaiki kereta atau kapal terbang.
- Sekiranya bercuti dengan kapal terbang, persiapkan bajet membeli tempat duduk untuk anak kecil (kecuali bayi) jika mahukan perjalanan lebih selesa.
- Pilih waktu penerbangan sesuai dengan jadual tidur anak. Ini akan memudahkan anda mengendalikan anak ketika dalam kapal terbang. Jika masa penerbangan pada waktu anak aktif, dibimbangi dia akan bosan dan meragam.
- Susukan anak yang masih menyusu badan ketika kapal terbang berlepas dan mendarat bagi mengelakkan dia daripada menangis kerana faktor perubahan tekanan udara.
- Perjalanan jauh dengan kapal terbang atau kereta mudah membuatkan anak kecil meragam. Sebaiknya salah seorang ibu atau ayah duduk bersebelahan anak. Dengan cara ini anda boleh bergilir mengurus anak dan berehat.
- Pilih hotel yang selesa untuk didiami oleh anda sekeluarga. Bilik yang luas dan selesa serta ada kemudahan untuk kanak-kanak seperti kolam renang memang disarankan.
- Perjalanan yang panjang biasanya membuatkan bayi atau kanak-kanak bosan. Untuk mengelakkan mereka buat hal, lebih baik anda persiapkan peralatan untuk mereka menghabiskan masa seperti snek dan minuman kegemaran, buku mewarna, buku cerita dan mainan.
No comments:
Post a Comment