Sibu mempunyai keunikan tersendiri yang mempunyai hasil tani, buahan serta sayuran tempatan yang mungkin tidak atau jarang dijumpai di Semenanjung Malaysia antaranya ialah buah Dabai yang merupakan buahan bermusim yang menjadi kegemaran masyarakat di Sarawak terutamanya masyarakat Melayu, Melanau dan Iban.
Baru-baru ini adik saya membawanya dari Sibu sebab musim buah dabai sudah tiba dengan harga purata dari RM15.00 hingga RM20.00 sekilo. Rasanya memang enak dan lemak dah sesuai dimakan dengan nasi panas. Walaupun jauh beribu batu, saya masih boleh menikmati makanan kegemaran saya yang musimnya hanya setahun sekali.
Buah dabai ini sukar ditemui di Kuching dan kebanyakannya dibawa masuk dari Sibu, Sarikei atau Bintangor. Buah dabai ini lazimnya menjadi juadah makan tengahari atau malam bagi masyarakat di Sarawak terutamanya di Sibu, Sarikei, Kapit, Song, Bintangor, Mukah, Oya, Igan dan sebagainya.
Buah Dabai memang mudah untuk disediakan iaitu dengan merendamkannya ke dalam air sederhana panas untuk beberapa minit sehingga ia menjadi lembut dan kemudian ditoskan airnya lalu dicampur dengan sedikit garam dan ia sudah sedia untuk di makan. Bagi sesetengah individu buah dabai lebih enak dimakan dengan kicap dan buah ini sering diproses untuk dijadikan jeruk dabai.
No comments:
Post a Comment