Tuesday 31 July 2012

Bubur Pedas Menu Asli Sarawak


Ramadhan di Sarawak memang cukup istimewa kerana pelbagai juadah yang dijual di bazar Ramadhan. Menu yang paling popular adalah Bubur Pedas. Bubur yang mempunyai pelbagai campuran sayur-sayuran seperti tauhu kering, cendawan kering, kulat hitam, sayur midin, putik jagung, kacang panjang dan terung. Selepas itu dicampurkan daging ayam dan lembu, kulit lembu dan tendon dan udang menjadi bubur tersebut lebih sedap. Menu ini menjadi kewajipan kepada masyarakat Islam di Sarawak ketika Ramadhan. Kalau balik Sarawak wajib merasa bubur pedas dan sudah tentu menjadi menu penting ketika berbuka puasa. Di masjid-masjid sekitar bandaraya Kuching sentiasa menyediakan bubur pedas untuk diagihkan kepada orang ramai secara percuma. Dibawah saya kongsikan resepi untuk menyediakan bubur pedas Sarawak.

























Bubur Pedas


BAHAN2:
1 bungkus Bumbu Bubur Pedas
300g Daging Lembu / Ayam - potong kecil2
200g Kulit Lembu / Tendon - potong kecil & rebus ehingga lembut
200g Udang (optional)
5 sb Cilli Pes
5 ulas Bwg Merah*
3 ulas Bwg Putih*
1cm Belacan* (* tumbuk) 
1" Halia - ketuk 
1 mangkuk besar Santan
1 keping Sayur Tahu Kering**
Cendawan Kering**
Kulat Hitam** (** rendam sehingga kembang & potong kecil2)
Sayur Midin***
Putik Jagung***
Kcg Panjang***
Terung***
1 biji Kentang***
Karot***
1-2 helai Daun Kunyit***
Daun Singkel***
Daun Kesum*** (*** hiris halus / potong kecil) 
4 sb Minyak
Garam

CARA2:
1. Panaskan minyak & tumis bhn2 tumbuk*, pes cili & halia sehingga wangi.
Masukkan bumbu & kacau sebentar.
Masukkan daging/ayam & masak sehingga empuk.
Masukkan santan & biarkan menggelegak.
Masukkan garam & sayuran yg agak keras - masak sehingga lembut.
Masukkan sayuran yg lain & masak sehingga sebati rasa.

2. Hidangkan untuk di nikmati begitu sahaja ataupun dgn nasi & lauk-pauk lain.


NOTA:
Bumbu Bubur Pedas tu di buat daripada beras yg di goreng dgn rempah dan kemudian di kisar kasar. Ia nya memberi haruman dan perisa yg unik kepada Bubur Pedas dan juga amat mengenyangkan.

Lagu Raya

Kita sudah memasuki fasa pertengahan Ramadhan, seperti kebiasaan lagu raya sudah bermula dimainkan dicorong-corong radio, pusat membeli belah, pasar tani dan pasar malam. Ini membangkitkan kemeriahan dalam persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Bagi saya, lagu Dari Jauh Kupohon Maaf nyanyian Allahyarham Sudirman menjadi lagu pilihan setiap kali menjelang raya. Walaupun tidak pernah berjauhan dari keluarga ketika bujang, tetapi lagu ini amat mudah menyentuh perasaan saya bila mendengarnya. Saya sertakan lagu-lagu raya evergreen yang saya minati untuk dikongsikan bersama.





Cahaya Aidilfitri - Black Dog Bone


Kepulangan Yang Dinanti - Aman Shah


Indahnya Beraya di Desa - Azlina Aziz

10 Malam Pertama Ramadhan

Rasulullah SAW ada menjelaskan bahawa Permulaan Ramadhan adalah rahmat, pertengahannya pengampunan manakala akhirnya adalah pelepasan dari seksa neraka. Betapa besar rahmat Allah SWT diberikan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Meskipun umat Rasulullah SAW berusia pendek namun ganjaran pahala yang diberikan seolah-olah menjadikan usia kita lebih panjang.


Alhamdulillah 10 malam pertama Ramadhan telah berlalu dengan pantas yang digelar sebagai malam rahmat. Kita memasuki fasa pertengahan Ramadhan dimana malam pengampunan, peluang masih ada kepada kita yang terlepas 10 malam pertama ramadhan. Sama-sama kita gunakan kesempatan ini untuk mempertingkatkan amalan kita agar mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT dan berikan keampunan oleh Allah SWT.

Kita tidak mengetahui samada kita akan berjumpa lagi Ramadhan yang akan datang, mungkin inilah Ramadhan terakhir bagi kita. Kita tidak boleh menjamin bahawa kita akan hidup untuk hari esok, lusa atau seterusnya. Bukan mudah untuk berubah menjadi Muslim Sejati, bila kita berubah menjadi lebih baik maka makin banyak dugaan dan cabaran yang kita akan lalui. Kekadangkala, rakan-rakan sepejabat juga tidak boleh menerima perubahan  kita kearah kebaikan kerana kelakuan dan perangai kita sebelum itu sudah sebati dengan suasana dan rutin kita seharian.

Adakah ini kekangan dalam merubah diri kita? Sebenarnya itulah cabaran dan dugaan yang perlu dilalui sebagai seorang hamba Allah SWT yang inginkan perubahan perlu melalui fasa-fasa ini.Dalam bulan yang penuh keberkatan ini, sama-sama kita muhasabah diri kita agar boleh membuat perubahan pada diri kita, solat kita, amalan kita dan ibadah kita. Semoga amalan yang kita lakukan dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak  akan mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT,amin.



Sekadar Renungan Bersama


Bermaaf-maafaan Amalan Mulia dalam bulan Ramadhan









Apa itu G6PD?


Anak perempuan sulung saya Aufa Shahiera mempunyai G6PD, kebiasaannya bayi lelaki yang menghidapinya. Aufa Shahiera lahir di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, Kuala Lumpur pada 8 Disember 2011 jam 5.37 ptg. Doktor telah mengesahkan baby Aufa ada G6PD dan demam kuning kena tahan di wad selama 5 hari untuk tujuan pemantauan. Alhamdulillah, baby Aufa sihat dan aktif seperti baby-baby yang lain. Hanya perlu pengawasan dari segi penggunaan losyen, ubat-ubatan, ubat gegat dan makanan seperti kacang parang dan sebagainya. Saya berkongsi sedikit info mengenai G6PD yang diperolehi dari wikipedia Ensiklopedia Bebas untuk ibubapa yang mengalami masalah yang sama seperti baby Aufa.






Aufa Shahiera sudah 8 Bulan

G6PD (Glokosa - 6 - Fosfat Dehidrogenase) merupakan sejenis enzim keturunan yang terdapat di dalam sel darah merah manusia. Kekurangan enzim ini boleh memusnahkan sel darah merah apabila terdedah kepada jangkitan, ubatan tertentu ataupun makanan. Apabila sel darah merah tidak lagi mampu mengangkut oksijen dengan berkesan ke seluruh tubuh, keadaan dikenali sebagai anemia hemolytik muncul. Tambahan kepada anemia hemolytik, seseorang yang kekurangan G6PD boleh menjangka beberapa manifastasi klinikal pada keadaan mereka. Ini termasuk demam kuning baru lahir, sakit perut dan/atau sakit belakang, pening, sakit kepala, dispnea (pernafasan tidak teratur), dan palpitasi (Cecil, 1992).
Kekurangan (deficiency) G6PD bukanlah satu kecacatan atau penyakit. Ia adalah satu fenomena keturunan yang melibatkan kedua-dua jantina, lelaki dan perempuan, tetapi lebih sering dialami oleh bayi lelaki. Ia secara am. Ditemui pada mereka yang mana ibu bapa mereka berasal dari daerah yang pernah sering mengalami Malaria seperti Asia Tenggara,Afrika dan juga Mediterranean.
Para ibu bapa tidak perlu risau jika anak mereka mengalami kekurangan G6PD ini kerana pada dasarnya ia tidak berbahaya. Komplikasi hanya akan terjadi jika mereka terdedah kepada ubat-ubatan yang boleh menghasilkan proses homolisis di dalam darah. Dari segi yang lain, G6PD boleh menjadikan penghidap, lebih kuat melawan penyakit Malaria.

Bagaimanakah G6PD diwarisi?
G6PD berlaku akibat mutasi (perubahan) terhadap gen yang terdapat pada kromosom X, iaitu salah satu kromosom yang menentukan jantina seseorang individu. Kromosom X secara tunggal dapat diketemukan dalam sel-sel gamet seperti ovum atau sebilangan nukleus yang terdapat dalam sperma. Oleh itu, kebanyakan pengidap kekurangan G6PD adalah lelaki yang mempunyai padanan kromosom XY, manakala wanita yang mempunyai padanan kromosom XX kebanyakannya adalah sebagai pembawa yang sihat sahaja. Untuk seorang wanita yang mengidap kekurangan G6PD, kedua-dua kromosom X nya perlu mengalami mutasi dimana keadaan seperti ini amat jarang berlaku.

Komplikasi
Kebanyakan pengidap masalah kekurangan G6PD biasanya jarang mengalami sebarang gejala atau kompilasi. Pada penghidap yang terdedah kepada bahan-bahan tertentu seperti beberapa jenis antibiotik dan ubat anti malaria, sel darah merah akan mudah terpecah dengan lebih awal dari tempoh matangnya. Akibatnya pesakit akan mengalami gejala penyakit kekurangan darah (anaemia) seperti pucat, sesak nafas, lemah dan tidak bermaya.
Salah satu masaalah yang dialami oleh seseorang dengan kekurangan G6PD timbul sebaik sahaja selepas kelahiran. Demam kuning pada bayi baru lahir adalah keadaan biasa bagi semua bayi baru lahir, tetapi apabila ia berlanjutann, kekurangan G6PD syaki. Demam kuning baru lahir merupakan kekuningan pada putih mata, kulit, dan selaput hingus disebabkan mendakan garam hempedu pada tisu ini. Bagi bayi yang baru lahir, mereka kelihatan kekuningan di seluruh wajah dan tubuh badan. Ini merupakan akibat langsung kekurangan aktiviti enzim G6PD pada hati. Dalam sesetengah kes, demam kuning pada bayi baru lahir cukup teruk untuk menyebabkan kematian atau kecacatan neurologi yang kekal (Beutler, 1994).

Diagnosis
Ujian darah boleh dilakukan bagi menentukan samaada individu pengidap kekurangan G6PD ataupun tidak. Pada masa kini, ujian G6PD juga boleh dijalankan secara rutin sebaik sahaja seseorang bayi itu dilahirkan.

Rawatan
Pengidap kekurangan G6PD biasanya tidak perlu dirawat melainkan dia telah menunjukkan simptom-simptom atau tanda-tanda komplikasi. Sekiranya anda adalah pengidap G6PD, anda perlu perlu mengelakkan sebarang perkara yang boleh menyebabkan sel darah merah pecah seperti memakan kacang parang, terdedah kepada ubat gegat dan meminum air kosong dengan terlalu banyak melebihi sejag air dalam sesuatu masa dimana anda tidak bersenam, tidak penat, tidak kehausan, dan tidak berasa kering akibat pengambilan kadar gula atau nutrien yang tinggi pada sesuatu masa. Anda juga harus memberitahu doktor anda tentang status G6PD setiap kali berjumpa doktor anda kerana ada beberapa jenis ubat yang mungkin tidak membolehkan anda mengambilnya.

Ubat anti-malaria
Status G6PD perlu diketahui sebelum anda dibenarkan untuk mengambil ubat anti-malaria. Di kebanyakan pusat perubatan awam pada masa kini, ujian saringan pengesahan kekurangan G6PD adalah diwajibkan sebelum seseorang mengambil ubat anti-malaria untuk sebarang aktiviti di kawasan tertentu seperti aktiviti di hutan, jungle tracking dan lain-lain lagi. Oleh itu adalah penting untuk anda merancang setiap aktiviti yang hendak anda jalani di kawasan hutan. Ianya perlu dimaklumkan ke Pusat Kesihatan selewat-lewatnya 2 minggu sebelum tarikh aktiviti. Selain bertujuan untuk menjalani ujian G6PD , dos pertama ubat anti malaria perlu diambil seminggu sebelum tarikh aktiviti dijalankan.
Primaquine, salah satu dadah anti-malarial pertama yang dipersalahkan sebagai mencetus tindak balas anemik (Carson et al., 1956). Kesemua dadah anti-malaria adalah ditanda berlawanan bagi seseorang dengan kekurangan G6PD; bagaimanapun, dalam kes malaria akut tidak rumit, kebanyakan dadah anti-malaria boleh diberikan dengan selamat (Baird, personal correspondence). Agak menarik bagi mengetahui bahawa kekurangan G6PD terbukti kadang-kala memberikan ketahanan pada parasit penyebab malaria, Plasmodium falciparum (Scriver et al., 1995). Ketahanan ini disebabkan parasit menjangkiti khusus sel darah merah. Bagi sel darah merah orang yang kekurangan G6PD , metabolit penting bagi kemandiran parasit wujud dalam jumlah yang tidak mencukupi. Ini disebabkan pengurangan aktiviti G6PD dalam sel tersebut yang akhirnya mendorong kepada kematian parasit (Farid, wawancara peribadi).
Tambahan kepada anemia hemolytik disebabkan dadah, terdapat juga anemia hemolytit yang dicetuskan oleh kacang parang--digelar favism. Kacang parang Fava beans merupakan hasilan makanan yang pertama, dan yang tunggal, disabitkan dengan mencetuskan tindak balas anemic dikalangan mereka yang kekurangan G6PD (Scriver et al., 1995). Menghidu debunga pokok kacamg parang juga mampu mencetuskan hemolysis pada individual tersebut. Disebabkan sesetengah pengidap kekurangan G6PD mengalami alahan kepada kacang parang, kekurangan ini dengan itu dirujuk sebagai favism. Favism telah diketahui wujud sejak zaman silam lagi; ahli falsafah Yunani dan pakar ilmu hisab Pythagoras dikatakan memberi amaran kepada pelajarnya mengenai bahaya memakan kacang parang (Scriver et al., 1995). Sebatian vicine dan isouramil, banyak terdapat dalam kacang parang, dijangka sebagai agen pencetus tindak balas hemolytik (Beutler, 1994).
Ujian G6PD tidak perlu dilakukan berulang kali atau setiap kali apabila perlu mengambil ubat anti malaria. Sekiranya anda telah tahu status G6PD anda adalah normal, anda hanya perlu mengambil ubat anti malaria untuk kali ke-2 dan seterusnya tanpa menjalani ujian sekali lagi. Namun anda perlu sentiasa berwaspada kerana apabila anda gagal ataupun menipu mengenai status G6PD anda mungkin boleh mengalami komplikasi yang sukar untuk anda kawal dan meredakannya.
Sejak dari dahulu lagi para askar yang akan memasuki hutan pada tempoh yang lebih dari sebulan akan diperlukan untuk membuat suntikan anti malaria terlebih dahulu sebelum mereka masuk ke hutan, namun ujian G6PD tetap perlu dijalankan sebelum suntikan pertama ubat anti malaria diberi kepada mereka.
Anemia hemolytik merupakan satu lagi keadaan yang mungkin menyebabkan masalah bagi mereka yang kekurangan G6PD. Tindak balas anemik boleh dicetus pada individual yang terjejas oleh dadah pengoksidaan tertentu, kacang parang, atau jangkitan (Beutler, 1994). Kematian berlaku sekiranya serangan hemolytik tidak dirawat dengan berkesan. Agar menghalang tindakbalas teruk atau malah kematian, individual kekurangan G6PD dilarang mengambil dadah tertentu; daftar dadah biasanya dilaporkan dalam penulisan sebagai mencetus hemolysis bagi individual kekurangan G6PD. Tema biasa dikalangan dadah ini adalah mereka merupakan agen pengoksidaan. pada individual kekurangan G6PD, tekanan pengoksidaan mungkin menyebabkan denaturation, atau terurainya molekul hemoglobin, molekul pengangkut oksigen utama dalam sel darah merah. Ini mengakibatkan kehilangan fungsi biologi berkait dengan hemoglobin dan mendorong kepada sel darah merah tidak mampu mengangkut oksijen keseluruh badan (Yoshida & Beutler, 1986). Bagi sebab-sebab yang tidak diketahui, sesetengan pengidap kekurangan G6PD tidak menunjukkan anemia hemolytik apabila terdedah dengan dadah tertentu; bagaimanapun doktor perlu durujuk sebelum pengambilan sebarang ubat-ubatan.
Di luar kawasan di mana favism banyak berlaku, jangkitan kemungkinannya punca paling biasa hemolysis pada subjek dengan kekurangan G6PD. Metabolit oksidative yang dihasilkan oleh banyak bakteria, virus, dan jangkitan rickettsial telah dikenal pasti sebagai punca tindak balas anemik. Terutamanya, jangkitan penting yang boleh mencetus serangan hemolytik adalah virus hepatitis, pari-paru berair ("pneumonia"), dan demam kepialu (Cecil, 1992).

Rawatan
Rawatan bagi demam kuning baru lahir dan anemia hemolytik telah wujud selama beberapa tahun. Rawatan ini memastikan bahawa tisu badan dibekalkan dengan cukup oksijen oleh sel darah merah. Bayi dengan demam kuning berpanjangan diletakkan di bawah cahaya khas, dikenali sebagai cahaya bili, yang mengurangkan demam kuning. Aabila serangan anemik berlaku, individu dirawat dengan oksigen hdung dan direhatkan di atas katil, yang mungkin memberikan kelegaan simptom (Cecil, 1992). Individual anemik kadang kala dirawat dengan barangan haptoglobin manusia (Ohga et al., 1995), dan/atau melalui pemindahan darah (Cecil, 1992). Pada anemia hemolytik akut, pesakit diberikan asid folik (Cecil, 1992).

Monday 30 July 2012

Lawatan ke Silverlake Winery Pattaya, Thailand


Program Agrochallenge Bangkok/Pattaya, Thailand 2012 pada Mei telah menjelajah sehingga ke Pattaya, Thailand. Silverlake Winery Pattaya, Thailand, kawasan ladang anggur terbesar di Thailand, selain menjadi ladang anggur, ladang tersebut juga menjadi Agro-Pelancongan dengan landskap yang amat menarik dan menjadi tarikan pelancong walaupun 2 1/2 jam jauh dari pusat bandar Bangkok, Thailand. Sesiapa yang melancong ke Thailand jangan lupa melawat ladang anggur terbesar ini dan menjanjikan seribu kenangan yang menarik.



Bergambar di Landskap Pusat Tinjau Ladang Anggur


Merasa sendiri memetik buah anggur 


Landskap bercirikan dari Negara Belanda


Ladang Anggur yang tersusun rapi


Biodata Rasulullah SAW...


Assalamualaikum semua,

Saya berkongsi Biodata Rasulullah SAW kepada rakan-rakan semua. Mungkin tidak ramai mengetahui biodata Rasulullah SAW. Ketika saya menjadi Cikgu di Sekolah Menengah 6 tahun lepas, ramai pelajar-pelajar Islam tidak mengetahui sejarah Rasulullah SAW. Sebagai perkongsian ilmu, bolehlah kita cetak dan tampalkan di bilik tidur anak-anak kita, semoga mereka lebih mengenali siapa tu Rasulullah SAW. 





Friday 27 July 2012

Jadikan Ramadhan Itu Bermakna


Sebut mengenai bulan Ramadan al-Mubarak, pasti mendatangkan 1001 persoalan dalam diri masing-masing sebagai muslim dan mukmin. Mungkin ada yang akan bertanya, sudah bersediakah diriku menyambutnya? Atau mungkin ada yang tidak sabar-sabar menanti ketibaanya. Atau mungkin ada yang menganggap tidak kisah pun mengenai kedatangan Ramadan. Tanya iman, di manakah diri kita?


Tidak salah jika dikatakan Ramadan al-Mubarak ini seperti majlis walimatul urus, pasti seisi keluarga dan jiran terdekat, sibuk menyiapkan persiapan terakhir menjelang tarikh tersebut. Riuh satu kampung dengan kemeriahan menyambut majlis besar seperti itu. Namun, bagaimana pula dengan persediaan kita menyambut sebaik-baik bulan ini? Adakah seperti menyambut menantu atau seperti bertemu dengan hantu? Membelai-belai tetamu atau menghalau-halau seteru?


Satu perkara menarik yang ingin disentuh adalah mengenai sikap dan perlakuan kita terutamanya yang bergelar perempuan. Tiba bulan ini, pasti kaum Hawa menjadi golongan yang sibuk meraikannya. Ramadan Kareem dan kaum Hawa ibarat isi dengan kuku. Terlalu hampir dan dekat. Tidak dapat dipisahkan kedua-duanya. Apakah yang sering membelenggu kaum Hawa apabila tibanya bulan mulia ini? 


Kefardhuan Puasa Ramadan


Pensyariatan berpuasa di bulan Ramadan telah disebut Allah s.w.t sepertimana firmanNya yang bermaksud:- 


"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa" 

(Surah Al-Baqarah ayat 183)


Jelas, dalam ayat ini perkataan 'taqwa' disebut selepas perintah kewajipan berpuasa. Orang-orang yang bertaqwa adalah mereka yang berpuasa. Namun belum tentu orang-orang yang berpuasa adalah orang yang bertaqwa. Jika kita lihat, ada orang yang berpuasa, tetapi tidak menunaikan solat, mengutamakan ibadah sunat dari ibadah fardu dengan meninggalkan solat yang lima waktu tetapi menunaikan solat sunat tarawih. Ada pula yang berpuasa tetapi enggan membayar zakat.


Adakah hanya dengan berpuasa, maka Allah mengira mereka ini adalah orang yang bertaqwa? Bagaimana ukuran taqwa yang dimaksudkan Allah Ta'ala dalam ayat ini? 


Taqwa itu tempatnya di hati. Bukan hati kering, tapi hati yang sihat yang dapat merasai bencinya melakukan kemungkaran dan seronoknya melakukan kebajikan. Hatinya sensitif dengan dosa dan dahagakan kebaikan. Telah dinukilkan sebuah kisah oleh Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya mengenai kisah Saidina Umar al-Khattab.


Suatu hari, Saidina Umar al-Khattb bertanya kepada sahabatnya, Ubai bin Ka'ab mengenai makna taqwa dan persoalan itu dibalas dengan persoalan.


Ubai berkata kepada Syaidina Umar, "Ya Amirul mukminin, pernahkah engkau melalui satu jalan berduri?" .   


"Pernah." Jawab Syaidina Umar.


Lantas Ubay bertanya lagi kepada Syaidina Umar. "Bagaimana kamu lakukan ketika melalui jalan itu?"


"Aku akan sentiasa bersedia, peka dan berhati-hati dengan penuh usaha agar tidak terpijak duri." Jawab Syadina Umar. 


" Maka itulah juga sifat taqwa" ( Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 1/163)


Terang lagi bersuluh, betapa sifat taqwa di dalam kisah ini bermula dari sekeping hati. Hati yang merasa takut pastinya akan lebih berhati-hati dan berjaga-jaga agar tidak akan terjerumus di dalam kebinasaan.Walaupun perkara itu hanyalah makhruh dan tidak mendatangkan dosa, namun hatinya tetap merasa gerun dan berhati-hati daripada melakukan perkara tersebut. Bimbang dirinya akan terjerumus melakukan perkara-perkara yang haram. Begitulah hati orang-orang yang 'muttaqin'


Maka perlulah kita mengambil kisah ini sebagai iktibar untuk kita agar sentiasa berhati-hati dalam apa jua tindakan kita, kerana dari tindakan kita itulah yang menentukan samada kita mampu menempah bilik untuk di syurga atau bilik yang lain yang berada di neraka. Jadikanlah Taqwa itu umpama pakaian kita. Yang menjaga badan kita daripada tercalit dengan dosa dan noda. Bukankah pakaian itu bersifat melindungi. Maka, demikianlah Taqwa, melindungi diri kita daripada disentuh dengan api neraka.


Allah SWT berfirman yang bermaksud:-


""Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian TAQWA itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat" 

(Surah al-A'raf ayat 26)


Bina Iman Raihlah Taqwa


Bagi orang beriman, bulan Ramadan akan dianggap bulan 'bonus', sekiranya digunakan sebaik mungkin, besar manfaatnya. Pelbagai ganjaran dan kebaikan diberikan kepada umat Islam di bulan ini. Setiap amalan-amalan sunat yang dilakukan, pasti akan digandakan pahalanya seperti dinyatakan di dalam hadis qudsi:


"Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya keranaKu" 

(Riwayat Al-Bukhari & Muslim)


Madrasah Ramadan al-Mubarak adalah sebaik-baik bulan untuk kita menambah debit berupa pahala di dalam akaun amalan kita. Kita berlumba-lumba mengerjakan kebajikan dan kebaikan dengan tekad ingin memenuhkan tabung kehidupan semata-mata. Maka ganjaran pahala dalam melakukan ibadat sunat dan perbuatan sunnah kita gandakan lagi. Bukan sukar untuk kita mendapat bonus dalam bulan ini.


Namun, ramainya manusia lebih mengumpul 'bonus' jualan dan 'diskaun' barangan. Berlumba-lumba menambah tabungnya dengan wang dan harta. Ramadan sebagai bulan membina iman da taqwa dipandang sebelah mata. Perilaku mulia tidak disemai di dalam diri dan peribadi, lantas nilai taqwa tidak dapat menyelam dalam dasar hatinya. Perkataannya sia-sia, apatah lafaz kalamnya jauh dari membaca Al-Quran dan zikrullah. Puasanya semata-mata hanya pada menahan lapar dan dahaga sahaja.


Rasulullah SAW pernah berpesan kepada umatnya :


"Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala puasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya" 

(Riwayat Al-Bukhari, 4/1903 - Fath al-Bari)


 'Mencemar Duli' Kemuliaan Ramadan


Terdapat sesuatu yang sering dipandang 'sepi' apabila tibanya Ramadan terutama umat Islam di Malaysia ini. Apabila tiba sahaja musim Ramadan, kaum Hawa adalah antara orang yang paling sibuk meraikannya. Walaupun baru beberapa hari menjelma, sudah mula memikirkan perkara-perkara skunder. Persiapan tema warna baju raya, kuih raya yang pelbagai, keadaan rumah, rumah terbuka dan kelengkapan raya yang lain laju melintasi garisan penamat berbanding perkara primer. Manakala perkara primer seperti solat sunat tarawikh, khatam al-Quran, konsisten dengan sahur, hafazan Al-Quran, qiamullail dan sebagainya pula kadangkala diendahkan dan diketepikan. 


Bukan hendak pertikai sikap ini namun perkara ini perlu seiring dengan merebut taqwa Ramadan. Saban tahun, gaya hidup wanita di Malaysia khususnya, dilihat serupa dan sukar untuk diubah. Kadang-kadang, fokusnya lebih kepada berbisnes sehingga mengabai 'bonus-bonus' pada bulan ini. Sibuk dengan tempahan kuih raya, baju raya, langsir raya dan kelengkapan raya yang lain, sehingga malam Ramadan al-Mubarak tidak disinari nur dengan amalan-amalan ibadah sunat.


Kadang-kadang, alasan 'tidak sempat dan penat' untuk berjemaah solat sunat tarawih dek kesibukan yang melanda, juga sering didengari. Jika ke bazar Ramadan, perginya hanya berteman beg dan dompet. Baliknya pula hampir keselurahan jari penuh dengan makanan berbuka.Tangan kanan dan kiri, penuh dengan beg plastik merah. Padahal di bulan Ramadan itulah adanya tarbiyah untuk kita lebih mengingati insan yang lebih memerlukan. Memahami keperitan insan yang serba kekurangan. Mendidik diri untuk lebih banyak memberi.


Namun, mengapakah tabiat ini sukar diubah di Malaysia? Adakah kerana waqi' di Malaysia tidak seperti suasana di negara-negara Arab?


Semuanya adalah kerana Hati kita belum dididik sepenuhnya dengan kelebihan Ramadan. Lantas, madrasah tarbiyah di bulan Ramadan tetap dicemari dengan sikap dan sifat kita yang sama sebelum datangnya Ramadan. 


 Malaysia : Kaya makanan daripada amalan


Teringat pada musim puasa tahun lepas, 1432 H, saya menerima panggilan telefon daripada sahabat yang menunutut ilmu di Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau menceritakan 'kehangatan' orang-orang sana menyambut bulan yang penuh barakah itu. Anak kecil memasang 'lampu kelip-kelip' di setiap rumah mereka, bermain mercun dan berkongsi kegembiraan itu bersama teman-temannya, sehingga ke awal Subuh. Subhanallah...


Jika diteliti hasil dari penceritaan tadi, jelas menunjukkan bangsa Arab lebih meraikan Ramadan Kareem,  sebaliknya umat Islam di Malaysia khususnya bangsa Melayu meraikan Hari Raya Aidil Fitri lebih meriah berbanding bulan Ramadan. Cukup berbeza.


Jika di Afghanistan, umat Islamnya mati disebabkan kelaparan dek kekurangan sumber makanan. Namun berbeza sekali di Malaysia,penuh dengan lambakan makanan sehingga boleh mengundang penyakit dan menyebabkan kematian. Banyaknya makanan meningkatkan nafsu dan selera makan. Tanpa sedar iainya memudaratkan kesihatan seperti tinggi kolestrol, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya.


Kawalan hebat pada musim puasa ini, dilihat kurang memberi kesan, sehingga ada pihak tidak mengendahkan arahan pihak berkuasa untuk menutup kedai makanan semasa musim puasa. Sekiranya ramai pihak memain peranan, mana mungkin ada kes dicekup dek makan tengahari dan sebagainya.


Rancangan-rancangan yang dipaparkan di kaca televisyen juga menggalakkan budaya berhari raya semasa awal musim Ramadan. Cukup kuat nafsu semasa musim bulan Ramadan al-Mubarak ini. Kaum hawa sibuk ber'shopping' raya dan anak-anak pula sibuk merancang peperangan mercun sesama mereka. Kemudian, akhbar-akhbar laris dengan kisah-kisah rumah terbakar asbab api mercun, isteri tuntut cerai kerana suami gagal membagi nafkah, murid hilang jari dan sebagainya. Semakin parah kondusi adab dan akhlak rakyat Malaysia kini. Hanya kerana ingin nampak meriah di hari raya. 


Kesimpulan


Oleh itu, marilah kita raih Ramadan dengan memperbaiki ibadah wajib dan memperbanyakkan ibadah sunat. Tingkatkan pekerjaan positif, kurangkan tabiat negatif dalam Madrasah Tarbiyyah, mendidik jiwa ini. 


Bulan Ramadan al-Mubarak ini juga adalah bulan yang sesuai untuk meningkatkan kemesraan dalam keluarga seperti berbuka puasa bersama-sama, bersahur, solat berjemaah dan sebagainya. Seorang suami yang keluar mencari nafkah, dan seorang isteri mengurusi keperluan dan kehendak keluarga, serta anak-anak yang setia membantu ibu bapanya, pasti semuanya Allah berikan ganjaran pahala yang berlimpah ruah. 


Madrasah tarbiyyah di bulan Ramadan, jangan biarkan berlalu begitu saja. Sesungguhnya sangat rugilah bagi mereka yang mensia-siakan peluang dan kesempatan yang ada. Maka, jadikanlah Ramadan kali ini, Ramadan yang cukup bermakna untuk kita.


Wallahu'alam....


- Artikel iluvislam.com

Salam Ramadhan 2012

Assalamualaikum,

Ahlan Wa Sahlan Ramadhan Al Mubarak. Untuk pengetahuan semua shahranie.blogspot.com tidak lagi beroperasi diatas sebab-sebab teknikal yang tidak dapat dielakkan. Oleh yang saya menggunakan saluran blog atas nama shahraniefauzi.blogspot.com. Sila kunjungi blog terbaru saya, Insyaallah pasti ada informasi berguna untuk dikongsikan bersama. 


Wassalam.