Sunday 16 February 2014

TAZKIRAH SERTA MUHASABAH DIRI SEMPENA HARI LAHIRKU

Assalamualaikum keluargaku, sahabat-sahabat dan rakan taulan, terima kasih diatas ucapan selamat kepada saya. Setinggi kesyukuran kepada Allah SWT yang telah memberi kesempatan untuk aku terus hidup diatas muka bumiNya yang indah dan permai ini, semoga dengan kesempatan yang Allah berikan ini aku akan terus memperbaiki diri, muhasabah diri dan memperbanyakkan amalan kebaikan untuk bekalan di akhirat kelak,amin.

Setiap kali hari lahir pasti ramai keluarga, sahabat dan teman mengucapkan selamat panjang umur, hakikatnya umurku semakin pendek. Bukankah tarikh mati setiap insan sudah ditetapkan? Dan hari ini, esok dan lusa aku menapak lagi. Semakin hampir pada tarikh kematian yang dijanjikan. Duhai, tertipunya aku ketika menerima ucapan selamat hari jadi. Selamat pulakah hari matiku?


Sebenarnya bukan hanya untuk ingatan pada hari lahir saja. Semoga kita sama-sama mendapat manfaat. Saya yakin apa yang tertulis ini adalah juga bicara hati kita, yang merasa diri terlalu banyak dosa dan merasa diri tidak layak untuk syurga-Nya.

Hati teringat dengan kata-kata yang pernah diucapkan oleh Sayidina Ali:

"Manusia semua tidur, bila mati baru mereka terjaga."

Kata-kata ini menusuk ke lubuk hati sanubari. Merobek-robek sisa-sisa kegembiraan yang masih tersisa. Apakah aku masih tidur? Ah, tidur yang sangat panjang kalau begitu.

Teringat pula kata Imam Ghazali:

"Ada manusia yang sedang ketawa sedangkan kain kafannya sedang menunggunya. 

Ya, hari ini ulang tahun kelahiranku. Sudah hampir separuh abad aku bernaung di bawah langit-Mu ya Allah. Belum pun aku terasa menjadi hamba-Mu yang sebenar. masih berpura-pura. Alangkah alpa dan berdosanya aku. Apakah sisa umurku masih panjang? Atau hanya seketika lagi. Aku tidak pasti. Ketika ramai teman mengucapkan selamat panjang umur, hakikatnya umurku semakin pendek. Bukankah tarikh mati setiap insan sudah ditetapkan? Dan hari ini, esok dan lusa aku menapak lagi. Semakin hampir pada tarikh kematian yang dijanjikan. Duhai, tertipunya aku ketika menerima ucapan selamat hari jadi. Selamat pulakah hari matiku?

Aku belum bersedia untuk bertemu-Mu ya Allah. Walaupun aku tahu, siapalah aku untuk menyatakan tidak dan tunggu. Ya, Allah… segala kekuatan hanya pada-Mu jua. Kau yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untukku. Aku merayu pada-Mu ya Allah, pada tarikh ini. Untuk mengemis keampunan-Mu dengan tangan yang berdosa, dengan hati yang tercela. Jika tidak mengenangkan yang Engkau Maha Pengampun aku tidak akan datang ya Allah. Rasa malu dan hina untuk meminta. Apakah aku diterima?

Ya Allah, di hari ini kupinta dileraikan kusut fikirku. Mohon dijinakkan nafsu liarku. Tenangkanlah gejolak hati ini. Wahai yang Maha Adil, kutiplah aku untuk menumpang sekalipun di pinggiran rahmatMu. Walau sering aku lupa, tetapi aku sentiasa mendamba. Entah mengapa gelombang rasa ini sering datang dan pergi. Gelombang mujahadah ini tidak pernah tenang. Jangankan mutmainnah, malah ammarah pula yang sering melanda. Kekadang aku sendiri bertanya, akukah aku ini? Terasa diri bersalin dua, tiga dan… Ya Allah, jauhkan aku dari topeng munafik yang menipu-daya ini.

Aku bukan Hanzalah yang mencurigai dirinya munafik walau taqwanya melimpah. Bukan juga Umar Al Khattab, yang tega memukul diri walaupun sedikit berdosa. Pun bukan seumpama Rabiahtul Adawiyah yang sentiasa berkata: "Sesungguhnya istighfarku memerlukan satu istighfar lagi."

Aku juga tidak mampu menangis kerana dosa… Hatiku amat keras. Kucuba menangis dengan merasa kesal. Tapi gagal. Mengapa aku tidak mahu menangis kerana gagal menangis. Ya Allah, kerasnya hatiku ini. Mohon dilembutkan. Atau mohon aku diberi `hati' yang lain. Hati yang ada ini bagaikan sudah mati ya Allah.
Aku kembara telah jauh. Namun kolam hatiku kian keruh. Beban tambah berat, diriku kian penat. Urusan kian payah. Jiwa semakin gundah. Justeru, mudah-mudahan di hari lahirku ini aku akan `dilahirkan' semula. Lahir sebagai insan yang sentiasa mengingatiMu. Yang mampu hidup antara kekangan takut dan lingkungan harap. Takut, kalau-kalau dimurkai. Harap-harap, minta-minta diampuni.

Rasullah s. a. w. bersabda:-
"Perbanyakkanlah ingatan kepada pemutus segala nikmat (dunia) iaitu MAUT"

[At-Tirmidzi, Ibn Hibban]

Wallahua'lam.








Friday 14 February 2014

HADIS 40 - HADIS 10

HADIS 10

عَنْ أَبِي هُرَیْرَة رَضِىَ الله عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : (( إِنَّ الله تَعَالَى
طَيِّبٌ لاَ یَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبَا وَإِنَّ الله أَمَرَ المُؤْمِنِيْنَ بِمَا أَمَرَ بِهِ المُرْسَلِيْنَ فَقَالَ تَعَالَى: { یَآ أَیُّهَ ا
الرُّسُلُ آُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا } وَقَالَ تَعَالَى: { یَآ أَیُّهَا الَّذِیْنَ آمَنُوْا آُلُوا مِ نْ
طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاآُمْ } ثُمَّ ذَآَرَ الرَّجُلَ یُطِيْلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ یَمُدُّ یَدَیْهِ إِلَى السَّمَآء: یَا رَبّ!
یَا رَبّ! وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِي بِالحَرَامِ، فَأَنَّى یُسْتَجَابُ لَهُ!
)) رواه مسلم.
یَآ أَیُّهَا الرُّسُلُ آُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحً ( Surah al-Mukminun: 51)
یَآ أَیُّهَا الَّذِیْنَ آمَنُوْا آُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاآُمْ ( Surah al-Baqarah: 172)

Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:

Sesungguhnya Allah Ta'ala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah Ta'ala berfirman: (Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik
dan hendaklah kamu beramal soleh). Dan Allah Ta'ala berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu). Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?

Hadis riwayat al-lmam Muslim.

Kefahaman Hadis :
1) Suci Allah dari kekurangan / keaiban / tidak perlu rakan dan anak / tidak         zalim dan tidak tidur.

2) Diterima atau tidak amalan
    - bergantung kepada pemakanannya halal/haram.
       - sebab kepada diterima atau tidaknya doa/ibadah.

3) Sebab- sebab diperkenankan doa serta beberapa adabnya:
    perjalanan yang jauh - (hadis - tiga jenis doa yang diperkenankan , doa         orang yg dizalimi, orang dalam musafir dan doa bapa terhadap anaknya)
    berpakaian lekeh (usang) - sebagaimana disunatkan dlm solat Istisqa’.
    mengangkat tangan ke langit - hadis nabi berkenaan dengannya.
    mengulang-ulang nama Allah - (3x) - sebagai tanda sangat berhajat.
    penjagaan makanan, minuman dan pakaian.

Pengajaran hadis:

  • lslam menuntut umatnya menjaga diri dari semua aspek; kebersihan diri dan hati, keelokan berpakaian, kebersihan amalan perbuatan juga budi pekerti. Sesungguhnya Allah SWT itu baik. Dia hanya menerima perkara yang baik-baik sahaja.
  • Amalan, pakaian, tempat tinggal, kenderaan dan makanan seseorang mempunyai hubungan rapat dengan darjat kemuliaan diri dan peningkatan maqam hatinya. Oleh itu, seorang mukmin dituntut menjaga amalan, tingkah laku dan pakaian serta memakan hanya benda yang baik.
  • Makanan yang baik ialah makanan yang halal. lni tidak menafikan makanan yang berzat dan bervitamin, kerana Allah sifatkan makanan yang baik, bukan sekadar yang halal.
  • Makanan dan perbuatan yang haram menghalang pembersihan jiwa seseorang, sekaligus menghalang doa daripada dimakbulkan Allah.

Tuesday 11 February 2014

HADIS 40 - HADIS 9

HADIS 9

عَنْ أَبِي هُرَیْرَةَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنِ صَخْرٍ رَضِىَ الله عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى ا للهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ یَقُوْلُ : (( مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَاجْتَنِبُوْهُ وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ، فَإِنَّمَ ا
أَهْلَكَ الَّذِیْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ آَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ وَاخْتِلاَفُهُمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ )) رواه البخاري ومسلم.

Daripada Abu Hurairah Abdul Rahman ibn Sokhrin r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Apa-apa yang aku larang kamu melakukannya, maka hendaklah kamu menjauhinya, dan apa-apa yang aku perintahkan kamu melakukannya, maka lakukanlah seberapa daya kamu. Sesungguhnya umat yang terdahulu daripada kamu telah binasa lantaran banyak persoalan dan banyak perselisihan mereka
terhadap Nabi-nabi mereka.

Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.

Kandungan Hadis :

1) Sebab Hadis - Khutbah Nabi (difardhu Haji ) - penyoal Aqro’ bin Haabis.

2) Jauhi Larangan : 

    i) sebab haram - dapat pahala/ buat dapat dosa.
   ii) sebab makruh - dapat pahala / buat tak berdosa.

3) Buat apa yang disuruh :

   i) wajib - dapat pahala/ tinggal dapat dosa.
  ii) sunat - dapat pahala/ tinggal tak berdosa.

4) Larangan banyak bertanya :

perkara yang tidak dijelaskan oleh syara’.
pada perkara yang tidak mendatangkan faedah/ tidak dihajati.
pertanyaan berbentuk mempersendakan/ menghina.
masaalah yang tidak berlaku.

Pengajaran hadis:

Seorang mukmin mestilah menjauhkan sama sekali semua larangan Rasulullah SAW kerana apa yang dilarang oleh Baginda pada hakikatnya adalah larangan Allah SWT yang wajib dipatuhi.

Seterusnya dia mestilah melaksanakan segala suruhan Baginda Rasulullah SAW sekadar yang termampu, tanpa memaksa diri dan keterlaluan di luar kemampuan kerana ia akan menyebabkannya tewas terkulai tidak berdaya melakukannya sebegitu teruk.

Perintah yang disuruh melakukan sekadar terdaya ialah perintah yang sunat. Perintah wajib atau fardhu mestilah dilakukan tanpa kelonggaran kecuali kelonggaran yang diizinkan syara' iaitu kerana uzur atau sakit.

Sifat terlalu suka bertanya perkara yang bukan-bukan, berbahas, banyak soal jawab dan membantah para Nabi dan Rasul adalah perangai umat yang terdahulu. Lantaran itu, mereka telah ditimpa kesusahan dan kebinasaan. Umat Muhammad SAW diberi peringatan agar jangan mengulangi kesilapan ini.

Monday 10 February 2014

REDS AMAT "BERNAFSU" - RODGERS

Raheem Sterling (kanan) diraikan oleh rakan-rakan sepasukan selepas menjaringkan gol ketiga Liverpool dalam perlawanan menentang Arsenal di Anfield, kelmarin. - AFP

LIVERPOOL - Brendan Rodgers memuji aksi cemerlang yang dipamerkan pemainnya ketika melakar kemenangan menakjubkan dengan membelasah Arsenal 5-1 di Anfield, kelmarin.
The Reds melakukan amukan ke atas Gunners menerusi dua ledakan gol Martin Skrtel serta Reheem Sterling, selain satu gol yang dihasilkan Daniel Sturridge.
Kemenangan itu membantu Liverpool mengukuhkan cengkaman di kedudukan empat teratas, selain merapatkan jurang kepada lima mata dengan Arsenal dalam carta liga.
"Pemain beraksi cemerlang secara taktikal dan menunjukkan nafsu serta keinginan mereka pada perlawanan tersebut. Itu amat penting buat kami.
"Kami telah beraksi dengan cukup baik sekali hari ini (kelmarin), satu persembahan yang mengagumkan pada perlawanan berprestij antara dua pasukan gergasi.
"Kami telah bekerja keras bagi menghadirkan ancaman. Saya sering berpendapat jika kami berjaya menekan lawan dengan baik, ini bermakna kami mampu melakukan gerakan yang bagus.
"Untuk bermain seperti itu, ia bukan hanya melibatkan keputusan, tetapi tahap persembahan sudah pasti berkelas dunia. Saya amat gembira dan ini adalah satu petanda buat kami yang kami semakin meningkat naik dari semasa ke semasa," kata pengurus Liverpool itu kepada laman web rasmi kelab.
Rodgers percaya, kemenangan besar yang dilakar pasukannya mampu memberi manfaat berguna kepada masa depan pemain-pemain mudanya.
"Kami telah melakar beberapa kemenangan menakjubkan dan persembahan yang cemerlang.
"Kemenangan di padang lawan di Tottenham, kejayaan membenam Everton di laman sendiri dalam perlawanan yang sengit, malah kami berjaya mengalahkan Manchester United dan beraksi dengan baik sekali.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Rodgers tidak menyembunyikan minat bagi mendapatkan pertahanan antarabangsa England, Ashley Cole pada musim panas ini.
Cole yang semakin disisihkan daripada kesebelasan utama Chelsea menyatakan hasrat untuk tetap beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris sekurang-kurangnya semusim lagi biarpun menerima beberapa tawaran bermain di luar negara.
Pemain berusia 33 tahun itu bakal tamat kontrak pada Jun ini dan pemain tersebut tidak berminat untuk menandatangani perjanjian baharu bagi mengekalkan dirinya bersama pasukan dari barat London itu ekoran kekurangan peluang beraksi dalam skuad utama. - AGENSI



Sumber dari:-

© Utusan Melayu (M) Bhd 

LIVERPOOL AIBKAN ARSENAL

PEMAIN Liverpool, Martin Skrtel (tengah) dan rakan-rakan sepasukan meraikan golnya ketika menentang Arsenal dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Anfield, Liverpool semalam. Liverpool menang 5-1. - REUTERS

LIVERPOOL - Liverpool membelasah pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal 5-1 dengan mempamerkan permainan menyerang yang menakjubkan di Anfield seterusnya mengukuhkan peluang mereka untuk merebut tempat ke Liga Juara-juara, sedangkan peluang The Gunners untuk meraih trofi liga musim ini menjadi tanda tanya.

Empat gol tuan rumah hadir dalam tempoh 20 minit, apabila mereka menghukum kealpaan Arsenal sedikit demi sedikit, seterusnya meletakkan mereka sebagai pasukan yang mampu untuk mencabar kejuaraan liga apabila sebelum ini hanya tertumpu kepada tiga pasukan sahaja, termasuk Manchester City dan Chelsea selain Arsenal.

Kemenangan Liverpool itu menamatkan rekod tanpa kalah Arsenal dalam empat perlawanan dan berjaya merapatkan jurang kepada lima mata untuk mengukuhkan kedudukan di tempat keempat.

Pasukan tuan rumah tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila pemain pertahanan, Martin Skrtel berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol seawal minit pertama melalui sepakan dari dalam petak penalti, berpunca daripada sepakan bebas yang dilakukan ketua pasukan, Steven Gerrard.

Skrtel sekali lagi menghukum kealpaan pertahanan Arsenal apabila menanduk masuk sepakan sudut yang diambil Gerrard pada minit kesepuluh untuk jaringan kedua peribadinya dan pasukan tuan rumah.

The Reds seolah-olah seperti singa lapar apabila mendahului 3-0 pada minit ke-17, kali ini giliran penyerang muda, Raheem Sterling pula menumpaskan penjaga gol lawan, Wojciech Szczesny apabila menerima umpanan leret daripada Luis Suarez dari bahagian kanan.

Liverpool terus berpesta gol apabila menambah jaringan pada minit ke-20 menerusi penyerang antarabangsa England, Daniel Sturridge, selepas menerima hantaran ke depan yang cantik daripada Philippe Coutinho.

Kebangkitan yang diharapkan anak buah Arsene Wenger pada separuh masa kedua tidak berlaku apabila mereka dihukum lagi menerusi gol kelima dan juga jaringan kedua Sterling selepas merembat masuk dari dalam petak penalti.

Arsenal akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-69 apabila Mikel Arteta menyempurnakan sepakan penalti, selepas pengadil perlawanan, Michael Oliver menghukum kesalahan Gerrard yang mengasari Alex Oxlade-Chamberlain dalam petak penalti.

Arsenal berpeluang membalas dendam kekalahan mereka di Anfield apabila kedua-dua pasukan bertemu semula pada 16 Februari di Stadium Emirates untuk perlawanan pusingan kelima Piala FA. - REUTERS



Sumber dari:-

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday 7 February 2014

HADIS 40 - HADIS 8

HADIS 8

عَنِ ابْنِ عُمَر رَضِيَ الله عَنْهُمَا، أَنَّ رَسُوْلَ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ((أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِ لَ
النَّاسَ حَتَّى یَشْهَدُوا أَنْ لا إِلَهَ إِلاَّ الله، وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ، وَیُقِيْمُوا الصَّلاةَ، وَیُؤْ تُو ا
الزَّآَاةَ. فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلاَّ بِحَقِّ الإِسْلاَمِ، وَحِسَابُهُمْ عَلَى ا للهِ
تعالى)) رواه البخاري ومسلم.

Daripada lbnu 'Umar r.a. رضي الله عنهما bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Aku telah diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad utusan Allah, sehingga mereka mendirikan sembahyang dan membayar zakat. Apabila mereka telah berbuat demikian, maka mereka telah memelihara darah mereka dan harta mereka daripada aku, melainkan dengan hak lslam, dan hisab perhitungan amal mereka terserah kepada Allah Ta'ala.

Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.

Pokok Perbincangan Hadis :

  1. Wajibnya perang - difardhukan - tolak tipu daya musuh - naikkan bendera Islam.
  2. Terpelihara darah dan harta :
      Pokok Perbincangan
  • orang yang mengucap dua kalimah syahadah.
  • orang yang mendirikan solat fardhu.
  • orang yang membayar zakat.
  • orang yang beriltizam dengan hak-hak Islam.

   3. Perjalanan Hukum - hanya pada zahir - batin serah pada Allah.

Pengajaran hadis:

Risalah atau misi kedatangan Rasulullah SAW halangan terhadap usaha dakwah mesti dihapuskan. Mesti menegakkan dakwah lslam sehingga tertegak aqidah lslam. 

Memerangi orang-orang kafir yang memerangi lslam dan dakwah lslam adalah kewajipan umat, agar risalah lslam tidak terhalang dari sampai kepada semua manusia. Apabila dakwah sudah sampai, mereka bebas sama ada menerima lslam atau sebaliknya.

lslam menjamin hak pemeliharaan dan perlindungan darah, harta dan maruah diri seorang mukmin muslim yang mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan sembahyang lima waktu dan membayar zakat. Hak ini terus terjamin kecuali kalau dia mengabaikan hak-hak tuntutan lslam.

Tuesday 4 February 2014

HADIS 40 - HADIS 7

HADIS 7

عَنْ أَبِي رُقَيَّةَ تَمِيْمِ بْنِ أَوْسٍ الدَّارِي أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: (( الدِّیْنُ النَّصِيْحَةُ.
قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: لِلَّهِ، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُوْلِهِ، وَلِأَئِمَّةِ المُسْلِمِيْنَ، وَعَامَّتِهِمْ)) . رواه مسلم.

Daripada Abu Ruqaiyyah Tamim ibn Aus al-Daarie r.a. bahawa Nabi SAW telah bersabda:

Agama itu adalah nasihat. Kami berkata: Untuk siapa? Baginda bersabda: Untuk Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk para lmam kaum muslimin dan untuk umat lslam seluruhnya.

Hadis riwayat al-lmam Muslim.

Kefahaman Hadis :
  1. Nasihah Lillah - mengimaninya/ ikhlaskan ibadah /taatinya serta jauhi larangannya.
  2. Nasihah Likitabi - yakin ia kalam Allah bukan kalam makhluk - sebagai Manhaj hidup - sesuai sepanjang zaman -berusaha memperelokkan bacaan dan faham isi kandungnya.
  3. Nasihah Lirasulihi- membenarkan kenabiannya/ ikut ajarannya/ kasih terhadapnya - agungkan sunnahnya/ kaji sirahnya/ berakhlak dgn. akhlaknya.
  4. Nasihah Li aimmati muslimin - membantunya dalam tugasan/ nasihat ketika lupa/ halang dari berlaku zalim.
  5. Nasihah Li ‘ammatihim - membimbing ke arah kebaikan dunia dan akhirat/ ajar apa yang mereka jahil terhadap agama/galakkan mereka kepada ketaatan.

Pengajaran hadis:

  • Agama lslam adalah agama nasihat iaitu agama yang berorientasikan nasihat sebagai teras pembinaan umat, menjaga perpaduan, mencipta kemajuan dan pembangunan, sama ada kemajuan duniawi ataupun pembangunan rohani. Membiarkan kerosakan terus berlaku atau perkara yang kurang baik dilaksanakan adalah bertentangan dengan konsep nasihat lslam.
  • lslam memperuntukkan hak memberi nasihat kepada semua penganutnya tanpa mengira kedudukan dan status.
  • Nasihat yang diberikan meliputi golongan manusia sama ada pemerintah atau rakyat.
  • Nasihat untuk Allah, KitabNya dan RasulNya bererti beriman dengan semua perkara tersebut dan beramal berpandukan tuntutannya yang sebenar.

Sunday 2 February 2014

HADIS 40 - HADIS 6

HADIS 6

صلى الله عليه عَنْ أَبِي عَبْدِ الله النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيْر رَضِيَ الله عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ الله
وسلم یَقُوْلُ: (( إِنَّ الحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُوْرٌ مُشْتَبِهَاتٌ لا یَعْلَمُهُنَّ آَثِيْ رٌ
مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِیْنِهِ وَعِرْضِهِ وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي
الحَرَامِ آَالرَّاعِي یَرْعَى حَوْلَ الحِمَى یُوشِكُ أَنْ یَرْتَعَ فِيْهِ. أَلاَ وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمَى، أَلاَ وَإِ نَّ
حِمَى اللهِ مَحَارِمُهُ. أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ آُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَ دَ
الْجَسَدُ آُلُّهُ، أَلاَ وَهِيَ الْقَلْبُ)). رواه البخاري ومسلم.

Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. رضي الله عنهما beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.

Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.

Pokok Perbincangan Hadis :

1) Perkara Halal Jelas, Perkara Haram Jelas :
  • Yang telah dinaskan seperti kahwin, makan benda-benda yang baik. manakala yang haram sprt. minum arak, judi, zina dan riba.

2) Perkara-perkara Syubhat :
  • berlaku dalam ibadah, muamalat dan lainnya. 
  • yang tidak jelas halal dan haram dan tidak ada nas padanya.

3) Bila berhadapan dengan syubhat :
  • tinggalkan perkara tersebut untuk elakkan dosa - redha Allah.
  • syubhat pada pandangan orang tapi tidak pada kita - mesti jelaskan supaya hilang syubhat tersebut - (kisah nabi dgn. Sofiah - dilihat oleh sahabat).
  • tinggalkan syubhat - sifat wara’ - sempurna iman.

4) Peranan Hati :
  • banyak ayat ditujukan pada hati (hadis - aqal terletak dihati)
  • hati berpenyakit - jihadnya dengan mengikut manhaj Allah.

Pengajaran hadis:

  1. Seseorang mukmin mestilah cuba mengenali dan mempelajari perkara halal dan haram seterusnya melakukan yang halal dan meninggalkan yang haram demi menjaga kemuliaan agamanya.
  2. Perkara yang kesamaran, yang belum jelas halal haramnya adalah perkara syubhat yang mesti dijauhi, demi menjaga maruah diri dan keheningan agama.
  3. Sempadan murka dan redha Allah SWT ialah perkara haram. Sesiapa yang melewati garisan dan terjebak melakukan perkara haram, maka dia telah melewati sempadan kemurkaan Allah.
  4. Hati adalah raja segala anggota yang mesti dipastikan keelokannya dan kebersihannya justeru kerosakan dan kemusnahannya akan merosakkan dan memusnahkan seluruhan anggota badan yang lain.

Saturday 1 February 2014

HADIS 40 - HADIS 5

HADIS 5

عَنْ أُمِّ المُؤْمِنِيْنَ أُمِّ عَبْدِ اللهِ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْ هِ
وَسَلَّم : (( مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ )) . رواه البخاري ومسلم وفي
.(( روایة لمسلم: ((مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَليهُ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

Daripada Ummu al-Mukminin Ummu Abdullah 'Aisyah r.a. رضي الله عنها beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Barangsiapa yang mengada-ada sesuatu perkara dalam urusan kita ini, yang bukan daripadanya, maka ia tertolak.

Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan al-lmam Muslim. Dalam riwayat Muslim, ada hadis lain berbunyi: Barangsiapa yang mengerjakan suatu amalan yang tidak ada asal usul dengan agama kita, maka ia tertolak ( Al-Imam al-Bukhari dalam kitab ( آتاب الصلح ) bab ( باب إذا اصطلحوا على صلح جور ) nombor 2550. Al-Imam Muslim dalam kitab ( آتاب الأقضية ) bab ( باب نقض الأحكام الباطلة ورد محدثات الأمور ) nombor 1718).

Pokok Perbincangan Hadis :

Larangan mengada-adakan dalam urusan agama :

a) Dalam Ibadat :
  
  •  Sesuatu yang dibolehkan melakukannya dalam ibadat tertentu, tidak        semestinya boleh dilakukan dalam ibadah lain pula. (dedah kepala -    ihram/berdiri-azan
  • Ibadah yang langsung tidak syar’ie ( dengan hiburan/ tarian) - tidak diterima   Allah bahkan ditutup pintu taubatnya.
  • Menongkok tambah dalam ibadat yang disyariatkan. (tambah rakaat dalam solat fardhu/ wudhu’ empat-empat)
  • Mengurangkan sesuatu dari yang disyariatkan. (kurang rakaat dalam solat).


b) Dalam Muamalat :

  • ‘Aqad yang dilarang oleh Syara’ :

       Barang yang hendak di’aqad tidak halal.(nikah dengan mahram).
      ‘Aqad pada barang yang diharamkan (arak/ bangkai).
  • ‘Aqad yang menyebabkan berlaku zalim bagi sebelah pihak. (nikah anak perempuan tanpa izinnya).


Pengajaran hadis:

  1. lslam adalah agama yang sudah sempurna dasar dan prinsipnya. la tidak perlu ditokok tambah lagi. Sebarang tokok tambah, ubah suai atau pengurangan yang bertentangan dengan usul agama adalah bid'ah yang diharamkan, yang ditolak dan sesat.
  2. Yang dimaksudkan dengan bid'ah ialah segala perkara yang tidak berdasarkan usul agama, seumpama mereka cipta cara beribadat tertentu, seperti sembahyang cara baru, upacara keagamaan baru dan sebagainya.
  3. Setiap muslim mestilah menjauhkan diri daripada terjebak dalam perbuatan bid'ah sesat, kerana ia boleh membawa kepada kehancuran diri, agama dan setengahnya pula membawa kepada kufur. Cukuplah baginya berpegang teguh dengan apa yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW, demi menjamin kesejahteraan agamanya.