Wednesday 31 July 2013

LAILATULQADAR MALAM YANG DINANTI OLEH MUKMIN



10 akhir Ramadhan adalah merupakan di antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Malam-malam ini adalah merupakan malam yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang mukmin. Bulan Ramadhan, Al Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. di antaranya firman Allah s.w.t.

Maksudnya: "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatulqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu Lailatulqadar. Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar".

Sebab turun surah al-Qadr

Lailatulqadar mempunyai kelebihan yang begitu besar. Ianya lebih baik dari 1000 bulan yang lain. Sebab diturunkan ayat tersebut diriwayatkan daripada Mujahid dikatakan sebab turun ayat tersebut ialah Nabi s.a.w. telah menyebut tentang seorang lelaki daripada Bani Israel yang telah menggunakan alat senjatanya untuk berperang pada jalan Allah maka orang Islam pun kagum di atas perbuatan itu lalu Allah menurunkan ayat di atas.

Riwayat yang lain pula dari Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah bahawa Allah w.s.t. menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah Al Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat amat gembira.

Daripada ayat di atas dapatlah kita ketahui bagaimana besar kelebihan orang yang beribadah pada malam lailatulqadar. Ianya satu malam menyamai beramal 1000 bulan.

Dalam hadis Rasulullah s.a.w. menyebut
Maksudnya: "Rasulullah bersungguh-sungguh beribadah pada 10 akhir bulan Ramadhan lebih daripada yang lainnya"
Rasulullah s.a.w. melakukan ibadah pada malam itu bukan hanya setakat baginda sahaja tetapi baginda menyuruh ahli keluarga bangun bersama beribadah. Kata Aisyah r.a.

Maksudnya: "Nabi s.a.w. apabila masuk 10 akhir bulan Ramadhan baginda mengikat kainnya. Menghidupkan malam dengan beribadah dan membangunkan keluarganya untuk sama-sama beribadah. Mengikat kainnya bermaksud bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah."



Kelebihan Menghayati Malam Lailatulqadar

Kerana mulianya Lailatulqadar, Rasulullah s.a.w. menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amalan dan ibadah yang diterangkan di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.

Maksudnya: "Barangsiapa menghayati malam Lailatulqadar dengan mengerjakan sembahyang dan berbagai jenis ibadat yang lain sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah taala nescaya ia diampunkan dosanya yang terdahulu.

Rasulullah s.a.w. sendiri menjadi contoh yang baik yang menghayati malam lailatulqadar terutama 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan dengan beriktikaf di Masjid mengerjakan pelbagai amal ibadah untuk menyambut malam Lailatulqadar yang mulia.

Ini diterangkan di dalam satu hadis diriwayatkan daripada Aishah r.a. Katanya:

Maksudnya: "Biasanya Rasulullah s.a.w. berusaha dengan bersungguh-sungguh memperbanyakan amal ibadah pada 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan berbanding dengan masa yang lain."

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

Malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam Lailatulqadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah s.a.w. pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah s.w.t. supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Kerana dengan cara itulah sahaja mudah-mudahan akan dapat menemuinya dan dapat pula rahmat yang diharapkan yang akan menjadikan seseorang itu hidup bahagia di dunia mahupun di akhirat.

Doa khusus di Malam Lailatulqadar

Doa tersebut diterangkan di dalam hadis berikut:-

Hadis yang diriwayatkan daripada Aishah r.a.

Maksudnya: "Saya pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. bagimana kiranya saya mengetahui malam Lailatulqadar dengan tepat. Apa yang saya akan doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa yang berikut"
Maksudnya: "Ya Allah ya Tuhanku sesungguhnya engkau sentiasa memaafkan salah silaf hamba lagi suka memaafkan oleh itu maafkanlah salah silafku. Terdapat juga beberapa doa yang disarankan oleh para alim ulamak kita melakukannya seperti membaca doa orang yang beribadah pada 10 malam yang tersebut akan mendapat rahmat yang dijanjikan dan telah sabit di dalam hadis-hadis yang sahih bahawa malam Lailatulqadar ujud pada salah satu malam yang 10 itu terutama pada malam 21, 23, 25, 27 dan 29. Orang-orang yang tekun beribadah di dalam masa tersebut untuk menemui malam Lailatulqadar akan mendapat rahmat yang dijanjikan itu samada ia dapat menemui atau tidak dan tidak melihat apa-apa kerana yang penting yang tersebut di dalam hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim ialah:

  • Menghayati malam tersebut dengan beribadah.
  • Beriman dengan yakin bahawa malam Lailatulqadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.
  • Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmatnya dan keredaannya.




Adalah diharapkan sebelum daripada kita beramal ibadat di malam Lailatulqadar hendaklah kita bertaubat dengan sebenar-benarnya iaitu taubat nasuha dan terus beristiqamah tetap teguh mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangannya.

Tanda Malam Lailatulqadar

Para alim ulamak r.h. menyebutkan beberapa tanda atau alamat berhubung dengan malam Lailatulqadar:

  • Ada yang berkata orang yang menemui malam Lailatulqadar ia melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga di segala cerok yang gelap gelita.
  • Ada pula yang berkata ia mendengar ucapan salam dan kata-kata yang lain dari Malaikat. 
  • Ada juga yang berkata ia melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.
  • Ada pula yang berkata doa permohonannya makbul.



Imam Tabari r.h. memilih kaul yang menegaskan bahawa semuanya itu tidak lazim dan tidak semestinya ia dapat melihatnya kerana tidak disyaratkan melihat sesuatu atau mendengarnya untuk menemui malam Lailatulqadar.



Monday 29 July 2013

Mengapa Rasulullah SAW Melarang Minum Berdiri?

Rasulullah ﷺ menekankan adab makan dan minum. Dalam hadis disebutkan “Janganlah kamu minum sambil berdiri”. Dari segi kesihatan, Air yang masuk dengan cara duduk akan disaring oleh sfinger. Sfinger adalah suatu struktur muskuler (berotot) yang boleh membuka (sehingga air kencing boleh keluar) dan menutup. Setiap air yang kita minum akan disalurkan pada ‘pos-pos’ penyaringan yang berada di ginjal.
Minum Sambil Duduk
Dalam keadaan duduk, apa yang diminum atau dimakan oleh seseorang akan melalui dinding usus dengan kadar perlahan dan lambat. Adapun makan minum sambil berdiri, maka ia akan menyebabkan jatuhnya cairan makanan dengan laju ke dasar usus dan melanggarnya dengan cepat. Jika ini terjadi berulang-ulang dalam waktu yang lama, maka akan menyebabkan membesar dan jatuhnya usus, yang kemudian menyebabkan kegagalan pencernaan.
Adapun Rasulullah ﷺ pernah sekali minum sambil berdiri, maka itu disebabkan ada sesuatu yang menghalang Baginda ﷺ untuk duduk, seperti situasi di tempat-tempat suci penuh sesak dengan manusia, ia bukan merupakan atau menjadi kebiasaan Baginda ﷺ.

Minum Sambil Berdiri
Jika kita minum sambil berdiri. Air yang kita minum automatik masuk tanpa ditapis lagi akan terus menuju ke kantung air kencing. Ketika menuju kandungan air kencing itu terjadi pengendapan di saluran sepanjang perjalanan (ureter). Kerana banyak sisa-sisa yang melekat di ureter inilah awal mula munculnya bencana.
Penyakit kristal ginjal atau batu karang adalah salah satu penyakit ginjal yang amat berbahaya. Ia akan mengakibatkan susah kencing, jelas perkara ini bersangkutan dengan saluran yang sedikit demi sedikit tersumbat.
Dari Anas r.a. dari Rasulullah ﷺ: “Bahawa ia melarang seseorang untuk minum sambil berdiri.” Qatadah berkata, “Kemudian kami bertanya kepada Anas tentang makan. Ia menjawab bahawa hal itu lebih buruk.”

Manusia ketika berdiri, ia dalam keadaan tegang, organ keseimbangan dalam pusat saraf sedang bekerja keras, supaya mampu mempertahankan semua otot pada tubuhnya, sehingga boleh berdiri stabil dan dengan sempurna.
Ini merupakan kerja yang sangat teliti yang melibatkan semua susunan saraf dan otot secara bersamaan, yang menjadikan manusia tidak boleh mencapai ketenangan yang merupakan syarat terpenting pada masa makan dan minum.
Ketenangan ini hanya boleh dihasilkan pada masa duduk, di mana saraf berada dalam keadaan tenang dan tidak tegang, sehingga sistem pencernaan dalam keadaan sedia untuk menerima makanan dan minum dengan cara cepat.

Makan Dan Minum
Makanan dan minuman yang dimakan ketika berdiri, boleh memberi kesan pada refleksi saraf yang dilakukan oleh reaksi saraf kelana (saraf otak kesepuluh) yang banyak tersebar pada lapisan endotel yang mengelilingi usus.
Refleksi ini apabila terjadi secara keras dan tiba-tiba, boleh menyebabkan tidak berfungsinya saraf (vagal inhibition) yang parah, untuk menghantarkan detik mematikan bagi jantung, sehingga menyebabkan pengsan atau mati mendadak.
Begitu juga makan dan minum berdiri secara terus-menerus sangat membahayakan dinding usus dan mengakibatkan terjadinya luka pada perut. Para doktor melihat bahawa luka pada perut 95% terjadi pada tempat-tempat yang biasa berlaku perlanggaran makanan atau minuman yang masuk.
Sebagaimana keadaan keseimbangan semasa berdiri disertai pengecutan otot pada kerongkong yang menghalang laluan makanan ke usus secara mudah dan kadang-kala menyebabkan rasa sakit dan mengganggu fungsi pencernaan serta mengakibatkan seseorang boleh kehilangan rasa selesa semasa makan dan minum.

Diriwayatkan ketika Rasulullah ﷺ berada di rumah, Aisyah r.a. sedang makan daging yang dikeringkan di atas talam sambil duduk bertompangkan lutut, tiba-tiba masuk seorang perempuan yang bermulut jahat melihat Rasulullah ﷺ duduk sedemikian itu lalu berkata: “Lihatlah orang itu duduk seperti budak.”
Maka dijawab oleh Rasulullah ﷺ: “Saya seorang hamba, maka duduk seperti duduk budak dan makan seperti makan budak.” Lalu Rasulullah ﷺ mempersilakan wanita itu untuk makan.
Adapun duduk ‘bertelekan’ (bersandar atau berbaring) telah dilarang oleh Rasulullah ﷺ sebagaimana sabdanya,

“Sesungguhnya Aku tidak makan secara bertelekan.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Sumber : http://shafiqolbu.wordpress.com/

Sunday 28 July 2013

Suarez jadi tumpuan di Melbourne

MELBOURNE - Brendan Rodgers menggesa Luis Suarez membalas kepercayaan penyokong selepas Liverpool menang beremosi 2-0 pada perlawanan jelajah pramusim kelmarin.


Suarez dan skuad Liverpool, menjadi idola 95,446 penyokong yang menyaksikan Reds menundukkan juara dua kali Liga-A, Melbourne Victory hasil gol pada kedua-dua babak di Melbourne Cricket Ground.
Sorakan mengiringi Suarez yang berada di bangku simpanan sebaik sahaja wajahnya tertera pada skrin besar stadium sebelum dia dibawa masuk pada minit ke-72.

Suarez, yang dinilai 40 juta pounds (RM196 juta) menjadi sasaran Arsenal.
Bos Liverpool, Brendan Rodgers, yang mengawal keadaan ketika sambutan penuh beremosi oleh penyokong Liverpool di Australia berkata, Suarez ditinggalkan dengan kenangan yang sukar dilupakan terhadap sokongan berterusan yang diberi oleh kelab.

Ketika ditanya pemberita mengenai masa depan Rodgers berkata: "Tiada perkara baru.Dia masih lagi pemain Liverpool.

"Sokongan yang diberi para penyokong dan penduduk bandar Liverpool tiada tolok bandingnya. Buat masa ini, dia terlepas begitu banyak perlawanan bersama kelab di atas pelbagai alasan.

"Penyokong sentiasa berada di sampingnya, dia ibarat seperti seperti anak lelaki mereka dan pergerakannya sering diawasi. Walau apa sahaja yang berlaku dalam tempoh beberapa minggu ini akan terus kekal dalam ingatannya kerana ia sesuatu yang tidak boleh anda lupakan." - AFP



Sumber dari Artikel Penuh: 

http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20130726/sl_04/Suarez-jadi-tumpuan-di-Melbourne#ixzz2a7lbVjzB 

Saturday 27 July 2013

Akhlak Anak-Anak Kita Adalah Tanggungjawab Kita

Akhlak Anak-Anak kita
Akhir akhir ini kita melihat pelbagai gejala-gelaja sosial yang melibatkan anak-anak muda/remaja terutamanya yg beragama islam, sebagai contoh medium facebook sekarang semakin banyak masalah sosial dari anak-anak muda, mereka tanpa segan silu berkasih sayang dengan pasangan mereka,adakah mereka tidak langsung memikirkan kesan pada keluarga mereka nanti.
Sahabat-sahabat yang saya hormati, Sesungguhnya anak-anak merupakan anugerah dari Allah s.w.t. yang cukup berharga kepada Ibubapa. Mereka juga merupakan amanah daripada Allah untuk dijaga dan dipelihara dengan sempurna dan memastikan keselamatan di dunia dan akhirat. Amanah ini akan ditanya oleh Allah diakhirat nanti, apakah kita telah menunaikannya dengan sebaik-baiknya ataupun kita mengkhianatinya.
Justeru itu, Islam tampil sebagai model terbaik memberi bimbingan dan panduan kepada manusia dalam melahirkan sebuah keluarga bahagia dan dirahmati serta diredhai Allah s.w.t.
Kita semua sebagai ibu bapa atau yang bakal menjadi bapa sudah pasti berharap supaya dikurniakan anak-anak yang baik dan soleh yang bakal menjadi penyejuk mata dan penawar hati. Anak-anak bukan sahaja dapat membantu kita sewaktu di dunia bahkan diharap dapat membantu kita sampai ke alam akhirat.
Sabda Rasulullah s.a.w :
“Apabila telah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu : Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya“.
Oleh itu, sekiranya kita berhasrat dan mengidamkan untuk mendapat zuriat yang terbaik dan soleh, maka kita mestilah memberikan pendidikan yang sempurna kepada mereka yang berkaitan dengan dengan fardhu ain dan fardhu kifayah.
Justeru itu, proses mendidik anak agar benar-benar menjadi anak yang soleh merupakan suatu tugas dan tanggungjawab yang besar serta mencabar kepada setiap ibu bapa, terutamanya dalam dunia hari ini yang serba canggih sedikit sebanyak telah mempengaruhi corak kehidupan masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak.
Maka dalam perkara ini, beberapa faktor penting perlu diberi perhatian oleh ibu bapa bagi memastikan anak-anak menjadi insan yang soleh dan terbaik serta mampu memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.
Diantara perkara-perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa dalam proses melahirkan zuriat yang soleh ialah :

Sentiasa Berdoa Kepada Allah S.W.T.

Keinginan untuk memiliki zuriat yang soleh dan cemerlang hendaklah dengan cara berdoa kepada Allah s.w.t. kerana amalan ini merupakan amalan yang dilakukan oleh para nabi dan rasul. Firman Allah dalam surah Ali – Imran ayat: 38
“ Wahai tuhan kami kurniakanlah kepadaku dari sisimu zuriat keturunan yang baik, seseungguhnya engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan. ”
Dalam ayat ini menjelaskan kepada kita para nabi dan rasul mengutamakan zuriat yang soleh dalam kehidupan mereka, walaupun zuriat itu belum dilahirkan lagi mereka berdoa kepada Allah s.w.t. agar dikurniakan zuriat keturunan yang baik. Ini memberi gambaran dan contoh kepada manusia untuk diamalkan. Di samping kita berdoa hendaklah kita memberi pelajaran yang sempurna dari segi fardhu Ain dan Fardhu Kifayah semoga mereka dapat membangunkan diri, masyarakat dan negara.

Hendaklah Menanam Akidah Didalam Diri Anak-Anak

Akidah merupakan asas yang perlu diberi perhatian dan keutamaan, kerana akidah yang mantap sahaja mampu menjamin kebahagian dan kecemerlangan hidup manusia di dunia dan di akhirat.
Selain itu, anak-anak yang mempunyai pegangan akidah yang mantap tidak akan mudah untuk menyeleweng atau diselewengkan. Lebih-lebih lagi dapat melahirkan insan yang sentiasa dapat menjaga iman mereka serta menjauhi perkara-perkara syirik yang boleh menyesatkan mereka.

Hendaklah Diberi Penekanan Terhadap Tuntutan Syariah Khususnya Dari Sudat Ibadah

Penekanan dari sudut ibadah yang sempurna melambangkan sifat kepatuhan dan ketaatan kepada Allah. Selain itu, sebagai tanda penyempurnaan jalinan hubungan dengan Allah s.w.t sepanjang masa dengan sentaisa menyerahkan segala jiwa dan raganya terhadap setiap suruhan dan meninggalkan segala larangannya pada setiap masa.
Selain itu, dengan melakukan ibadah kepada Allah dapat menyedarkan anak-anak tentang sifat-sifat manusia sebagai hamba disisi Allah s.w.t. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Anam ayat 162 :
“Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam “.

Hendaklah Diberi Penekanan Dari Sudut Akhlak

Memiliki akhlak terpuji merupakan lambang kecemerlangan dan keindahan terhadap keperibadian seorang muslim sejati. Dengan memiliki akhlak yang terpuji menyebabkan seseorang itu dihormati dalam sesebuah masyarakat berbanding dengan orang yang memiliki akhlak yang tercela akan dibenci dan dikeji oleh masyarakat. Kerana itulah, junjungan besar nabi Muhammmad s.a.w. diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia.
Selain itu, dengan memiliki akhlak yang mulia merupakan amalan yang paling berat dalam timbangan dihari akhirat berbanding dengan akhlak tercela yang akan melambatkan proses hisab dihadapan Allah s.w.t. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. :
“Tidak ada sesuatu yang lebih berat diatas neraca timbangan seseorang hamba di hari kiamat selain dari akhlak yang mulia“.

Memastikan Makanan Anak-Anak Dari Sumber Yang Halal

Setiap ibu bapa perlu memastikan setiap makanan yang diberikan kepada anak-anak merupakan makanan dari sumber yang halal serta menjauhi dari sumber-sumber yang subhah, apatah lagi dari sumber yang haram seperti rasuah, riba, penipuan dan sebagainya.
Kerana makanan yang bersumberkan dari rezeki yang halal bukan sahaja membawa keberkatan tetapi sebenarnya dapat melahirkan zuriat yang pintar dan sehat. Dan akhirnya mendorong seseorang kearah melakukan kebaikan di dunia dan mendapat rahmat Allah di akhirat. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 168 :
“Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu ”.
Marilah sama-sama kita memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak kita, demi melihat generasi yang terbaik dimasa hadapan. Korbanlah sedikit masa dan harta untuk mereka, berikan kasih sayang dan tunjukkanlah contoh yang terbaik kepada mereka serta mengambil tahu hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan anak-anak seperti dengan siapa mereka berkawan, kemana mereka pergi, jam berapa mereka keluar rumah dan sebagainya.
Ini semua membuktikan kita telah melaksanakan amanah Allah s.w.t. terhadap anak-anak dengan baik dan sempurna. Kelima-lima perkara yang telah disebut tadi amat penting diberi perhatian untuk membina insani yang sempurna dan merupakan modal insan yang akan memainkan peranan untuk anak-anak kita dalam membangun masyarakat dan Negara.

Sumber: Persatuan Pengguna Islam Malaysia

Friday 26 July 2013

Biodata Rasulullah SAW

muhammad
Membincangkan mengenai Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam memang tidak akan ada sudahnya. Tiada suatu pun keburukan dari akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Sehingga Allah SWT menjadikannya sebagai ‘Uswatun Hasanah’ bagi seluruh umat manusia. Dan kita sebagai umat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, ada baiknya dan seharusnya kita mengetahui latar belakang Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.
.
.
BIODATA RASULULLAH SAW
Berikut adalah biodata manusia yang paling mulia di muka bumi ini :

Nama
Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hashim.

Tarikh lahir
Subuh hari Isnin, 9 Rabiul Awwal bersamaan 20 April 571. Masehi (dikenali sebagai Tahun Gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Kaabah).

Tempat lahir
Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah.

Nama bapa
Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hashim.

Nama ibu
Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf..

Pengasuh pertama
Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman, hamba perempuan bapa Rasulullah SAW).

Ibu susu pertama
Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab).

Ibu susu kedua
Halimah binti Abu Zuaib As-Saadiah (lebih dikenali Halimah As-Saadiah. Suaminya bernama Abu Kabsyah).
.
.
.
PERJALANAN HIDUP RASULULLAH SAW
.
USIA 1 HARI
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dilahirkan dalam keadaan suci bersih, cahaya terpancar dari tubuhnya dan tali pusatnya sudah sedia terpotong serta telah siap berkhitan.
.
USIA 5 BULAN
Pada usia 5 bulan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sudah pandai berjalan dan berlari.
.
USIA 9 BULAN
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pada usia 9 bulan sudah mampu berbicara dengan lancar.
.
USIA 2 TAHUN
Ketika usia 2 tahun, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sudah boleh dilepaskan bersama anak-anak Halimah yang lain untuk menggembala kambing yang saiznya lebih besar daripada tubuhnya. Baginda juga selama beberapa waktu menggembala kambing orang Mekah di kawasan Qararit.
.
USIA 4 TAHUN
Dua malaikat membelah dada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bagi mengambil jantung dan hatinya, kemudian malaikat membukanya untuk mengeluarkan darah kotor dan menyucikan hatinya dengan hikmah dan salju. Peristiwa ini disaksikan oleh anak-anak dari keluarga Sa’d yang berlari pulang sambil berkata kepada ibu-bapanya: “Saudara kami yang dari Quraisy itu telah diambil oleh dua orang laki-laki berbaju putih. Dia dibaringkan, perutnya dibedah, sambil di balik-balikan.”
.
USIA 6 TAHUN
Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa ‘ (sebuah kampung yang terletak di antara Makkah dan Madinah). Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muthalib.
.
USIA 8 TAHUN
Datuknya, Abdul Muthalib pula meninggal dunia. Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.
.
USIA 12 TAHUN
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ketika sedang beristirehat di wilayah Bushra dalam perjalanan untuk berdagang bersama bapa saudaranya, Abu Talib ke Syam (Syria). Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) menceritakan kepada ketua-ketua rombongan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.
Pendeta Bahira telah melihat tanda-tanda kenabian pada diri Muhammad. Beliau menceritakan bahawa kedatangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ketika itu diiringi dengan gumpalan awan yang menutupinya dari cahaya matahari. Dia juga sempat berdialog dengan Baginda dan menyaksikan adanya sebuah Khatamun Nubuwah / ’cop kenabian’ (tanda kenabian) di badan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
.
USIA 20 TAHUN
Terlibat dalam peperangan Fijar . Ibnu Hisyam di dalam kitab ‘ Sirah ‘, jilid 1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja. Menyaksikan ‘ perjanjian Al-Fudhul ‘ ; perjanjian damai untuk member pertolongan kepada orang yang dizalimi di Makkah.
.
USIA 25 TAHUN
Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah. Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah. Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu. Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.
.
USIA 35 TAHUN
Banjir besar melanda Makkah dan meruntuhkan dinding Kaabah. Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Makkah. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam diberi kemuliaan untuk meletakkan ‘ Hajarul-Aswad ‘ ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.
.
USIA 40 TAHUN
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menerima wahyu di gua Hira’ sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.
.
USIA 53 TAHUN
Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq. Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.
.
USIA 63 TAHUN
Kali ke dua malaikat membelah dada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebelum dibawa Mi’raj ke Sidratul Muntaha.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Isra ke Masjidil Aqsa, Palestine dari Masjidil Haram, Makkah lalu Mi’raj ke Sidratul Muntaha di langit k etujuh dari Baitul Maqdis tidak sampai satu malam pada tarikh 27 Rajab tahun 11 Hijriah.
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam wafat di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11Hijrah/ 8 Jun 632 Masihi.
.
.
.
ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW
Khadijah binti Khuwailid al-Asadiyah r.a
Saudah binti Zam’ah al-Amiriyah al Quraisiyah r.a
Aisyah binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar r.a)
Hafsah binti Umar (anak Saidina Umar bin al-Khattab r.a.)
Ramlah binti Abu Sufian r.a (digelar Ummu Habibah)
Hindun binti Abu Umaiyah r.a (digelar Ummi Salamah)
Juwairiyah ( Barrah ) binti Harith bin Abu Dhiror
Safiyyah binti Huyay bin Akhtab
Zainab binti Jansyin
Maimunah Binti Harith Al-Hilaliyah
Asma’ binti al-Nu’man al-Kindiyah*
Umrah binti Yazid al-Kilabiyah*
Zainab binti Khuzaimah (digelar ‘Ummu Al-Masakin’; Ibu Orang Miskin)*
* Ulama berselisih pendapat tentang kesahihan isterinya ini.

Nama isteri pertama dan usia baginda berkahwin:
Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah pada 25 tahun.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam hanya berkahwin dengan isteri-isteri Baginda 3 tahun setelah kewafatan Siti Khadijah.
.
.
.
ANAK-ANAK RASULULLAH SAW
Qasim
Abdullah
Ibrahim
Zainab
Ruqaiyah
Ummi Kalthum
Fatimah Al-Zahra ‘
.
Rasulullah hanya mempunyai anak dari Siti Khadijah:

    a. Putra
    Al-Qasim
    Abdullah
    Ibrahim
    -Ketiga-tiganya meninggal waktu usia masih kecil.
    .

    b. Putri<
    Zainab menikah dengan Abil Aash ibnu Rabi ‘bin Abdus Syam
    Ruqayah menikah dengan Utbah bin Abi Lahab
    Ummu Kaltsum menikah dengan Utaibah bin Abi Lahab
    Fatimah Az-Zahra menikah dengan sayidina Ali bin Abi Talib ra
    .
    Anak Tiri Rasulullah SAW
    Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda. Anak Saidatina Khadijah bersama bekas suaminya, Hind bin Habbasy bernama;
    Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah at-Tamimi.
    .
    .
    .
    SAUDARA SUSUAN RASULULLAH SAW

    Saudara Sesusuan Dari Ibu Susuan, Thuwaibah
    Hamzah
    Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad

    Saudara Sesusuan Dari Ibu Susuan, Halimah Al-Saidiyyah
    Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
    Abdullah bin Harith bin Abdul ‘ Uzza
    Syaima ‘ binti Harith bin Abdul ‘ Uzza
    Aisyah binti Harith bin abdul ‘ Uzza
    .
    .
    .
    BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW
    (Anak-Anak Kepada Abdul Muttalib)
    Bapa Saudara
    Al-Harith
    Muqawwam
    Zubair
    Hamzah *
    Al-Abbas *
    Abu Thalib
    Abu Lahab (nama asalnya Abdul Uzza)
    Abdul Kaabah
    Hijl
    Zirar
    Ghaidaq
    Ibu Saudara
    Umaimah
    Atiqah #
    Arwa #
    Umaimah
    Barrah
    Al-Bidha (Ummu Hakim)
    Safiyah (ibu kepada Zubair Al-Awwam) *
    * Sempat masuk Islam.
    # Ulama berselisih pendapat tentang Islamnya.
    .
    .
    Kasihi Keluarga Rasulullah SAW
    Berdasarkan kepada hadis-hadis, ketahuilah mencintai keluarga Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallamadalah wajib dan haram hukumnya membenci mereka sebagaimana sabda Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam: “Sesiapa yang mencintai keluargaku maka wajib bersamaku di dalam syurga dan sesiapa yang membenci keluargaku maka haram baginya mendapatkan syafa’atku nanti di hari kiamat.”
    Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:
    “Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga.” (Riwayat Al-Sajary daripada Anas )
    .

    33_21
    Allah SWT berfirman :
    33:21

    “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu contoh tauladan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan/rahmat) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia juga banyak menyebut dan mengingati Allah dalam masa susah dan senang.” (Surah Al-Ahzab; ayat 21)
    .
    .
    والله أعلم بالصواب
    Wallahu A’lam bishowab
    (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)


    Sumber : http://shafiqolbu.wordpress.com/