Monday 10 February 2014

REDS AMAT "BERNAFSU" - RODGERS

Raheem Sterling (kanan) diraikan oleh rakan-rakan sepasukan selepas menjaringkan gol ketiga Liverpool dalam perlawanan menentang Arsenal di Anfield, kelmarin. - AFP

LIVERPOOL - Brendan Rodgers memuji aksi cemerlang yang dipamerkan pemainnya ketika melakar kemenangan menakjubkan dengan membelasah Arsenal 5-1 di Anfield, kelmarin.
The Reds melakukan amukan ke atas Gunners menerusi dua ledakan gol Martin Skrtel serta Reheem Sterling, selain satu gol yang dihasilkan Daniel Sturridge.
Kemenangan itu membantu Liverpool mengukuhkan cengkaman di kedudukan empat teratas, selain merapatkan jurang kepada lima mata dengan Arsenal dalam carta liga.
"Pemain beraksi cemerlang secara taktikal dan menunjukkan nafsu serta keinginan mereka pada perlawanan tersebut. Itu amat penting buat kami.
"Kami telah beraksi dengan cukup baik sekali hari ini (kelmarin), satu persembahan yang mengagumkan pada perlawanan berprestij antara dua pasukan gergasi.
"Kami telah bekerja keras bagi menghadirkan ancaman. Saya sering berpendapat jika kami berjaya menekan lawan dengan baik, ini bermakna kami mampu melakukan gerakan yang bagus.
"Untuk bermain seperti itu, ia bukan hanya melibatkan keputusan, tetapi tahap persembahan sudah pasti berkelas dunia. Saya amat gembira dan ini adalah satu petanda buat kami yang kami semakin meningkat naik dari semasa ke semasa," kata pengurus Liverpool itu kepada laman web rasmi kelab.
Rodgers percaya, kemenangan besar yang dilakar pasukannya mampu memberi manfaat berguna kepada masa depan pemain-pemain mudanya.
"Kami telah melakar beberapa kemenangan menakjubkan dan persembahan yang cemerlang.
"Kemenangan di padang lawan di Tottenham, kejayaan membenam Everton di laman sendiri dalam perlawanan yang sengit, malah kami berjaya mengalahkan Manchester United dan beraksi dengan baik sekali.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Rodgers tidak menyembunyikan minat bagi mendapatkan pertahanan antarabangsa England, Ashley Cole pada musim panas ini.
Cole yang semakin disisihkan daripada kesebelasan utama Chelsea menyatakan hasrat untuk tetap beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris sekurang-kurangnya semusim lagi biarpun menerima beberapa tawaran bermain di luar negara.
Pemain berusia 33 tahun itu bakal tamat kontrak pada Jun ini dan pemain tersebut tidak berminat untuk menandatangani perjanjian baharu bagi mengekalkan dirinya bersama pasukan dari barat London itu ekoran kekurangan peluang beraksi dalam skuad utama. - AGENSI



Sumber dari:-

© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment