Friday 15 November 2013

AGGER AKUI BERGELUT CARI TEMPAT DALAM KESEBELASAN UTAMA REDS

DANIEL Angger mendapati peluang untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama semakin sukar selepas kembali daripada kecederaan.


LONDON - Daniel Agger mengakui, dia kini bergelut untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama Liverpool sejak kembali daripada kecederaan.
Selepas tujuh minggu disisihkan, tonggak pertahanan Denmark itu kembali berada dalam kesebelasan Reds ketika pasukan itu menumpaskan Fulham 4-0, Sabtu lalu.

Agger mengakui, dia rimas apabila sering memanaskan bangku simpanan.
Penolong ketua pasukan Liverpool itu kehilangan tempatnya selepas mengalami kecederaan perut, September lalu ketika cuba menangkap besi angkat berat yang terjatuh.

"Saya mahu bermain setiap masa dalam setiap perlawanan, jadi apabila anda tidak bermain, ia sangat sukar untuk diterima.

"Saya perlu berkerja dengan lebih kuat dalam latihan dan tidak merungut.

"Saya rasa, saya lebih daripada mampu untuk berada dalam pasukan dan berhak mendapat tempat dalam kesebelasan utama, namun itu keputusan pengurus.

"Persaingan bagi merebut tempat sentiasa sengit dan anda perlu menyambar peluang apabila ia hadir kerana itulah yang dinamakan bola sepak.

"Saya tahu saya masih di sini dan selagi saya milik Liverpool, saya akan melakukan apa saja yang mampu untuk membantu pasukan serta mengembalikan keyakinan pengurus," ujar pemain berusia 28 tahun itu.

Di sebalik kecewa kerana sering diketepikan, Agger berkata, dia tidak pernah mempersoalkan tindakan pengurus, Brendan Rodgers, apatah lagi untuk menuntut satu penjelasan.
Agger, yang genap lapan tahun di Anfield, Januari depan turut menegaskan, dia tidak mahu bercakap tentang perpindahan kerana tidak pernah berniat meninggalkan Liverpool.

"Saya bukan jenis pemain yang mahukan penjelasan, saya hanya mahu meyakinkan jurulatih dengan berkerja keras dan memberi aksi terbaik.

"Penantian saya (untuk berada dalam kesebelasan utama), lebih lama daripada yang saya jangkakan, namun sebaik saja saya mendapat peluang, saya tidak mensia-siakannya," kata Agger.

Agger menampilkan aksi yang mantap ketika membantu Liverpool membenam Fulham, minggu lalu.

Kemenangan itu membolehkan Reds menghuni tangga kedua Liga Perdana Inggeris dan berada di landasan terbaik untuk kembali dalam kancah Liga Juara-Juara.

Liverpool tidak pernah beraksi dalam kejohanan elit Eropah itu sejak kali terakhir membuat penampilan pada 2009.

"Semua pemain Liverpool mahu beraksi dalam Liga Juara-Juara. Ia adalah kejohanan yang mahu anda sertai kerana di situlah semua pemain dan pasukan terbaik berada.

"Anda boleh melihat keazaman kami ketika di padang. Kami bekerja keras untuk mencapai empat teratas dalam Liga Perdana, itu yang penting.

"Ada banyak pasukan yang bersaing dalam liga dan berjaya menempatkan diri dalam kalangan empat terbaik adalah satu pencapaian hebat.

"Perjalanan masih jauh tetapi kami semua mahukan Liga Juara-Juara," ujarnya lagi. - REUTERS





No comments:

Post a Comment