Monday 25 November 2013

Jaringan Sturridge selamatkan maruah Liverpool


pemain Liverpool, Daniel Sturridge (kiri) meraikan jaringan gol menentang Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Goodison Park, semalam. Keputusan terikat 3-3. - REUTERS

LIVERPOOL - Daniel Sturridge masuk sebagai pemain gantian untuk membantu Liverpool mencatat keputusan 3-3 menentang Everton apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-89 dalam perlawanan Derby Liga Perdana Inggeris yang menghiburkan, semalam.

Dua gol jaringan Romelu Lukaku hampir membolehkan Everton mencatat kemenangan pertama ke atas musuh tradisi itu selepas tujuh perlawanan tetapi tandukan Sturridge menyelamatkan Liverpool dalam aksi di Goodison Park.

Pasukan lawan tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila Philippe Countinho merembat masuk melalui kaki kanan dari dalam petak penalti pada minit kelima.

Bagaimanapun, tuan rumah bangkit untuk menyamakan kedudukan tiga minit selepas itu, berpunca daripada gerakan bola mati yang membolehkan Kevin Mirallas melakukan rembatan dari jarak dekat menuju ke sudut kanan gawang Liverpool.

Reds kembali memimpin perlawanan pada minit ke-19 menerusi penyerang sensasi mereka, Luis Suarez yang mengambil sepakan percuma dari jarak 23 meter menewaskan Tim Howard yang sudahpun tertewas apabila bola menuju ke bahagian bawah sebelah kanan pintu gol lawan.

Mirallas berjaya mengelak daripada dilayangkan kad merah apabila mengasari Suarez pada minit ke-36 tetapi pengadil perlawanan, Phil Dowd hanya melayangkan kad kuning kepadanya.

Everton sekali lagi berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-72 apabila Lukaku melepaskan rembatan dari tengah petak penalti selepas menerima hantaran James McCarthy.

Lukaku terus menjadi duri dalam daging buat Liverpool apabila meletakkan Everton buat kali pertama di depan pada minit ke-82 selepas menanduk kencang hantaran silang Mirallas dari sebelah kiri.

Seminit sebelum masa sebenar tamat, Liverpool berjaya untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata apabila Sturridge menyudahkan sepakan percuma yang diambil ketua pasukan, Steven Gerrard melalui tandukan ke gawang gol. - AFP

Sumber dari:-  


No comments:

Post a Comment