Tuesday 16 July 2013

Petua dan Pantang Larang di dalam Masyarakat Melayu Sarawak




Komuniti Melayu Sarawak merupakan antara komuniti etnik di Sarawak Bumi Kenyalang dan seperti masyarakat etnik yang lain, masyarakat Melayu Sarawak juga mempunyai beberapa kepercayaan serta amalan yang diperwariskan dari satu generasi ke generasi yang lain sejak berkurun lamanya. Ianya adalah salah satu peraturan sosial yang dikongsi di dalam penghidupan bermasyarakat yang tetap mengamalkan toleransi kaum dan agama. Mungkin sebelum kedatangan agama Islam pantang larang dan petua ini kebanyakannya berdasarkan kepada jampi serapah namun selepas ramai komuniti melayu Sarawak yang peka pada agama Islam maka ianya telahpun berpaksi kepada ajaran dan kalam Allah iaitu ayat-ayat di dalam kitab suci Al-Quran. Untuk artikel pada kali ini, Borneo Oracle akan memaparkan beberapa petua-petua serta pantang larang yang masih diamalkan oleh komuniti Melayu Sarawak sebagai satu cabang pengetahuan kita bersama. 

Perubatan

Dalam petua yang melibatkan perubatan, didapati bahawa pengamal petua tradisional memanfaatkan bahan-bahan semula jadi yang ada di sekelilingnya kerana ianya mudah didapati dan tidak memerlukan kos yang tinggi. Tumbuh-tumbuhan dan bahan-bahan untuk masakan yang tertentu juga digunakan secara meluas dalam amalan petua tradisional. Misalnya, untuk mengubati kanak-kanak sakit perut dan menangis, masyarakat Melayu Sarawak mengambil bawang merah tunggal (bawang merah yang berbentuk bulat dan tidak berkembar) dan memicitnya dicelah-celah ibu jari dengan jari kaki kanan, atau dipicit dan diletakkan diperut dan diubun-ubun kepala kanak-kanak tersebut. Petua ini dilakukan dengan iringan selawat ke atas nabi Muhammad dan bacaan Bismillah. Amalan petua ini sangat dipercayai keberkesanannya dan masih diamalkan pada hari ini kerana keyakinan terhadap khasiat bawang merah tersebut, yakni sebagai suatu ikhtiar penyembuhan, di samping keyakinan terhadap Tuhan yang berkuasa menyembuhkan segala penyakit. 

Selain itu, terdapat juga penggunaan sirih dan pinang dalam perubatan Melayu kerana kedua-dua elemen semula jadi ini amat penting dan dekat dengan alam dan budaya Melayu. Kepentingan ini juga diperjelas melalui penggunaan sirih amat sebati dalam kehidupan, banyak digunakandalam bidang pengubatan dan adat resam Melayu sehingga dikenali sebagai daun budi dan daun diplomasi, sementara pinang turut mempunyai maksud yang tersendiri. Bagi masyarakat Melayu, daun sirih biasanya akan dipanaskan pada api, lalu diletakkan di perut bayi dengan tujuan membuang angin atau menyembuhkan kembung perut. Contoh ini secara jelas menampakkan bahawa kaum in memanfaatkan sirih dalam bidang pengubatan tradisional. Sungguhpun bersifat tradisional, penggunaan sirih dalam perubatan dinyatakan sangat relevan hingga kini kerana kemujarabannya. Hal ini demikian kerana sirih mempunyai hubungan yang dekat dengan alam Nusantara dan kemujarabannya dalam penyembuhan penyakit sangat dipercayai oleh masyarakat setempat.

Terdapat juga petua perubatan untuk ibu selepas bersalin yang menggunakan halia. Dalam hal ini, masyarakat Melayu Sarawak mempercayai bahawa halia dapat memanaskan dan menyegarkan tubuh badan selepas bersalin, iaitu semasa ibu masih berpantang. Masyarakat Melayu Sarawak dahulu dan sekarang akan memasak halia dan meminum airnya. Sepanjang tempoh berpantang, amalan menggunakan halia, baik sebagai minuman atau kegunaan luaran akan diteruskan dan kesannya diyakini amat berguna kepada pengamalnya.

Masyarakat Melayu Sarawak juga mengamalkan ‘berdiang’ selepas bersalin. Amalan petua tradisional ini dilakukan dengan membuat unggun api dan wanita yang berpantang tersebut akan duduk berhampiran dengan unggun api tersebut untuk memanaskan badan. Selain itu, petua ini juga dipercayai dapat melancarkan peredaran darah di dalam tubuh. Amalan berdiang ini pada asasnya tidak mempunyai tempoh tertentu yang perlu dipatuhi kerana amalan ini bergantung kepada individu terbabit. Sungguhpun demikian, biasanya wanita Melayu akan berdiang selama empat puluh hari, bergantung kepada kepercayaan tradisi generasi sebelumnya yang diwarisi. Walau bagaimanapun, amalan berdiang ini amat jarang dilakukan pada zaman sekarang, dan boleh dikatakan tidak lagi dikekalkan kerana perubahan cara hidup dan faktor kemodenan semasa, selain terdapat banyak kaedah perubatan selepas bersalin yang lebih ringkas, cepat dan mudah.

Masyarakat Melayu tradisional Sarawak juga mengamalkan ‘conteng’ apabila sakit perut, pening atau demam. ‘Conteng’ merupakan lakaran berbentuk swastika diikuti dengan doa atau selawat ke atas nabi. Amalan ini dilakukan kerana kepercayaan masyarakat, kononnya terdapat jembalang yang akan menganggu individu, khususnya anak-anak kecil. Amalan ‘conteng’ banyak dilakukan pada tahun-tahun 1960-an. Pada tahun-tahun selepasnya, petua ini kurang lagi diamalkan.



Wanita dan Kecantikan

Selain petua perubatan, petua persediaan untuk pengantin secara khususnya pula melibatkan bahan-bahan semula jadi untuk pelbagai tujuan dan manfaat kesihatan serta kecantikan. Misalnya, beras pulut, kunyit, daun pandan dan bunga tanjung akan ditumbuk dan seterusnya dikasei (dilumur) pada seluruh badan selama tujuh hari. Selain dapat menghaluskan dan melembutkan kulit, amalan ini dipercayai dapat menaikkan seri muka pengantin. Untuk menaikkan seri wajah juga, pengantin perlu minum air campuran kunyit dengan sedikit gula. Amalan petua tradisional ini sangat penting dilakukan untuk memastikan bakal pengantin kelihatan sihat, bersih dan berseri semasa persandingannya. Terdapat satu doa yang mengkhusus untuk ini yang kebiasaannya dibacakan oleh Mak Andam yang berpengalaman antara bait-bait doa tersebut seperti berikut: 

Bismillahirrahmanirrahim
Induk kunyit, induk melati
Ditanam Allah belakang bumi
Muka berseri-seri
Seperti anak Rasulullah yang menjadi
Seri naik ke dahi
Cahaya naik ke muka
Bendang naik ke belakang
Ya Allah, Ya Allah
Kukuhkan Allah
Berkat ku makei doa Rasulullah

Dalam hal petua dan pantang larang berkaitan wanita , wanita Melayu Sarawak juga mempunyai beberapa pantang larang yang tidak harus dilakukan terutamanya kepada yang masih belum berpunya. Antaranya adalah;

1. Tidak digalakkan duduk di muka pintu. Sekiranya berbuat demikian, wanita tersebut akan lambat bertemu jodohnya. 

2. Tidak digalakkan menyanyi di dapur. Menurut kepercayaan orang-orang tua, wanita yang selalu menyanyi di dapur akan mendapat suami yang tua.

3. Tidak digalakkan bangun tidur apabila matahari sudah meninggi kerana menurut kepercayaan orangtua wanita itu akan cepat tua dari usianya. 

Pada zaman sekarang, terdapat masyarakat Melayu yang masih mempercayai kedua-dua pantang larang ini dan mencuba mengelakkan diri daripada melakukannya. Namun, pada masa yang sama, terdapat juga sesetengah individu dalam masyarakat ini yang lebih bersikap terbuka dan kurang prihatin akan kewujudan pantang larang tradisional yang dianggap agak ketinggalan zaman.

Pengantin

Dalam masyarakat Melayu tradisional Sarawak, sudah menjadi kelaziman pasangan pengantin akan bertandang ke rumah keluarga terdekat mereka khususnya selepas majlis perkahwinan dilangsungkan. Bagi pengantin yang baru pertamakali bertandang, mereka perlu diberikan tepung tawar atau dipanggil ‘pupur’ (bedak biasa) dan minyak wangi. Untuk tujuan ini, tuan rumah keluarga terdekat akan merenjis tepung tawar sambil berdoa agar pengantin diberikan kebahagiaan hingga ke akhir hayat. Sekiranya amalan ini tidak dilaksanakan, keadaan tersebut dikatakan akan ‘tunggal haus’, yakni menyebabkan sesuatu tidak baik akan berlaku kepada tuan rumah atau pengantin itu sendiri. Pengantin yang baru berkahwin pula tidak dibenarkan keluar melintas ‘seberang laut’ dalam tempoh seminggu perkahwinan. Konsep ‘seberang laut’ ini merujuk kepada apa-apa juga perlakuan yang pergi ke sesuatu tempat melalui sungai mahupun laut. Tujuan petua ini adalah untuk mengelakkan sebarang kejadian buruk pada ketika baru melangsungkan perkahwinan. 

Mengandung dan Bayi

Terdapat juga petua dan pantang larang untuk mendapat anak yang baik perangainya, iaitu apabila seseorang itu mengandung, individu tersebut tidak boleh duduk di kepala tangga. Dikatakan bahawa sekiranya si ibu berbuat demikian akan menyebabkan anaknya mengikut perangai ibunya yang buruk Petua ini memiliki aspek nilai yang tinggi, iaitu seseorang ibu yang mengandung tidak boleh duduk di tangga, yakni satu tempat yang boleh membahayakannya, sebaliknya duduk di kawasan yang lain, yang lebih selamat dan selesa.

Bagi menyambut anak kelahiran pertama, anak tersebut akan diberikan tepung tawar oleh tuan rumah yang dikunjungi. Kaki anaknya akan diletakkan di dalam buyung beras, sambil berdoa agar besar menjadi orang yang berguna, kemudian dimandikan. Selain itu, disediakan juga beras, pinang, sirih, kapur dan sedikit duit di dalam pinggan. Beras misalnya akan dapat dijadikan bubur, sirih dijadikan bahan untuk ‘bertapal’, manakala pinang dan kapur misalnya dapat ‘disembur’ ke perut atau dahi sekiranya dimasuki angin atau jika bayi ‘terkejut’. Bahan-bahan tersebut dirujuk sebagai ‘lapik kaki’ yang disediakan oleh tuan rumah apabila menerima kehadiran bayi sulung. Petua ini dilakukan untuk menjaga keselamatan dan kesihatan bayi secara keseluruhan agar bayi tersebut selamat dan terhindar daripada sebarang hal yang buruk.

Keselamatan Diri

Masyarakat Melayu Sarawak seperti juga masyarakat etnik yang lain amnya mempercayai perkara-perkara yang kebetulan berlaku dalam kehidupan sehari-hari sebagai perkara yang perlu diberi perhatian dan sekiranya diabaikan, sesuatu hal yang tidak elok mungkin akan berlaku. Fenomena ‘kebetulan’ yang mungkin kerap terjadi pada akhirnya memungkinkan wujudnya keyakinan dan kepercayaan terhadap kebenaran hal-hal tersebut. Justeru, wujudlah petua-petua dan pantang larang yang perlu diamalkan sebagai panduan kehidupan untuk menjaga keselamatan diri agar tidak ditimpa sebarang bencana. Antara petua bagi keselamatan diri adalah:

1. Apabila ingin masuk ke dalam hutan, sama ada untuk mencari hasil hutan, berburu dan sebagainya. Akan diambil sedikit tanah dan diletakkan di dahi supaya tidak ‘diganggu’ oleh kuasa jahat atau binatang-binatang apabila berada di dalam hutan. Petua ini disertakan dengan memberi salam, selawat ke atas nabi Muhammad dan bacaan alFatihah. 

2. Amalan meletakkan daun di telinga perlu dilakukan apabila terdapatnya hujan panas. Menurut golongan ini, apabila daun diletakkan di telinga, dipercayai makhluk halus tidak akan mengganggu mereka kerana barangsiapa yang meletakkan rumput ditelinga akan kelihatan seperti semak samun yang menghijau. 

3. Dalam hal kempunan apabila dalam sesebuah keluarga sedang makan dan terdapat salah seorang ahli keluarganya tidak ada bersama, si ibu akan meninggalkan lauk untuk si anak yang tidak ada. Maka si ibu akan berkata, “lauk ini akan ditinggalkan untuk ‘ular’”. Si ibu tidak boleh menyebut nama anak yang belum makan itu kerana ia akan menyebabkan si anak nanti boleh terkena kempunan. 

4. Terdapat juga petua keselamatan diri berkaitan hal-hal makhluk halus yang wujud di dunia ini. Misalnya, terdapat polong yang berupa sejenis telur dan bersayap, terbang pada waktu malam khususnya malam Jumaat. Polong biasanya dibuat untuk mendatangkan kesakitan kepada subjek sasarannya. Polong dibuat oleh bomoh yang pakar dalam ilmu hitam. Apabila polong jatuh ke rumah seseorang yang dijadikan sasaran, maka seseorang itu akan jatuh sakit. Polong juga dipercayai boleh mendatangkan mudarat kepada sesiapa yang melihat polong itu jatuh. Dalam amalan petua orang Melayu Sarawak, apabila melihat polong terbang, maka segerakan berteriak “Polong Sik Berinduk” (Polong Tak Bertuan). Teriakan tersebut dipercayai akan menyebabkan polong itu pecah dan tidak terkena kepada apa-apa sasaran.

Bercucuk Tanam

Masyarakat Melayu mempercayai bahawa untuk mendapatkan hasil pertanian yang baik, petua semasa bercucuk tanam perlu diamalkan. Dalam hal ini, individu yang ingin menanam pokok sirih misalnya, perlu memicit tanah sambil berselawat ke atas nabi Muhammad. 

Terdapat juga sesetengah keluarga Melayu di Sarawak mempunyai pantang larang apabila menanam sesuatu tumbuhan. Misalnya, terdapat sesebuah keluarga mempunyai pantang menanam halia. Sekiranya ditanam juga, ahli keluarganya akan meninggal dunia dalam keadaan yang tidak dijangka.

Begitu juga halnya menanam pohon ciku, kerana terdapat juga keluarga ditegah menanam ciku kerana akan menyebabkan kematian ahli keluarganya

Inilah sekelumit perkongsian daripada Borneo Oracle tentang petua dan pantang larang di dalam masyarakat Melayu Sarawak yang besar kemungkinan ada banyak lagi yang tidak dicatatkan. Walau bagaimanapun, banyak petua dan pantang larang ini sebenarnya mempunyai beberapa maksud yang tersirat di sebalik yang tersirat sebagai pemanis bicara orang tua kita dulu-dulu. Dan sesuai dengan sunnah agama kebanyakan daripada petua dan pantang larang ini sebenarnya sudahpun diadaptasi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran agar kita sentiasa memohon segala pertolongan daripada Allah Yang Maha Berkuasa dan Pemurah. 

sumber dari Borneo Oracle ♥ Sarawakian

No comments:

Post a Comment