Thursday 16 January 2014

SAS LIVERPOOL KEMBALI MENGGANAS

Luis Suarez (kanan) meraikan jaringan keduanya ketika menentang Stoke City bersama Daniel Sturridge dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Britannia, Stoke semalam. - REUTERS

LONDON - Kombinasi SAS - Suarez dan Sturridge - membuktikan mereka gandingan penyerang terbaik dalam Liga Perdana Inggeris apabila memecah belahkan pertahanan Stoke City ketika Liverpool menang 5-3 dalam pertarungan sengit dan menghiburkan di Stadium Brittania semalam.

Walaupun perlawanan itu turut mengundang kontroversi, namun kemunculan semula Daniel Sturridge pada babak kedua untuk membantu Liverpool melonjak semula ke anak tangga keempat liga, jelas menjadikan jentera serangan The Reds adalah yang paling berbahaya musim ini.

Penyerang England yang baru pulih daripada kecederaan itu, dan masuk sebagai pemain gantian, menjaringkan gol terakhir perlawanan setelah sebelumnya membuat umpanan tepat untuk Luis Suarez menyudahkan gerakan serangan balas Liverpool dengan sepakan lengkung dari hujung kotak penalti untuk gol keempat.

Sebelum itu, perlawanan menjadi begitu menarik apabila kedudukan terikat 2-2 sebelum rehat. Liverpool mendahului dengan dua gol menerusi jaringan sendiri Ryan Shawcross pada minit kelima setelah sepakan kencang pemain pertahanan kiri The Reds, Aly Cissokho mengenai pahanya.

Suarez kemudian mengambil kesempatan daripada salah faham pertahanan tuan rumah untuk menjaringkan gol kedua.

Stoke menyamakan kedudukan menerusi dua bekas pemain Liverpool, Peter Crouch dan Charlie Adam. Crouch mengurangkan defisit jaringan apabila menanduk umpanan lintang Marko Arnautovic dan Adam kemudian melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan Simon Mignolet dari luar kawasan penalti.

Bagaimanapun, Liverpool kembali menguasai perlawanan apabila kapten, Steven Gerrard tampil menyempurnakan penalti pada minit ke-51, setelah Marc Wilson mengkasari Raheem Sterling.

Sturridge, yang sebelum ini berehat selama tujuh minggu kerana cedera, kemudian dimasukkan menggantikan Philippe Coutinho dan dia mengelirukan pemain pertahanan Stoke untuk mengumpan bola kepada Suarez bagi gol keduanya, dan yang ke-22 musim ini, ketika permainan berbaki 19 minit.

Jonathan Walters memberi Stoke nafas untuk kembali bersaing apabila melepaskan rembatan melepasi Mignolet pada minit ke-85, tetapi dua minit kemudian Sturridge menewaskan penjaga gol tuan rumah, Jack Butland setelah menerima umpanan Suarez.

"Saya fikir kami sungguh hebat hari ini (semalam).

"Kami membuat kesilapan di bahagian pertahanan, sesuatu yang tidak bagus dan kami akan menelitinya.

"Tetapi datang ke sini dan mendapat lima gol adalah sesuatu yang cemerlang," kata pengurus Liverpool, Brendan Rodgers kepada Sky Sports. - AGENSI



Sumber dari:-
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140114/sl_01/SAS-Liverpool-kembali-mengganas#ixzz2qRpLW378
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment