Tentu mama biasa berhadapan dengan situasi di mana anak-anak asyik sekali bermain tanpa menghiraukan makan minum. Apabila ditanya sama ada mahu makan atau tidak, hanya gelengan kepala sahaja yang mereka tunjukkan.
Mama pun jadi hairan sama ada anak lapar atau tidak. Tiada petanda yang menunjukkan mereka lapar kerana terlalu asyik bermain. Benarkah mereka tidak merasa lapar sedangkan hanya menjamah susu sahaja sebelum ini?

Sebenarnya kanak-kanak semulajadi sukar memberitahu mereka lapar sekiranya mereka sedang bermain. Bahkan ada beberapa sebab lain yang menyebabkan mengapa kanak-kanak tidak memberitahu yang mereka merasa lapar.
*Masalah emosi yang dihadapi anak ketika itu membuatkan dia memerlukan perhatian daripada ibu bapa atau sebelum ini sering dimarah menjelang waktu makan menyebabkan emosinya terganggu.
*Meniru perilaku anggota keluarga yang sedang mengamalkan diet. Ini membuatkan mereka turut ingin mencuba amalan tersebut.
*Anak terlalu banyak makan snek sebelum waktu makan menyebabkan perutnya masih kenyang apabila disuruh makan.
Untuk mengatasi masalah tersebut anda perlu melakukan sesuatu kerana dibimbangi, anak-anak akan terbiasa enggan makan dan akhirnya mereka mengalami kekurangan zat penting untuk tumbesaran.
*Buat jadual makan teratur supaya dapat memberi kesempatan perut anak kosong sehingga dia lapar.
*Jangan biasakan makan lebih daripada 30 minit. Ajar anak menghabiskan makanan tanpa perlu bermain atau membuat aktviti lain ketika makan.
*Elakkan memberi anak makan makanan manis agar perutnya tidak kenyang menjelang waktu makan.
* Wujudkan suasana makan yang selesa dan tenang.
*Teman anak makan untuk memenuhi keperluannya terhadap perhatian.
* Sajikan menu harian yang pelbagai, membangkitkan selera dan yang pasti menu kesukaannya.
* Pastikan keperluan kalori dan zat hariannya dipenuhi.