Sunday 12 January 2014

STURRIDGE SUNTIK SEMANGAT REDS


LONDON - Daniel Sturridge memberikan suntikan semangat kepada Liverpool dalam usaha memburu gelaran Liga Perdana Inggeris setelah dilaporkan akan kembali ke pangkuan pasukan itu tepat pada masanya.

Penyerang itu terpaksa diketepikan sejak hujung November lalu kerana mengalami kecederaan ligamen pada buku lali ketika menyertai sesi latihan dan dijangka hanya kembali ke pangkuan Reds pada akhir bulan ini.

Namun, pemain yang dibeli dengan harga 12 juta pound (RM64 juta) itu kembali menyertai sesi latihan, kelmarin dan diberi peluang untuk bersaing merebut tempat kesebelasan utama menjelang kunjungan ke Stoke pada hujung minggu ini.

Berita itu merupakan satu bonus buat boss Anfield, Brendan Rodgers yang berdepan krisis kecederaan yang cukup memeningkan kepalanya setelah kehilangan beberapa pemain tonggak sewaktu perayaan Hari Natal dan sambutan Tahun Baharu.

Pengurus Liverpool itu kini sedang mencari formula terbaik pada pasaran perpindahan Januari ini dalam usaha memantapkan skuad bimbingannya dan dia dikhabarkan bakal terlepas dua pemain yang menjadi sasaran bagi mengukuhkan jentera serangan Reds.

Rodgers amat berharap dapat membawa masuk penyerang muda Barcelona, Cristian Tello secara pinjaman hingga hujung musim ini, tetapi juara Liga Sepanyol itu telah menutup pintu mereka untuk berunding.

Tello dikhabarkan tidak gembira kerana kurang peluang beraksi dalam skuad utama musim ini setelah hanya dua kali diserapkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan La Liga. Bagaimanapun Barca menegaskan, mereka tidak bersedia melepaskan pemain antarabangsa Sepanyol berusia 22 tahun itu ekoran masalah kecederaan yang melanda skuad ketika ini.

Khidmat Tello diperlukan sebagai pemain sokongan, tetapi Barcelona mungkin bersedia untuk menjual pemain itu pada musim panas ini.

Rodgers turut berminat mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Mesir, Mohamed Salah yang bernilai 9 juta pound (RM48 juta), tetapi nampaknya Reds terpaksa menunggu hingga musim ini berakhir.

Perundingan masih lagi berjalan, tetapi kos perpindahan penyerang tengah kelab Switzerland, Basel itu yang masih memiliki kontrak tidak sampai dua tahun dikatakan menjadi halangan kepada Liverpool.

Malah, Rodgers masih tidak pasti sama ada pembelian pemain itu benar-benar berbaloi untuk dia mengeluarkan peruntukan yang besar, memandangkan Salah, 21, juga memerlukan masa bagi menyesuaikan diri dengan kancah Liga Perdana. - AGENSI



Sumber dari:-

© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment