Hari persekolahan akan bermula seminggu sahaja lagi. Anak-anak yang akan memulakan alam prasekolah tentu tidak sabar lagi. Namun biasanya ibu bapa bimbang anak usia prasekolah lebih asyik bermain berbanding belajar.

Kerisauan ibu bapa makin bertambah apabila mereka tidak boleh duduk diam tatkala kita mengajar di rumah. “Kalau begini, macam mana hendak dengar arahan cikgu di kelas nanti.” Mungkin itu yang bermain di fikiran ibu ayah.

Anak-anak usia prasekolah mudah faham apa yang diajar tetapi mudah juga hilang fokus dan lebih gemar bermain. Di usia berapakah mereka akan lebih bersedia dalam soal pelajaran?

Kanak-kanak yang aktif dan cergas mudah memahami atau mempelajari sesuatu perkara. Tetapi mereka masih tidak faham mengapa perlu belajar. Oleh sebab itu mereka mudah hilang fokus atau dengan kata lain mereka bosan.

Adalah lebih baik sekiranya proses pembelajaran itu dilakukan dalam bentuk permainan atau nyanyian. Dalam erti kata lain, pelbagaikan teknik pengajaran kepada yang lebih menyeronokkan agar mereka tidak hilang fokus.

Ini kerana, naluri kanak-kanak memang untuk bermain sahaja. Tambahan lagi, faktor lain termasuklah personaliti. Memang ada kanak-kanak yang boleh fokus kepada satu-satu perkara seperti orang dewasa. Ada yang lebih kepada visual atau alat pandang dengar berbanding hanya bacaan melalui buku sahaja.

Justeru, pelbagaikanlah teknik belajar agar ia lebih dekat dan menarik minat mereka. Apabila sudah masuk sekolah formal nanti (darjah satu), sekurang-kurangnya mereka sudah tahu asas nombor dan huruf (membaca dan mengira).