Thursday 12 December 2013

COUTINHO MAMPU MENYINAR DI BRAZIL


LIVERPOOL - Brendan Rodgers yakin seorang lagi bintang Amerika Selatan yang berada dalam skuad Liverpool, Philippe Coutinho mampu menyinar pada Piala Dunia 2014, selain Luis Suarez.

Pemain Uruguay itu telah pun membuktikan dia bersedia untuk memberi ancaman ke atas England, musim panas tahun depan menerusi jaringannya yang kini mengumpul sembilan gol dalam empat perlawanan terakhir di laman sendiri.

Mangsa terbarunya adalah West Ham, tetapi pengurus Reds turut menghalakan tumpuannya kepada seorang lagi bintang Latin Liverpool yang mempamerkan aksi memukau.

Coutinho mungkin tidak meledakkan deretan gol seperti mana yang berjaya dilakukan Suarez, tetapi pemain tersebut turut memiliki bakat yang setara dengan bintang penyerang itu.

Malah, bakat yang dimiliki pemain berusia 21 tahun itu telah menarik perhatian Rodgers yang mendedahkan telefon milik bos Brazil, Luiz Felipe Scolari tidak putus berdering menerima panggilan daripadanya.

"Philippe merupakan seorang pemain yang berbakat, aksinya di atas padang memang seronok ditonton dan saya sentiasa berhubung dengan Scolari untuk melaporkan kepadanya mengenai pemain ini kerana saya telah pun mengenali Luiz sejak saya berada di Chelsea lagi.

"Brazil memiliki deretan pemain berbakat seperti Neymar, Oscar dan Bernard, tetapi Scolari juga tahu mengenai Coutinho kerana saya kerap menghubunginya untuk menceritakan mengenai Philippe dan Lucas.

"Lucas telah pun berada di dalam pasukan, ia memang sesuatu yang hebat. Bagaimanapun, untuk Philippe laluannya lebih sukar kerana persaingan posisi di mana dia bermain agak sengit. Tetapi, dia berada ditahap yang setara dengan pemain-pemain yang lain dan dia hanya perlu terus bermain serta berusaha gigih.

"Felipe (Scolari) telah meminta saya agar memantau perkembangan pemain-pemain Brazil dan memberikan maklum balas, walaupun kelab-kelab lain turut berbuat demikian, tetapi saya hanya ambil kisah tentang pemain kami dan bagi saya, Philippe merupakan pemain yang hebat," katanya.

Coutinho merupakan perancang kepada setiap pergerakan bahaya Liverpool dan dia juga berjaya memukau Hammers untuk melakukan kesilapan demi kesilapan yang mengakibatkan gawang mereka bocor. - AGENSI



Sumber:

© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment