Sunday 22 December 2013

SUAREZ DITAWAR KONTRAK LUMAYAN


LIVERPOOL - Transformasi yang ditunjukkan Luis Suarez, daripada pemain yang sering diselubungi kontroversi kepada individu berimej bersih yang telah membawa pasukannya berada di kedudukan cemerlang dalam Liga Perdana Inggeris, bakal membolehkan bintang penyerang itu ditawarkan kontrak baharu yang lumayan di Liverpool.

Pengarah Urusan Reds, Ian Ayre telah terbang ke Barcelona untuk berunding dengan ejen penyerang Uruguay itu, Pere Guardiola yang juga merupakan abang kepada pengurus Bayern Munich, Pep.

Langkah tersebut diambil selepas kemenangan 5-0 di Spurs sewaktu Suarez diberi tanggungjawab sebagai kapten ekoran ketiadaan Steven Gerrard yang mengalami kecederaan.

Suarez telah meledak dua gol pada perlawanan tersebut dan bintang Liverpool itu kini menjadi penjaring terbanyak liga dengan 17 gol.

Statusnya sebagai wira Liverpool yang gembira begitu jauh berbeza jika dibandingkan situasinya sewaktu musim panas lalu apabila dia mendesak untuk berpindah.

Suarez terlepas lima perlawanan pertama musim ini, setelah digantung kerana menggigit pemain Chelsea, Branislav Ivanovic.

Insiden itu berlaku selepas Suarez mencetuskan kontroversi dan didapati bersalah melemparkan kata-kata berbau perkauman terhadap bintang Manchester United, Patrice Evra, dua tahun lalu.

Suarez, 26, berkata, dia mahu berpindah ke kelab yang mampu memenangi trofi dan Arsenal telah mengemukakan bidaan mereka bagi mendapatkan pemain itu, dengan Barcelona dan Real Madrid turut menunjukkan minat mereka.

Namun, dengan kedudukan Liverpool yang kini di tangga kedua dan menjadi pencabar utama Liga Perdana Inggeris serta mengisi slot Liga Juara-Juara, Suarez kelihatan berpuas hati untuk kekal di Anfield.

Pemain itu dikatakan ditawarkan gaji yang lebih lumayan berbanding apa yang diterima sekarang, menerima gaji 120,000 pound (RM636,828) seminggu.

Akhbar Britain melaporkan, Liverpool bersedia menaikkan bintang penyerang mereka itu kepada 200,00 pound (RM1.06 juta) seminggu untuk meyakinkan Suarez agar kekal di Anfield. - AGENSI



© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment