Saturday 7 December 2013

SUAREZ ADA SENTUHAN MAGIS


LIVERPOOL - Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers percaya Luis Suarez sewajarnya mendapat pengiktirafan yang setanding dengan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi selepas meledakkan empat gol sewaktu membantu Reds membelasah Norwich City 5-1 di Anfield, semalam.

Pemain antarabangsa Uruguay itu juga muncul pemain pertama dalam sejarah Liga Perdana Inggeris meledakkan hatrik dalam perlawanan menentang pasukan yang sama.

Dia hanya memerlukan 35 minit melakar hatrik yang cukup luar biasa pada pertembungan itu dengan jaringan ketiganya melengkapkan gol ke-50 bintang Liverpool tersebut dalam aksi liga.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, Suarez menjaringkan gol keempat yang memukau hasil sepakan percuma pada minit ke-74 yang menyaksikan Liverpool kembali mendapat sentuhan berbisa dan Sterling menambah derita Norwich apabila menyempurnakan gol kelima Reds pada minit ke-88 hasil hantaran Suarez.

Norwich memperoleh gol saguhati menerusi Bradley Johnson pada minit ke-83.
"Dia berhak mendapat pengiktirafan seperti mana Messi dan Ronaldo terima. Luis baru berusia 26 tahun dan masih mempunyai ruang yang luas untuk meningkatkan permainannya. Saya tidak banyak menyaksikan persembahan yang sebegitu sebelum ini.

"Luis benar-benar bijak dan seronok untuk ditonton. Secara teknikal dia amat bagus, tetapi itu semua persembahan individu yang cukup luar biasa. Sebagai pengurus anda memang gemar mengulas mengenai pasukan, tetapi mengenai Luis, dia merupakan salah seorang penyerang terbaik di dunia.

"Dalam zaman serba moden ini, pemain terbaik dunia seperti Ronaldo, Bale dan Messi, orang bukan sahaja melihat kepada nombor dan bilangan gol yang mereka jaringkan tetapi, cara pemain itu menjaringkan gol dan bagaimana dia menjadi perancang kepada jaringan yang dihasilkan.

"Saya sendiri tidak tahu untuk menilai yang mana satu gol terbaik. Saya lihat gol pertama, memang luar biasa kerana dia berjaya menyungkit bola tersebut membolosi gawang dari jarak yang cukup jauh, tetapi apabila saya saksikan gol ketiga pula, ia merupakan jaringan yang tidak masuk akal," kata Rodgers.
Walaupun persembahan hebat sedemikian tidak menjadi perhatian seluruh dunia, Rodgers tetap percaya ini adalah masa yang cukup sesuai untuk Suarez dan Liverpool berkembang maju.

"Kelab ini serasi dengannya dan saya rasa dia masih mampu memberi aksi yang lebih baik. Hubungan antara Luis dan Anfield ibarat isi dan kuku. Cara kami bermain bola sepak membolehkan dia mempamerkan permainan sedemikian rupa," ujar Rodgers. - AGENSI



Sumber dari;

© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment