Saturday 21 December 2013

SUAREZ : REDS MAMPU JUARAI LIGA PERDANA

Luis Suarez meraikan jaringannya ketika membantu Liverpool membelasah Tottenham 5-0 di White Hart Lane, Ahad lalu. - REUTERS

LONDON - Penyerang Liverpool, Luis Suarez percaya pasukannya mampu menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris jika dapat mengharungi kempen pada perayaan Krismas dengan cemerlang.

Pada awal musim ini, pengurus Liverpool, Brendan Rodgers berkata, dia sudah cukup gembira jika Liverpool mampu menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik.

Namun, perkembangan positif yang ditunjukkan Reds akhir-akhir ini meyakinkan Suarez bahawa pasukannya mampu mencatat keputusan lebih baik daripada itu.

Liverpool kini menghuni tangga kedua liga dengan dipisahkan hanya dua mata daripada pendahulu, Arsenal.

Malah sejak Suarez, yang terlepas enam perlawanan pada awal musim akibat pengantungan kembali beraksi, dia telah banyak membantu Liverpool meraih kemenangan.

Kini Suarez telah menjaringkan 17 gol dalam saingan liga.

Suarez berkata, sekiranya pasukan dapat mengekalkan aksi konsisten pada dua atau tiga minggu lagi maka peluang Liverpool untuk memenangi saingan gelaran liga makin cerah.

"Apa yang penting sekarang, kami harus kekal fokus dalam setiap perlawanan.

"Selepas menentang Cardiff City (Sabtu), kami perlu bermain dalam dua perlawanan besar.

"Semua perlawanan itu amat penting dalam menentukan hala tuju kami sepanjang musim ini," kata Suarez.

Aksi cemerlang Liverpool bakal diuji oleh Manchester City apabila bertandang ke Stadium Etihad pada 26 Disember ini.

Anak-anak buah Rodgers kemudian berkunjung ke Stamford Bridge untuk bertemu Chelsea pada 29 Disember.

Suarez mengakui, dia amat terharu dengan sokongan yang diberikan penyokong Liverpool kepadanya terutama selepas digantung akibat insiden menggigit pemain Chelsea, Branislav Ivanovic pada April lalu.

"Perkara utama yang saya fikirkan ketika kembali beraksi di Anfield adalah untuk memenangi hati penyokong Liverpool dan saya amat terkejut apabila mereka tetap menerima saya sebaiknya.

"Mereka membantu memulihkan semangat saya dan itu amat penting buat saya, keyakinan saya serta keluarga saya.

"Semua orang tahu tentang masalah saya namun selepas saya melupakan kesukaran yang dihadapi akhirnya saya dapat kembali di atas padang dengan baik," kata bintang penyerang Uruguay itu lagi. - AFP



© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment