Thursday 2 August 2012

Hadis 40 Karangan Imam Nawawi

Alhamdulillah, dalam bulan Ramadhan nie saya revised balik Kitab Hadis 40 karangan Imam Nawawi iaitu manual usrah saya 8 tahun lepas ketika bersama sahabat-sahabat di Kuching, Sarawak . Saya tertarik dengan hadis ke 26 mengenai Mendamaikan Pertikaian dengan Adil. 

Maksud hadis, Abu Hurairah R.A. berkata, Rasulullah SAW bersabda: 

"Setiap sendi tubuh manusia wajib mengeluarkan sedekah, setiap hari di mana matahari terbit padanya, engkau berlaku adil terhadap dua orang (yang bertelingkah) adalah sedekah, menolong seseorang pada  kenderaaannya lalu engkau membantunya untuk naik ke atas kenderaannya atau mengangkat barang-barangnya ke atas adalah sedekah, ucapan yang baik adalah sedekah, setiap langkah ketika engkau berjalan menuju solat adalah sedekah dan menghilangkan gangguan daripada jalan adalah sedekah."


(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Saya bukanlah ustaz atau pakar agama tetapi bila dibaca berulang kali penjelasan hadis tersebut, Rasulullah menekankan pentingnya menyatukan hati kaum muslimin. Islam amat mengambil berat mengenai penyatuan umat Islam agar tidak berpecah belah. Saya pernah mendengar dalam ceramah di Masjid Saidina Abu Bakar Bangsar, KL dinyatakan umat Islam pada akhir zaman seperti buih-buih di lautan. Buih-buih nampak banyak tapi dalam sekelip mata hilang dibawah arus ombak. 

Begitu juga perumpamaan kepada umat Islam, didunia penganut Islam lebih ramai daripada penganut-penganut agama lain tetapi apabila umat Islam tidak bersatupadu kita gagal untuk membantu saudara-saudara seIslam kita Palestin dan negara-negara Islam bergolak.

Kenapa jadi begini?

Pucuk pangkalnya adalah penyatuan umat Islam yang masih belum utuh dan kukuh menyebabkan kita mudah ditindas dan dinafikan hak seperti yang berlaku di Palestin. Jika kita membantu dua orang yang berkelahi dengan mendamaikan mereka adalah sedekah.

Dalam Kitab Hadis 40 karangan Imam Nawawi juga menerangkan jika kita tidak bekerjasama dan tolong menolong maka tujuan penyatuan hati tidak akan tercapai. Untuk mencapai kerjasama tersebut Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:


"Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan perlanggaran (ajaran Allah)."


(Surah Al Ma'idah 5:2)


Rasulullah SAW juga pernah bersabda:


"Perumpamaan orang Mukmin dalam berkasih sayang ibarat satu tubuh, jika ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuh akan berasa demam dan kurang tidur."


(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Dalam Hadis karangan Imam Nawawi ini juga mempunyai pengajaran yang baik untuk kita kongsikan bersama:



  1. Allah SWT mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian tanpa cacat cela dan kekurangan.
  2. Perlu bersyukur dengan ciptaan anggota badan, tulang-belulang, pancaindera hingga kepada jari jemari yang Allah SWT berikan.
  3. Sentiasa bersyukur kepada AllahSWT akan menambahkan kenikmatan.
  4. Kerana nikmat Allah SWT itu, bersedekahlah kepada orang lain, bukan saja dalam bentuk wang ringgit atau harta benda malah senyuman, mendamaikan orang berkelahi dan meringankan beban orang lain.
Sedekah adalah perkataan yang baik yang boleh diterjemahkan dengan menjawab salam, mengucapkan "yarhamulallah" jika ada orang bersin, mengucapkan alhamdulillah, berzikir, ucapan yang baik ketika bercakap, memberi maaf kepada orang yang meminta maaf dan pelbagai lagi. Membuang sesuatu yang bahaya seperti duri juga adalah sedekah. 

Oleh demikian, jika kita berkelapangan tunaikan solat Duha sekurang-kurangnya 2 rakaat setiap hari sebagai tanda kesyukuran atas nikmat yang telah Allah SWT berikan. Ikhlas dalam melakukan ibadah dan sentiasa berzikir akan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Wallahualam.

Jika ada kekurangan, kesalahan maksud dan khilaf saya mohon respon sahabat-sahabat yang membaca. Yang baik itu dari Allah SWT dan silap dan kurang dari diri saya sendiri, wassalam. 






No comments:

Post a Comment