Friday 3 August 2012

Lima Perkara Sebelum Lima Perkara

Selepas sahur saya mendengar lagu Raihan mengenai lima perkara sebelum lima perkara. Apa lima perkara tu? Rasulullah SAW pernah bersabda, rebutlah lima perkara ini sebelum datang lima perkara lagi.

"Sihat sebelum Sakit, Muda sebelum Tua, Lapang sebelum Sibuk, Kaya sebelum Miskin, Hidup sebelum Mati."

Sihat sebelum Sakit

Bila sihat kita tidak pernah mensyukuri  nikmat sihat tersebut. Apabila jatuh sakit barulah kita merindui nikmat sihat. Waktu sihat kekadang kita lupa kepada Allah SWT sehingga lalai dalam menjalankan perintahNya. Bila sakit barulah kita sibuk untuk berdoa dan beribadah kepadaNya. Ini adalah realiti dalam kehidupan kita yang sentiasa lalai dalam buaian syaitan dan iblis.

Muda sebelum Tua

Bila masa muda kita beranggapan bahawa umur kita masih panjang lagi. Kita sewenang-wenangnya melakukan perkara-perkara yang melalaikan dan maksiat. Kita lupa akan tanggungjawab orang muda sebagai penggerak kepada dakwah islamiah. Apabila sudah tua, kita menyesalkan dengan apa yang telah dilalui ketika muda. Ketika itu, semuanya sudah tidak bermakna lagi.

Lapang sebelum Sibuk

Kita memang banyak waktu lapang tetapi kita isikan masa lapang tersebut dengan perkara-perkara yanag tidak berfaedah. Ketika lapang lah kita ringankan diri untuk solat berjemaah di masjid atau berjemaah bersama keluarga di rumah. Tapi apabila sibuk,kita akan hanyut dengan kesibukan  maka akan terhad masa untuk melakukan perkara-perkara kearah kebaikan.

Kaya sebelum Miskin

Bila kita kaya atau banyak duit kita akan lupa. Kita akan gunakan duit itu untuk membeli apa saja kemahuan yang terlintas dalam pikiran kita. Apalah salahnya kita menyimpan untuk masa depan jika berlaku sesak dalam kewangan,kita mempunyai simpanan untuk meringankan sesak tersebut. Apabila miskin duit dah takde baru ler kita menyesal kerana tidak menyimpan sedikit jika berlaku sesak. 

Hidup sebelum Mati

Setiap orang hidup pasti merasa mati. Inilah kemuncak dalam perjalanan hidup kita, tidak boleh tidak kita akan berhadapan dengan kematian. Oleh itu, kita hidup gunakan kesempatan yang ada untuk mensyukuri nikmat yang Allah SWT kurniakan. Perbanyakan amalan ketika hidup sebagai bekalan di hari Akhirat. Pabila mati, sudah terputus hubungan kita dengan dunia dan yang hanya bersama kita adalah ilmu bermanfaat, amal jariah dan anak yang soleh.

Sebagai peringatan kita bersama dalam menghabiskan sisa-sisa hidup yang Allah SWT berikan kepada kita, wallahualam.









No comments:

Post a Comment